17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Sumbangan raya Exco, ADN PAS Selangor kepada staf Harakah

Berita
Typography

NAIB Presiden PAS Datuk Iskandar Samad berharap pihak pengurusan Harakah yang baru dapat mencari formula terbaik bagaimana untuk berdaya saing di dalam keadaan jualan akhbar seluruh dunia yang semakin menurun.

Beliau berkata, hampir semua media cetak di dalam negara mengalami jualan yang merosot kerana berhadapan dengan saingan hebat oleh media sosial.

Beliau juga berharap Harakah terus menerajui media untuk PAS bagi menyebar luas risalah Islam atau parti walaupun keadaan yang sentiasa berubah.

"Harakah kena berubah menurut masa dan zaman, kalau kita enggan berubah kita akan ketinggalan. Pemasaran adalah suatu tugas yang berat.

"Media cetak memang sedang mengalami penurunan. Akhbar lain pun dah jauh merosot berbanding suatu masa dahulu. Satu formula perlu dicari. Sekarang orang tengok web dan media sosial. Negara lain akhbar semuanya percuma mereka bergantung kepada iklan sahaja," katanya kepada kakitangan Harakah.

Justeru, beliau mendoakan agar Harakah kembali semula ke zaman kegemilangannya yang suatu ketika dahulu mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Chempaka itu bersama Ahli Dewan Negeri Bangi Shafie Ngah mengunjungi pejabat editorial Harakah bagi menyampaikan sumbangan kepada kakitangan Harakah.

Turut bersama di dalam majlis ringkas ini Ketua Pegawai Eksekutif Harakah Profesor Zainal Abidin Kidam.

Sumbangan kepada 62 kakitangan Harakah adalah daripada Exco dan Ahli Dewan Negeri Selangor PAS. – HARAKAHDAILY 20/6/2017