19
Thu, Sep
44 Artikel Baru

Tidak boleh asing-asingkan perlembagaan - peguam

Berita
Typography

SELANGOR sehingga sekarang masih terselamat daripada diadakan kajian cadangan persempadan baru kawasan pilihan raya kerana terikat keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Disember lepas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasar kepada keputusan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh membuat kajian persempadanan di Selangor.

“Dah dapat perintah mahkamah dan sekarang masih lagi di peringkat rayuan di pihak SPR.

“Sepatutnya bagi pandangan kami berdasar perlembagaan tidak boleh hendak asing-asingkan perlembagaan kerana semua negeri berada dalam Tanah Melayu,” katanya selepas sebutan kes saman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah terhadap SPR, hari ini.

Pada 16 Disember lepas, mahkamah tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan siasatan SPR terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu memandangkan terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan tersebut.

Pada kes hari ini Mohd Amar memfail semakan terhadap cadangan persempadan baru kawasan pilihan raya di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar diwakili peguam Takiyuddin, Nik Bahrum Nik Abdullah, Aznan Mohamad dan Wan Rohimi Wan Daud.

Manakala SPR diwakili peguam kanan persekutuan, Shamsul Hassan, Azizan Md Arshad dan Nik Zairin Nik Abdullah. Kes dikendalikan Hakim Datuk Ahmad Bachee.

Pada kes tersebut, Takiyuddin yang mewakili Mohd Amar menarik balik saman terbabit tanpa kos terhadap SPR.

Katanya berdasar kes serupa yang berlaku di Melaka, di mana Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dibuat SPR.

“Ini bermakna kebenaran yang diberi kepada pihak yang membuat permohonan di Melaka ditolak.

“Overturn.. tak jadi. Kalau kita teruskan dengan kes ini sedangkan mahkamah tertakluk kepada keputusan mahkamah tinggi di Melaka,” katanya. - HARAKAHDAILY 27/7/2017