22
Tue, Aug
13 Artikel Baru

Wacana: Pemuda Harapan tarik diri saat akhir

Berita
Typography

PEMUDA Pakatan Harapan Kelantan dianggap mengsia-siakan peluang apabila menarik diri pada saat akhir bagi menyertai wacana terbuka 1.0 anjuran NGO Pertahan di sebuah hotel di Kota Bharu malam tadi.

Ketua Pemuda PKR, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Asran Alias tidak hadir biarpun pada awalnya bersetuju menyertai wacana tersebut.

wacana 4Wacana bertajuk ‘Kelantan Ambang PRU 14 Parti Mana Bela Rakyat’ hanya dihadiri Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azan Ismail dan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Moderator wacana tersebut Dr Kamarul Zaman Yusoff dari UUM menyifatkan pemuda Pakatan Harapan tidak merebut peluang diberi untuk berwacana secara matang.

Kata  beliau sepatutnya anak-anak muda merebut peluang yang ada untuk  bertemu di satu pentas biarpun membawa ideologi politik yang berbeza.

“Saya sebagai moderator kecewa dengan apa yang berlaku. Mungkin ada suara-suara sumbang mendakwa moderator akan bertindak secara bias.

“Sedangkan  saya sudah tetapkan lima pusingan bagi setiap wakil parti berhujah termasuk mendedahkan visi setiap parti. Saya hanya diberi ruang untuk mengemukakan hanya satu soalan sahaja kepada setiap panel,” katanya.

Azan yang sempat menyertai wacana tersebut seketika bersama rombongan dari Pemuda Umno juga melahirkan rasa tidak puas hati kerana dua pemuda daripada Pakatan Harapan menarik diri.

Oleh itu beliau berharap pihak yang menarik diri pada wacana tersebut boleh dipertemukan semula pada pentas lain pada masa akan datang.

“Saya anggap usaha NGO Pertahan merupakan satu keberanian menjemput pemuda dari parti yang berbeza untuk berwacana di satu pentas.

“Jemputan dilakukan secara tertib dengan surat dan panggilan telefon,” katanya pada ucapan ringkas pada program berkenaan. Beliau kemudian mengundur diri memandangkan dua panelis lain tidak hadir.

Presiden Pertahan, Nazman Che Iberahim berkata, wakil daripada PPBM dan PKR hanya memaklumkan tidak dapat hadir pada saat-saat akhir sebelum program bermula.

Orang ramai sebahagian besarnya golongan muda memenuhi dewan di tingkat satu hotel tersebut. Malah ramai lagi mengikuti wacana itu melalui skrin disediakan di luar hotel. – HARAKAHDAILY 11/8/2017