19
Thu, Sep
43 Artikel Baru

Ustaz Halim ikuti isu politik di ICU

Berita
Typography

BEKAS Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Beliau ditempatkan di Mutiara 1 (ICU) hospital terbabit sejak 5 Ramadan lepas. Sebelum itu pernah terlantar di HUSM selama sebulan akibat penyakit sama.

Bagaimanapun menurut menantunya Zuraidin Abdullah, bapa mertuanya dijangka dipindah ke wad 8 Selatan hari ini selepas keadaannya semakin beransur pulih.

“Doktor memberitahu bapa mertua saya akan dipindahkan ke wad lain hari ini selepas mendapati keadaannya semakin beransur baik,” katanya di Kota Bharu.

Ustaz Abdul Halim, 78 dilantik sebagai timbalan menteri besar pada 1990 selepas Angkatan Perpaduan Ummah yang diketuai PAS memenangi pilihan raya ketika itu.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum (PRU) 2008 beliau bertanding pula di kerusi parlimen Pengkalan Chepa. Namun pada PRU lepas tidak lagi menyertai pilihan raya disebabkan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Sepanjang berkhidmat sebagai timbalan menteri besar beliau banyak membantu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerajui kerajaan negeri.

Di peringkat PAS Pusat pula pernah dilantik sebagai bendahari dan ketua penerangan.  

Pagi tadi beliau diziarahi Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob bersama anggota-anggota Exco sempena program penyampaian kuih raya kepada pesakit di HUSM.

Zuraidin juga berkata, Ustaz Abdul Halim juga mengidap diabetis sejak berkhidmat sebagai timbalan menteri besar. Selain itu jantungnya agak lemah.

“Keadaannya sekarang stabil dan boleh bercakap dengan tetamu yang datang. Setiap kali saya datang isu politik yang sering ditanya dahulu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2017