19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Adun K. Ketil persoal isu perumahan

Berita
Typography
ALOR SETAR: Status sebenar perumahan di Charuk Nau, Baling perlu diperjelaskan kerajaan negeri ekoran wujud pertikaian berkaitan pemilikan, harga dan sewaan.
 
Gesaan itu disuarakan Md Zuki Yusuf (Kuala Ketil-PAS) dalam ucapan perbahasan Bajet Kedah 2018 di Sidang Dun Kedah, di sini semalam.
 
Menurutnya, perumahan tersebut didirikan 17 tahun lalu untuk rakyat miskin tidak mempunyai rumah serta tinggal di tepi sungai yang sering dilanda banjir.
 
Bagaimanapun katanya, Bahagian Perumahan Wisma Darul Aman telah melakukan kerja menyukat dan mengukur yang difahamkan untuk memberi geran atau hak milik kepada penduduk.
 
"Saya juga mendapat maklumat, notis pemakluman telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Baling untuk pemberian hak milik kepada penyewa asal.
 
"Namun apa yang memusykilkan pihak saya, rumah 80 unit yang dibina atas Tanah Rizab Melayu itu tidak dibenarkan diwarisi, disewa dan bertukar tangan.
 
"Tetapi sehingga kini, syarat-syarat demikian tidak dipatuhi, malah ada setengahnya telah dijual dan disewakan kepada bukan Melayu," pertikai beliau.
 
Tegasnya lagi, ada laporan diterima, penyewa asal telah dihalau dan dinafikan untuk mendapat hak milik, selain berlaku percanggahan berkaitan harga asal yang dijanjikan.
 
Jelasnya, dahulu asalnya penduduk dijanjikan dengan harga RM20,000 melalui bayar ansuran sebanyak RM90 sebulan, namun agak mengelirukan apabila harga tertera di surat adalah RM25,000.
 
Oleh itu pinta Md Zuki, kerajaan perlu memberi keterangan berhubung insiden melibatkan penyewaan oleh bukan Melayu, serta kedudukan penyewa asal yang telah dihalau selain kedudukan rumah dijual tanpa pengetahuan pihak berkenaan.
 
"Saya juga ingin penjelasan, adakah Tuan Pegawai Daerah ada kuasa untuk mengeluarkan notis geran atau hak milik dan apakah peranan Bahagian Perumahan di Wisma Darul Aman dalam isu ini?" soal beliau. - HARAKAHDAILY 15/11/2017