17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Tiga tokoh isytihar sertai PAS

Berita
Typography
KUALA KEDAH: Tiga tokoh mengisytiharkan penyertaan bersama PAS sempena Himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Kedah, bertempat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.
 
Mereka ialah mantan Mufti Kedah, Dato' Sheikh Badarudin Ahmad; mantan Pegawai Majlis Agama Islam Kedah, Sheikh Mohd Uzaidz Baharom dan mantan Penolong Pengarah JAKIM, Mahadir Mohd Noor.
 
Mahadir Mohd Noor ketika sempat ditemui Harakah mengatakan, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera(BPMS) yang dilaksanakan oleh PAS sekarang menjadikan beliau tertarik untuk menyertai parti itu selain beberapa perkara yang dilihat tidak ada pada parti lain.
 
"Ikhlas saya katakan, ahli-ahli dan pemimpin PAS ini ikhlas dan penat lelah mereka tidak mengharapkan bayaran atau ganjaran," ujar beliau.
 
Selain itu, beliau yang sejak dahulu sudah agak cenderung kepada PAS, melahirkan rasa muak dan jelak dengan sandiwara pemimpin Umno-BN.
 
Kebanyakannya mereka katanya, hanya berlakon di hadapan rakyat dan juga rakus serta banyak melakukan penyelewengan di dalam pentadbiran.
 
Beliau juga berkeyakinan PAS akan beroleh kemenangan maksimum memandangkan gelombang momentum rakyat sekarang berpihak kepada PAS termasuk sokongan hebat dari golongan muda.
 
"Saya juga menyokong penuh PAS bertanding sendirian kerana PAS mempunyai kekuatannya tersendiri dan mampu menarik sokongan rakyat," tambahnya lagi.
 
Mengulas berkenaan kewujudan PH baginya, parti berkenaan tidak mendapat sokongan ramai memandangkan ia sebuah parti yang dipimpin oleh bekas pemimpin parti tertentu.
 
Sudah tentu ujarnya, corak kepimpinan mereka lebih kurang sama dengan Umno yang dilihat lebih kepada bertelagah merebut 'panggu' (kepentingan) masing-masing.
 
Beliau menerima sijil keahlian PAS dari Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pada himpunan yang disertai sekitar 15,000 ahli PAS itu.
 
Walau bagaimanapun, dua orang tokoh lagi tidak dapat bersama kerana mempunyai tugasan penting luar kawasan. - HARAKAHDAILY 29/10/2017