19
Thu, Sep
33 Artikel Baru

SAYA ditanya oleh rakan-rakan, apakah benar model skala kecil prototaip “kereta terbang” yang dipamerkan di LIMA 2019 adalah sesuatu yang benar atau hanya khayalan semata-mata? Jawapannya saya, untuk berlaku adil, saya hanya menjawab dengan membuat analisa kejuruteraan semata-mata terhadap contoh model prototaip (berdasarkan model skala yang ditularkan). Tiada maklumat lain.

Sekiranya saya menjawab di hadapan pelajar kejuruteraan saya maka prinsip seperti Bernoulli Principles, Newton’s Law, Aerodynamics, Aerothermodynamics, Fluid Mechanics, dan segala prinsip fizik akan terpaksa dijelaskan. Saya akan meminta pelajar saya untuk mengkaji aspek power system, rotor size and design, vehicle design and structural integrity, materials, noise and vibration analysis, manoeuvrability, control system, pay-load, power to weight ratio, certification and worthiness, dynamic stability, dan sebagainya. Saya akan meminta pelajar saya membuktikan menerusi computation fluid dynamics (CFD). Tentunya dalam tulisan ini saya tidak akan buat begitu.

Bagi tujuan awam, saya memilih untuk menggabungkan jawapan ringkas saya ini berasaskan latarbelakang saya sebagai saintis, jurutera, penyelidik, dan juga sebagai ahli politik; maka saya akan cuba memberikan pandangan saya dalam bahasa yang paling mudah dan senang difahami.

Pertama, premis bahawa ianya dilabelkan sebagai “kereta terbang” adalah provokatif dan sensasi. Sains dan teknologi seharusnya bukan sensasi, bukan gimik, tetapi perlu berasaskan fakta tepat.

Tidak dinafikan juga mungkin sedikit kesilapan melabelnya, akan membuka ruang penafsiran yang salah. Maka amat penting untuk pihak yang memperkenalkan cadangan prototaip “kereta terbang” itu dan Kementerian untuk cepat membetulkan nama panggilannya supaya tidak menjadi momokan. Itulah cabaran dunia baharu. Sebenarnya tidak mengurangkan apa-apa pun sekiranya dengan pantas pihak Menteri atau Timbalan Menteri membetulkan nama “kereta terbang” itu pada hari pertama, dengan menggelarnya dengan nama yang lebih sesuai seperti “vertical take-off transporter”, “automobile drone”, “drone taxi”, “auto hover” atau lainnya.

Nama yang tepat akan bergantung pada prinsip bagaimana kenderaan berkenaan akan mula berada di udara, sama ada menerusi “vertical take-off” seperti dron yang ada di pasaran waktu ini atau “take-off” biasa seperti pesawat kecil yang mempunyai “retractable wings”.

Kedua, mungkin ada yang mula bertanya. Adakah boleh wujud kenderaan sedemikian? Ya, pada prinsipnya ianya tidak berlawanan dengan kejuruteraan, dan memang sudah ada kenderaan yang mampu berada di ketinggian tertentu seperti dron yang mampu menjadikan manusia sebagai bebannya.

Maka soalan berikutnya, adakah yang dipamerkan di LIMA 2019 itu adalah suatu yang mungkin boleh terbang?

Sekiranya rekabentuk dan pembinaannya adalah menepati reka bentuk kejuruteraan dan segala prinsipnya, maka ianya boleh berada di udara. Saya percaya, tentunya syarikat berkenaan mempunyai pakar teknikal yang berkebolehan, tetapi dengan melihat reka bentuk berkenaan perjalanan masih jauh.

Pada hemat saya, sekiranya itulah cadangan reka bentuknya, maka ianya memerlukan cubaan yang lebih serius untuk memastikan ianya mampu berada di udara.

Sekiranya ianya adalah projek pelajar saya, saya akan memberi komen awal terhadap reka bentuk pelik penutup berjaring di atas kipas, yang pada hemat saya akan mengurangkan daya dan kuasa tujahan (thrust force and power) yang akan membolehkan kenderaan itu berada di satu ketinggian tertentu di udara. Faktor kritikal ialah mempunyai daya dan kuasa tujahan dan angkat yang mampu mengatasi berat kenderaan bersama bebanannya. Penutup berjaring berkenaan akan hanya membolehkan angin yang keluar di bawah dalam keadaan seragam (uniform flows) tetapi tujahan mengurang (reduced thrust). Ini akan menyukarkan lagi bagi mencapai daya tujahan bagi mengangkat kenderaan berkenaan.

Ketiga, di zaman media baharu ini, kerap kali inisiatif kerajaan kadangkala juga berdepan dengan kritikan dari rakyat awam, dan pimpinan masyarakat lainnya yang tentunya mempunyai berbagai pandangan dan latar belakang. Menteri atau Timbalan Menteri yang mengeluarkan kenyataan menyokong kenderaan berkenaan, haruslah mengambil maklum bahawa kita sebagai pimpinan masyarakat hendaklah cuba (saya katakan cuba kerana – saya juga – tidak mudah untuk mengawal perasaan kita sendiri) untuk tidak bertindak balas dengan sindiran orang ramai, iaitu tidak membalas kutukan dengan kutukan balas. Ambil maklum dan jelaskan dengan hati yang terbuka.

Apa salahnya kita menggunakan ayat seperti : “saya memahami kritikan berkenaan, kami akan ambil maklum dan atasi apa jua masalah reka bentuknya”, “kami akan berikan penjelasan di satu masa nanti’, “penjelasan teknikalnya adalah seperti berikut…”, “ïtu adalah contoh sahaja, reka bentuk akhir tentunya berbeza, sesuai dengan objektif kenderaan berkenaan” dan sebagainya.

Jack Welch, mantan CEO of General Electric, menyebut: “Orang ramai mesti yakin dengan anda, anda pula harus membina keyakinan orang ramai”. Menarik bukan, objektif nampak mudah tetapi mengusahakannya adalah tidak semudah itu!.

Semoga Berjaya!. Benediximus!

oleh DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR - HARAKAHDAILY 2/4/2019

 

 

poster Flying Car 9 e1554175771938

اهلا وسهلا ومرحبا بكم يا فضيلة الشيخ الشامي...

USAI Syeikh Mustafa Dib Bugho sampai ke Terengganu, terus bawa berjumpa tuan rumah, MB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Kebetulan waktu itu baru sahaja selesai majlis Pembukaan Sidang Dun Terengganu.

YAB Dr Samsuri menyuarakan kebimbangan akan amanah besar yang dipikul sebagai seorang pemimpin, bagaimana dia untuk menjawab di hadapan Allah nanti. Justeru beliau meminta nasihat dari Syeikh.

Syeikh memulakan nasihatnya dengan Hadis:

إن أعطيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها عن غير مسألة أعنت عليها

"Sekiranya kamu diberikan jawatan kerana memintanya, Allah akan serahkan kepada kamu (tanpa sebarang pertolongan). Namun sekiranya kamu diberikan tanpa memintanya, kamu akan dibantu (oleh Allah) memikul tanggungjawab tersebut."

[HR Bukhari]

Syeikh berpesan agar: 

1.     Sentiasa meminta pertolongan daripada Allah.

2.     Tunaikan hak setiap yang berhak.

3.     Jangan menzalimi sesiapa.

Di hujung nasihat, Syeikh menutup dengan sepotong lagi Hadis:

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله...(اوله) إمام عادل

"Tujuh golongan yang Allah akan naungi pada hari tiada naungan melainkan naunganNya..
Yang pertama sekali adalah pemimpin yang adil."

 [HR Bukhari & Muslim]

Tiadalah nikmat yang lebih besar selain dari seorang pemimpin yang senantiasa menerima nasihat dari alim Ulama'. Dan tiadalah kemuliaan terbesar selain dari seorang Ulama' yang berani menasihati pemimpin terang-terangan.

Semoga negeri ini terus dilimpahi rahmat dan keberkatan dariNya.

28 Rejab 1440
2 April 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 2/4/2019

  IMG 20190402 WA0012

IMG 20190402 WA0013

KUALA  LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bertindak mengikut kuasa diberikan oleh Perlembagaan dan Akta berkaitan tugasnya di mana Pengerusi SPR pula boleh bertindak atas isu yang menyentuh tugasnya.
 
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yusof berkata, mengenai isu persempadanan, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusannya yang jelas sepertimana Jadual Ke-13.
 
Sementara menurutnya, kuasa SPR juga dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 113(2)(i) iaitu kuasa mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya dalam tempoh tidak kurang lapan tahun.
 
"Kajian persempadanan yang diluluskan selepas Mac 2018 telah mematuhi kuasa-kuasa yang diberikan Perlembagaan. Maka tidak sepatutnya SPR mengusulkan untuk Parlimen membatalkan apa yang telah diluluskan oleh Parlimen.
 
"Jika usul membatalkan dibawa, seolah-olah urusan persempadanan sebelum ni tidak sah. Jika sempadan tidak sah, maka PRU14 tidak sah juga. Maka ini keadaannya akan lebih kalut. Justeru, ia tidak sepatutnya dijadikan isu sekarang.
 
"SPR tidak perlu layan pandang sisi politik pemimpin PH yang mula dibenci rakyat dalam banyak isu negara dan rakyat," ujar beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.
 
Semalam, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedang mengkaji sama ada Parlimen boleh membatalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat sebelum PRU14. 
 
Menurut beliau, sekiranya perubahan dibuat oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak itu boleh dibatalkan, maka persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baharu boleh dibuat sebelum PRU15.
 
Jelasnya, SPR memiliki tempoh tidak lebih dua tahun bagi mengkaji dan membuat cadangan meminda persempadanan semula yang dibuat oleh kerajaan terdahulu untuk dilaksanakan kerajaan sekarang. - HARAKAHDAILY 2/4/2019

BALA dan gerah datang bertindan tindah semenjak pasca 9 Mei 2018, angin perubahan yang kelihatan meremehkan Islam dan juga kaum Bumiputera. Terkini dengan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk CLP, di mana Peguam Negara membuka ruang untuk pemegang sijil ini menaiki mobiliti sosial manakala keputusan Peguam Negara disambut dengan penuh keceriaan oleh Timbalan Menteri Pendidikan. Kecacamerbaan Kementerian Pendidikan dapat dihidu semenjak awal Kabinet dibentuk dengan sikap timbalan menteri yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib satu kaum dan menjadi wira bagi kaum tertentu.

riduan mnorNasib pelajar-pelajar Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula sangat malang sekali. Ambilan pertama sejak Jun 2005/2006 dan pada 22 Disember 2009 mendapat pengiktirafan daripada JPA. Pada 16 Mac 2010, pihak USIM telah memohon pengiktirafan pengecualian menduduki CLP (Certificate in Legal Practice daripada LPQB (Legal Profession Qualifying Board). Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak USIM untuk merayu dan membolehkan graduan fakulti undang-undang melepasi CLP, termasuk pada 15 Januari 2019, menghantar cadangan melalui modul khas latihan dan kemahiran praktikal profesion undang-undang bagi pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan profesion kepada Sarjana Muda Undang-Undang Dan Syariah dengan kepujian.

Sehingga kini, USIM masih belum menerima apa-apa respons daripada IPQB berkaitan modul yang mereka telah syaratkan sebelum pengiktirafan. Setakat ini program Undang-Undang dan Syariah USIM telah mencapai KOHOT yang ke-13, namun malangnya mereka masih belum mendapat pengiktirafan penuh. Sehingga kini seramai 399 orang pelajar telah bergraduat dalam bidang Undang-Undang dan Syariah daripada USIM. Bayangkan, semenjak 2010 memohon, bahkan dengan pelbagai karenah birokrasi dan red tape, namun akhirkan agenda pihak berkepentingan, UEC pula didahulukan dan dibelai manja!.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh sekolah Cina swasta, sekolah yang mekar di zaman penjajahan British untuk mengekalkan jati diri etnik Cina walaupun jauh terpisah daripada Tanah Besar China. Masyarakat pelombong Cina pada abad ke-19 bagi melindungi identiti bangsa telah berusaha membangunkan pendidikan Cina. Bagi memastikan berlakunya mobiliti sosial berlaku sijil persekolahan disediakan bahkan lepasan sekolah-sekolah Cina dapat melanjutkan pendidikan tinggi ke Taiwan dan China.

Mengapa kita tidak boleh mengiktiraf sijil ini di negara kita dan apakah kerugian mengiktiraf UEC terhadap sistem pendidikan negara ini? Walaupun taraf UEC lebih tinggi penarafannya berbanding STPM, tetapi kita akan hilang identiti sebuah negara bangsa bahkan meremahkan sistem penarafan pendidikan yang sedia ada.

Sekolah swasta Cina menggunakan silibus dari China, menggunakan sejarah Negara China, menggunakan Mandarin sebagai bahasa rasmi mereka dengan matlamat pengukuhan jati diri bangsa malah melahirkan sikap etnosentrism.

Dengan latar belakang ini, adakah mereka ini akan mempunyai rasa kasih dan sayang yang sejati kepada Malaysia, bahkan mampu merapat jurang intergrasi antara kaum? Mengapa perlu mengiktiraf persijilan mereka sekiranya ia merupakan pilihan mereka untuk bersekolah swasta Cina seterusnya membina tembok kaca antara kaum? Kita telah merdeka lebih 60 tahun, namun hubungan antara kaum tetap suram dan hambar.

Mengiktiraf UEC bermakna, kita telah melakukan dua kesilapan besar iaitu pertamanya, memandang rendah pada sistem sedia ada dan penarafan persijilan serta melonggarkan ikatan negara bangsa yang telah dibina sejak lama dan akan membawa kepada ketiadaan jati diri serta mendobrak kesetiaan kepada negara.

Pengiktirafan UEC ini, bermakna satu lagi benteng negara dan kontrak sosial akan dirombak sedikit demi Kerajaan PH mengheret kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama, mereka memicu kepada kebencian antara kaum.

Apa yang berlaku, dengan campur tangan Peguam Negara serta kelemahan Kementerian Pendidikan dalam isu UEC ini menunjukkan kelemahan kerajaan PH serta dominasi DAP dalam pentadbiran negara. Kelompok etnosentrism ini memanfaatkan seluruh ruang yang ada untuk mereka menjayakan agenda sempit politik mereka.

Dalam tempoh kurang setahun ini pelbagai kerosakan, pelanggaran kepada kontrak sosial, memicu api kebencian antara kaum serta watak pemimpin yang berjiwa kerdil yang tak mewakili semua bangsa. Saya terbayangkan wajah adik-adik pelajar Undang-Undang dan Syariah USIM yang menghabiskan masa enam tahun mereka berteleku memerah keringat untuk sekeping kertas maruah harga diri namun dengan penghujung yang sebegini. Mohon Menteri Pendidikan kerajaan PH, jangan terlalu selesa di bilik berhawa dingin, potfolio anda antara yang paling cacamerba pasca 9 Mei 2018! – HARAKAHDAILY 2/4/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

KEADAAN di Palestin terus meruncing. Sejak protes besar-besaran yang bermula 30 Mac yang lalu, 210 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh dan 18 ribu orang tercedera akibat tindakan agresif dan kejam rejim Zionis Israel.

Kini menjadi kebiasaan bagi askar Zionis menerjah sekolah-sekolah Palestin bagi menangkap anak-anak sekolah tanpa sebab munasabah.

Israel yang kini di ambang pilihan raya menyaksikan parti-parti politik berlumba-lumba menampilkan prinsip dan pendirian Zionis mereka bagi memenangi undi dengan memangsakan rakyat Palestin.

Malam Solidariti Palestin yang akan diadakan pada malam ini adalah bagi menunjukkan kebersamaan kita bersama rakyat Palestin di dalam memperjuangkan pembebasan Al-Aqsa dan tanah air mereka.

Tarikh: 2 April 2019
Masa: 9.00 malam
Tempat: Dataran KUIZM Taman Melewar

Di kala usaha sedang giat dilakukan untuk melemahkan keprihatinan kita terhadap isu Palestin, umat Islam wajib menunjukkan kesatuan di dalam menghadapi gerakan menyisihkan Palestin sebagai isu terpencil.

Apa yang kita lakukan hari ini untuk Palestin? Ayuh hadirkan diri untuk memahami isu ini dan mendapat info terkini mengenainya. Sekali gus sebagai solidariti kita bersama Umat Islam di Palestin.

“Penderitaan Mereka Tanggungjawab Kita”
“Islam Memimpin”

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
26 Rejab 1440 | 02 April 2019 – HARAKAHDAILY 2/4/2019

Lampiran:

Malam Solidariti Palestin

Tarikh : 2 April 2019
Hari : Selasa
Masa : 9.00 mlm - 11.30 mlm
Tempat : Dataran Kolej Univ. Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) Taman Melewar Gombak. Kuala Lumpur

Penceramah :

1. Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Presiden PAS

2. Syeikh Dr Aahid Abu Ata, Ketua Cabang Ulamak Palestin di Asia Tenggara

3. YB Dato Tuan Ibrahim Tuan Man
Ahli Parlimen Kubang Kerian
Timbalan Presiden PAS

4. Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

5. Dato’ Dr Mahfouz Mohamad
Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia.

6. YB Dato’ Dr. Nik Zawawi Mohd Salleh
Timb. Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia
(Setiausaha Majlis Syura Ulamak)

7. YB Ustazah Nuridah Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

8. YB Dato’ Dr Khairudin Aman Razali at Takiri
AJK PAS Pusat

9. M. Balasubramaniam
Ketua DHPP Malaysia

10. Sdr Ir. Hj. Khairil Nizam
Timb. Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Anjuran Lajnah Penerangan & Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

●     PAS melakukan kunjungan hormat ke ibu pejabat MIC. Kata Presiden PAS lagi, MIC diibaratkan sebagai keluarga. Pernah sama-sama berjuang untuk kemerdekaan Malaysia. Islam juga kata Presiden PAS tidak membezakan warna kulit, bangsa, agama dalam kehidupan dunia ini. Kita semua adalah makhluk Allah. TGHH turut mengatakan al-Quran tidak menghalang bukan Islam turut menjadi pimpinan masyarakat, tetapi ia tertakluk juga dengan kehendak Islam, setakat mana ia dibenarkan. Sekarang PAS sedang membuka pintu perdamaian dengan MCA pula.

PAS secara terus terang, hanya mahukan kerjasama dengan Umno untuk kepentingan Melayu Islam, bangsa teras di Malaysia tetapi dalam masa yang sama, memahami akan Umno yang mempunyai kembar, MCA dan MIC. Jadi tiada salahnya menjemput sama-sama kedua parti terbesar mewakili bangsa masing-masing bagi menumbangkan PH, dengan mengutamakan isu rakyat, jika MCA mahu selepas MIC telah bersetuju.

Sama tindakan ini ketika PAS mahu berkerjasama dengan DAP dahulu, ia kerana keuntungan kepada agama. Jadi sangat benar kenyataan Presiden PAS bahawa politik ini sangat fleksibel. Boleh berubah fekahnya bila-bila masa. Dan PAS memilih untuk merubah pendekatan hanya apabila menguntungkan Islam. Dan PAS selalu mendapat laba atas kerjasama politik. Tak percaya? Tengok keahlian PAS, semakin bertambah, semakin bertambah, menokok melebihi parti lain selepas kerjasama terbentuk.

     Brunei telah mengumumkan akan melaksanakan hukuman Hudud yang ditangguhkan lebih kurang lima tahun lalu atas sebab tekanan dunia. Keputusan ini juga termasuk hukuman rejam dan sebat. Seluruh pembenci Islam, menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan itu. Mereka mengajak untuk memboikot, menggunakan kuasa dan apa sahaja bagi memberi tekanan kepada Brunei.

Brunei telah dipilih Allah untuk melaksanakan hukuman Allah ini. Mereka tidak mempunyai sejarah yang kuat berkaitan Islam, tetapi itu bukan satu alasan. Ketika aku ke Brunei atas lawatan untuk mengetahui tentang proses membentuk Undang-undang Hudud ini pada tahun 2013, beberapa pegawai agama memberitahu yang mereka pernah belajar di sekolah agama di Terengganu. Jauhnya perjalanan mereka mencari ilmu. Dan lebih membanggakan, Terengganu antara destinasi mereka mencari ilmu. Semoga Brunei kuat menghadapi tekanan ini serta berjaya dan semoga Terengganu pula mendapat manfaat daripada Brunei.

     Taiwan rancang untuk kenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk. Setakat ini dikhabarkan banyak kes langgar mati oleh kerana pengaruh alkohol. Hukuman maksima langgar mati di Taiwan ialah 10 tahun penjara yang dikatakan tidak mencukupi. Maka cadangan ini adalah munasabah bagi mengurangkan kematian.

Isu ini menunjukkan bahawa kebenaran Islam ribuan tahun dulu yang mengatakan arak ini adalah perosak. Rasulullah berpesan, arak itu ibu segala maksiat. PAS, sangat memahami akan kehendak yang Allah mahukan, maka PAS ketika memerintah negeri dengan kuasa dua pertiga, telah menghadkan penjualan arak sebab arak tidak sama dengan judi.

Tetapi apabila teringatkan cerita almarhum TGNA yang isteri-isteri kaum Cina mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana suami-suami mereka tidak lagi mabuk dan berjudi, kita faham perasaan mereka. Hanya golongan gila sahaja yang kemaruk mahu mengadakan pesta minum arak. Apa lagi kalau yang menyokong itu dari kalangan yang mengaku Islam.

     Bakal calon PKR Dun Rantau Dr Streram berkata MIC adalah dalang atas kekecohan yang berlaku apabila seorang lelaki India yang juga ketua ranting Taman Cempaka, Rantau diserang oleh lelaki India yang lain yang dikenali mangsa. Dia ditetak menggunakan parang oleh penyerang. Kata Streram, ini adalah kerana BN takut kalah dalam PRK Rantau nanti. Apabila ditanya lanjut, Streram berkata penyerang 'disyaki' sebagai anggota MIC.

Berita sebegini mengingatkan kita kepada kempen PH pada PRU yang lalu. Kempen fitnah dulu, baru diam kalau salah. Apa-apa pun, mesti tuduh dulu. Begitulah perangai mereka. Apabila disyaki, terus betul. Jadi tertuduh pula yang kena membela diri atas tuduhan yang tak tahu hujung pangkal. Begitulah cara mereka yang terdesak. Apatah lagi setelah MIC setuju berkerjasama dengan PAS. Lagilah sakit hati mereka.

Oh, sebelum lupa, Ahli Parlimen Miri, secara tiba-tiba memberikan sumbangan makanan kepada lima buah sekolah di sekitar Dun Rantau, dengan jumlah sebanyak RM75 ribu. Nanti takut ada yang tolong jawab, ia sememangnya sudah dirancang lama sebelum PRK. Bukti PH lebih teruk dari BN.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar - HARAKAHDAILY 2/4/2019

DEWAN Pemuda PAS Padang Terap merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Mohd Khairudin Ahmad, 34, yang tinggal di Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana lemas di sungai berhampiran Sham Feritigasi, Simpang Empat pada petang ini.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang amat dirasai oleh kami kerana istiqamah dan komitmen beliau dalam perjuangan Islam.

Allahyarham merupakan ketua penerangan pada sesi lalu, dan ketua lajnah tarbiah pada sesi ini dalam Dewan Pemuda PAS Padang Terap dan juga Pengerusi PASTI Al-A'la Kampung Kubang Palas Kuala Nerang. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Sikap yang sentiasa tawaduk, ringan tulang, sentiasa senyum, sentiasa berada di mana-mana program PAS sambil menjual air Nira, sangat meruntun hati apabila mengenangkan saat-saat ketika bersama Allahyarham.

Semoga sikap istiqamah Allahyarham dalam perjuangan Islam, mewariskan pula semangat perjuangan kepada generasi pemuda yang masih hidup.

Takziah kami ucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga keluarganya sabar dengan kepulangan Al-Marhum ke Rahmatullah serta didoakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

NURUL AMIN HAMID
Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Terap
1 April 2019 – HARAKAHDAILY 1/4/2019

More Articles ...