Bengkel dakwah bina jaringan pendakwah PAS tangani isu LGBT

Berita
Typography

LAJNAH Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia telah menganjurkan Bengkel Dakwah LGBT di Astana Hambra, Sungai Penchala, kelmarin dengan dihadiri oleh peserta di kalangan wakil AJK DMPM, wakil Lajnah Dakwah PAS Pusat, AJK Lajnah Dakwah DMPM, wakil Lajnah Dakwah DMPN serta beberapa NGO.

Pengerusi Lajnah Dakwah DMPM, Dr Mardhiyah Hayati Salleh dalam ucapan perasmian menjelaskan bahawa bidang tugas Lajnah Dakwah adalah program berbentuk dakwah outreach kepada masyarakat Muslim dan non Muslim.

"Bengkel kali ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para penggerak dakwah PAS dan beberapa NGO, tentang isu LGBT serta merancang gerak kerja yang sesuai untuk dilaksanakan," tambah beliau lagi.

Program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang ini telah diisi dengan pembentangan kertas kerja diikuti dengan bengkel pada sebelah petang.

Pembentang pertama, Dr Siti Asiah Hasan meminta para peserta menggunakan kemahiran kaunseling supaya dakwah mudah disampaikan kepada golongan LGBT.

"Kita hendaklah membina hubungan dengan mereka sebagai jambatan untuk memahami naluri serta fitrah mereka.

"Cabaran yang mereka hadapi adalah lebih besar daripada yang orang biasa hadapi kerana fizikal dan emosi mereka berbeza daripada insan biasa lain.

"Mereka tidak mahu kita menganggap mereka golongan yang bermasalah. Kita hendaklah mengajak mereka supaya cinta dan sayang dengan fizikal asal yang dicipta Allah kepada mereka," ujar beliau.

Sementara itu, Dr Ahmad Solehin dalam pembentangan kertas kerja kedua, telah mendedahkan bahawa kita bukan sekadar berhadapan dengan usaha untuk membawa golongan LGBT ini ke pangkal jalan.

“Kita turut berhadapan dengan pengaruh gerakan LGBT antarabangsa yang masuk melalui sosial, politik dan perundangan.

"Kita boleh menggunakan teknik 'snowball' untuk golongan LGBT memperkenalkan kita dengan orang baru yang turut terlibat dengan lesbian, gay dan maknyah.

"Sebagai pendakwah kita sebaiknya mendekati mereka dalam kelompok kecil contohnya melalui program usrah sesama mereka tanpa mendedahkan identiti mereka kepada orang lain.

"Antara terapi holistik yang dicadangkan ialah dengan mengurangkan kesalahan kecanduan pornografi, memutuskan hubungan media sosial jaringan LGBT, melakukan puasa sunat, mencari lingkungan positif yang bebas dari LGBT dan menggunakan terapi hormon daripada doktor," jelas beliau lagi.

Kemuncak program adalah bengkel Pelan Strategik Dakwah Menangani Isu LGBT di Malaysia yang melibatkan plan tindakan melalui pendidikan, membangunkan sistem sokongan, membina jati diri serta merancang metod pendekatan kepada golongan LGBT.

Program ditamatkan pada jam lima petang dengan ucapan penutup daripada Dr Mardhiyah Hayati yang berpuas hati dengan program itu telah mencapai objektif yang diharapkan dengan para peserta memahami tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyatakan bahawa usaha itu adalah usaha yang berterusan dan mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada semua peserta yang hadir.