Akta 164: Jangan tergesa-gesa laksana

Berita
Typography

PRESIDEN Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar meminta kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk melaksanakan Akta 164 yang baru diluluskan di Parlimen semalam.

Beliau berkata, Akta 164 perlu diperhalusi lebih lanjut lagi kerana ada banyak perkara yang perlu dikaji semula oleh kerajaan.

"Mungkin selepas lulusnya akta ini akan tercipta polemik-polemik yang baru sebab itu akta ini perlu diperhalusi,"  katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Sementara itu, ADN Bangi Syafie Ngah berkata jika kerajaan ada ruang untuk menarik balik akta ini adalah sangat perlu kerana ia akan menimbulkan konflik agama.

"Masalah besar yang akan timbul adalah status agama anak pasangan berkenaan, ini isu yang paling besar kerana ia akan menjadi konflik agama umpama 'api di dalam sekam' di negara kita.

"Bila-bila masa sahaja ia akan marak dan membakar, sangat bahaya terutama dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Beliau mencadangkan, agar kerajaan menubuhkan satu medium baru untuk menguruskan konflik yang spesifik ini antara lain menubuhkan mahkamah khas yang menggabungkan hakim dari kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

PAS menolak Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) yang diluluskan di parlimen semalam kerana terdapat percanggahan dengan undang-undang persekutuan yang sedia ada. – HARAKAHDAILY 11/8/2017