19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Jelajah Hijau semboyan persedian hadapi PRU14

Berita
Typography

JELAJAH Hijau Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat signifikan untuk dihadiri oleh seluruh teraju utama kepimpinan pemuda di setiap kawasan negeri Perak untuk mendengar amanat dan strategi dari pimpinan tertinggi pemuda dalam merencana gerak kerja PRU14 serta memastikan tema Sedia Memerintah yang diangkat dalam muktamar yang lepas dapat direalisasikan.

Demikian menurut Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar dalam satu kenyataannya sempena Jelajah Hijau yang bakal diadakan pada 10 September di Kuala Kangsar.

Jelasnya, kehadiran seluruh jentera pemuda ke program tersebut menuntut pengorbanan yang besar bahkan kepentingan jemaah harus diutamakan mengatasi kepentingan peribadi.

"Perniagaan, kuliah, ladang, kebun, sawah, isteri, anak-anak sayugianya tidak menjadi dinding penghalang untuk kita hadir dalam jihad politik ini.

"Singkaplah sirah perang ahzab yang baru sahaja kita laung-laungkan dalam takbir Idul Adha baru-baru ini dalam menuntun jihad siyasi kita.

"Para sahabat r.a sanggup meninggalkan pekerjaan harian mereka demi Islam. Sanggup menahan kelaparan yang melampau dalam usaha menggali parit sebagai benteng mempertahankan kesucian Islam," ujarnya.  

Beliau berpandangan semua orang boleh mencipta alasan untuk tidak hadir sebagaimana mampu mencari alasan untuk hadir. Namun, adakah alasan ketidakhadiran itu diterima oleh Allah yang Maha Mengetahui semua perkara yang zahir dan tersembunyi, hakikat dan realiti.

Zahid menyeru dan menagih tenaga, masa dan sedikit wang ringgit para  pemuda PAS seluruh negeri Perak untuk sama-sama hadir dalam usaha memartabatkan Islam di atas bumi Perak yang bertuah. – HARAKAHDAILY 8/9/2017