21
Sat, Sep
33 Artikel Baru

PENGUMUMAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan dengan kos yang jauh lebih rendah amatlah membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Perlu diketahui, kita adalah satu-satunya negara yang berjaya merundingkan semula kontrak gergasi dengan China di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI) yang dilancarkan sejak 2013.

Pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 12 April baru-baru ini menyaksikan harga projek berkenaan dikurangkan kepada RM44 billion – pengurangan sebanyak RM21.5 billion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 billion.

Malah CCCC bersetuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 billion bayaran pendahuluan yang telah dibayar oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Selain daripada penjimatan berkenaan, penyertaan kontraktor tempatan turut ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus dan perkongsian risiko kini tidak lagi ditanggung kita 100 peratus, sebaliknya dikongsi 50-50 dengan CCCC.

Antara kompromi yang kita serahkan kepada China demi memeterai pindaan SA projek ECRL ini ialah 50 peratus pemilikan pengoperasian dan penyelenggaraan kepada CCCC, selain 20 peratus keuntungan yang mana sebelum ini kedua-dua perkara ini adalah 100 peratus milik kita.

Hal ini tentunya mengundang reaksi balas segelintir pihak termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang kini menghadapi berpuluh-puluh tuduhan di mahkamah mengkritik: “Cadangan pihak China terlibat dalam pengurusan ECRL tak wajar kerana ini adalah pengangkutan dalaman negara dan rakyat Malaysia ada kemampuan kendalikan seluruh sistem rel, sebab itu sebelum ini kita latih pekerja kita”.

Menurut Najib lagi, penyerahan 50 peratus pengurusan kepada China “berisiko menjejaskan keselamatan negara kerana maklumat berkenaan keselamatan negara akan diketahui pihak luar”.

Najib turut berhujah bahawa angka RM44 billion yang ditandatangani kerajaan PH untuk projek ECRL ini adalah bukti bahawa tuduhan ahli politik PH tentang ECRL sebagai topeng China untuk membantu membayar hutang 1MDB sebagai tidak benar.

Hal ini demikian kerana kerajaan PH mengakui bahawa kos asal ECRL yang berjumlah RM65.5 billion dikurangkan antaranya melalui pembatalan laluan terowong Banjaran Titiwangsa sepanjang 18km yang bernilai RM10 billion. Sebelum ini, ahli politik Pakatan – sebahagian besarnya memetik sumber Sarawak Report yang bertajuk OUTRAGE! - Najib’s Secret Deal With China To Pay Off 1MDB (And Jho Low’s) Debts! bertarikh 26 Julai 2016 – menuduh kos ECRL sepatutnya hanya sekitar RM30 billion dan kos RM55 billion yang ditandatangani Najib dengan China adalah bukti bahawa berlakunya penyelewengan.

Maka di sini timbul persoalan: jika ECRL ini adalah ‘alat’ Najib untuk membayar hutang 1MDB, mengapa kerajaan PH hanya mengurangkan kosnya menjadi RM44 billion (selepas ditolak RM10 billion terowong Banjaran Titiwangsa)?

Di bahagian manakah dalam kos ECRL yang dikurangkan kerajaan PH ini yang dikatakan sebagai bertujuan ‘membayar hutang 1MDB’ dahulu?

Adakah hal ini tidak dijelaskan kerana sememangnya dalam perjanjian ECRL Najib dahulu tidak melibatkan kos ‘membayar hutang 1MDB’ sama sekali?

Memang benar, pada satu sisi, ahli ekonomi Yunani Panos Mourdoukoutas melalui majalah perniagaan Forbes memuji Perdana Menteri Tun Mahathir kerana berani melawan China manakala pemimpin dunia lain tidak.

Hal ini berbeza dengan negara-negara lain seperti Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina yang diperangkap hutang oleh China.

Namun begitu, pada sisi yang lain, pemeteraian perjanjian tambahan (SA) ECRL ini menimbulkan lebih banyak persoalan politik berbanding jawapan.

Malah, Dr Mahathir sendiri turut mendedahkan bahawa rundingan semula perjanjian projek mega ini ditandatangani tanpa sebarang syarat supaya China menyerahkan ahli perniagaan dalam buruan kerajaan iaitu Jho Low.

Sebaliknya, beberapa hari lalu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan bahawa Jho Low bukan sahaja bebas bergerak antara Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China, malah beliau turut memiliki kad penduduk Hong Kong dan syarikat beliau masih beroperasi di sana.

Semoga kesemua persoalan ini tidak kekal menjadi misteri.

*ABDUL MUEIN ABADI ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia - HARAKAHDAILY 19/4/2019

SIAPAKAH yang akan memenangi Pilpres Indonesia, Jokowi atau Prabowo? Bilakah keputusan rasmi Pemilu akan diumumkan?

Itulah persoalan yang sedang berlegar di pemikiran kita.

syahir2Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, keputusan rasmi Pemilu 2019 hanya akan diumumkan secara progresif bermula 25 April hingga 22 Mei 2019.

Manakala pengumuman rasmi Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 pula dijadualkan pada 20 Oktober 2019.

Debaran selepas ‘pencoblosan’ pada 17 April yang lalu adalah terhadap unjuran ‘hitung cepat’ (quick-count) yang dijalankan oleh 40 badan bebas berdaftar dengan KPU.

Unjuran hitung cepat berkenaan adalah keputusan tidak rasmi yang menggunakan kaedah statistik dengan mengambil sejumlah kertas undi di Tempat Pemungutan Suara (TPS) terpilih untuk dijadikan sampel bagi membuat anggaran keputusan keseluruhan.

Badan kajian bebas tersebut menggunakan sampel kiraan undi di 3,000 hingga 6,000 TPS yang terpilih, berdasarkan kriteria pemilihan TPS tertentu.

Berdasarkan unjuran hitung cepat oleh badan-badan bebas antaranya KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, dijangkakan pasangan Jokowi-Ma'ruf memperoleh peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 hingga 46 peratus.

Namun Prabowo menolak unjuran hitung cepat yang dilakukan badan-badan berkenaan, dan mendakwa sudah berada di posisi 62 peratus pada malam hari pencoblosan.

Berdasarkan Pemilu 2014, jangkaan hitung cepat yang dijalankan oleh badan-badan bebas tersebut hampir 99 peratus tepat dengan keputusan akhir yang diumumkan oleh KPU.

Maka adalah sukar untuk menjangkakan keputusan rasmi yang terhasil daripada pencoblosan 77.5 peratus pengundi yang keluar daripada 190 juta pengundi yang berdaftar dalam Pemilu 2019 ini, melibatkan lebih 780,000 TPS keseluruhannya.

Justeru semua pihak disarankan untuk bertenang dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau provokasi menjelang pengumuman rasmi oleh KPU, melibatkan keputusan Pilpres dan pemilihan legislatif (Pileg) yang dijalankan serentak buat pertama kalinya di Indonesia.

Ternyata kehangatan dan tumpuan terhadap Pemilu 2019 adalah sangat tinggi kerana ianya bukan sekadar menjadi penentu kepada hala tuju sosio-ekonomi di kepulauan Indonesia, malah turut memberi kesan kepada kestabilan geopolitik di rumpun Nusantara.

SYAHIR SULAIMAN
Jakarta
18 April 2019 – HARAKAHDAILY 19/4/2019

SAYA membaca kenyataan peguam Latheefa Koya Abdullah yang mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung. Kenyataan tersebut disiarkan melalui laman portal berita MalaysiaKini dengan tajuk "Wanita tidak seharus dipaksa bertudung - Latheefa". Pada saya, kenyataan tersebut sangat merbahaya dan tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh seorang wanita muslimah.
 
Pada asasnya, perlu difahami bahawa menutup aurat adalah sesuatu yang menjadi kewajipan di dalam Islam. Aurat seorang wanita muslimah bukan merupakan maklumat rahsia bahawa ia meliputi seluruh anggota tubuh melainkan muka dan tangan. Justeru, dengan menyatakan bahawa seorang wanita (muslimah) tidak seharusnya dipaksa untuk bertudung adalah satu kenyataan boleh difahami telah menafikan kewajipan untuk menutup aurat bagi seorang wanita muslimah.
 
Saya setuju bahawa kita tidak boleh memandang rendah dan serong terhadap wanita muslimah yang tidak bertudung. Kemungkinan yang mendorongnya untuk tidak menutup aurat dengan sempurna berpunca dari pelbagai faktor sama ada kejahilan, tekanan sekitar dan sebab-sebab lain. Bagaimanpun, ia tidak pernah menafikan bahawa sebagai seorang muslimah, menutup aurat dengan sempurna tetap menjadi kewajipan.
 
Menyatakan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung samalah ertinya ada menyatakan bahawa umat Islam tidak harus dipaksa solat, atau anggota masyarakat tidak harus dipaksa menjaga kebersihan. Konotasi 'dipaksa' itupun telah membawa kepada satu pemahaman berbentuk negatif.
 
Bukan menjadi satu keperluan untuk membuat penegasan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung pada masa kini. Pendidikan terhadap wanita muslimah perlulah sentiasa berterusan agar mereka memahami bahawa menutup aurat merupakan satu kewajipan di dalam Islam. Ia bukanlah kerana orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, dan rambut, dan seks sebagaimana dakwa Latheefa tetapi ia adalah kerana perintah Allah S.W.T.
 
Saya nasihatkan Latheefa Koya, berhati-hatilah khususnya dalam urusan agama.
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
18 April 2019

KEPALA BATAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas telah membuat laporan polis berhubung penghinaan ke atas Rasulullah S.A.W di Balai Polis Kepala Batas, di sini malam tadi.

Laporan ke atas individu menggunakan akaun Facebook dengan nama Asiah Abd Jalil itu dipimpin Timbalan Ketua Pemuda PAS Kepala Batas, Ustaz Muhd Farid Hamdi Muhammad Redzuan.

Menurut beliau, tindakan individu dipercayai peguam itu sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam yang mendidik umatnya beriman dengan Baginda yang juga penghulu segala Nabi dan Rasul.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Kepala Batas berharap laporan rasmi itu membolehkan pihak polis bertindak menyiasat seterusnya mengambil tindakan perundangan ke atas individu tersebut.

Mereka turut melahirkan rasa sedih dan marah berikutan mutakhir ini perbuatan seumpama semakin menjadi-jadi di dalam negara ini sedangkan Islam adalah Agama Persekutuan.

Hadir sama bersolidariti memberi sokongan dan membuat laporan polis itu adalah wakil dari NGO Syabab At-Taqwa, Ustaz Muhd Saiful Amri Ibrahim. - HARAKAHDAILY 18/4/2019

PELUNCURAN buku yang mencetuskan kecaman dan kemarahan ramai oleh penulis Unveiling Choice, Maryam Lee telah diwacanakan dalam satu forum ‘Malay Woman and Dehijabbing’ membuka mata tentang sejauh manakah Kerajaan serius menangani tindakan golongan yang ekstrem melakukan provokasi terhadap syariat Islam.

Dalam tulisannya, penulis telah menguar-uarkan harapannya agar wanita Islam mendapat keberanian untuk berhadapan dengan ‘paksaan’ bertudung, tanpa penulis mampu menukilkan fakta jumlah kes sebenar dan tepat tentang wanita Malaysia mahupun luar Malaysia yang bertudung kerana dipaksa. Menyebut andaian tanpa fakta sememangnya mudah.

Selain itu, penulis jelas mempersoalkan perintah Allah dalam syariat Islam yang mengambil berat tentang maruah dan keselamatan wanita, lalu diterjemahkan perlindungan itu melalui syariat menjaga aurat, malah lelaki juga mempunyai aurat yang wajib dijaga bukan hanya wanita.

Penulis malah menjadikan kata-kata Amina Wadud sebagai sandaran apabila menyebut sebaik-baik pakaian adalah ‘khairul takwa’, mencerminkan salah faham, salah tanggap dan stereotaip terhadap Islam.

Salah faham ini nampaknya disokong Latheefa Koya yang mengaitkan ayat Al-Quran “La ikraaha fiddin”, tiada paksaan dalam Islam dengan kewajipan menutup aurat. Sedangkan tafsiran ayat tersebut telah diketahui merujuk kepada tiada paksaan dalam memeluk agama Islam.

Namun apabila seseorang itu telah memilih Islam sebagai agamanya, maka sudah pasti dia terikat dengan peraturan-peraturan Islam. Sama seperti warganegara Malaysia yang terikat dengan semua undang-undang negara ini tanpa boleh mengatakan “tiada paksaan dalam mematuhi undang-undang negara”.

Sewajarnya penulisan ini harus diambil tindakan di bawah Perkara 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) di bawah kuasa Menteri kerana jelas tindakan penulis ini dianggap sebagai perbuatan yang tidak disenangi dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Saya sedia maklum akan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan terhadap perkara ini.

Namun keprihatinan saya adalah tentang “Apa selepas siasatan tersebut?” Apakah tindakan Menteri Dalam Negeri terhadap cetakan buku tersebut? Asasnya, rakyat mempersoalkan keseriusan Kerajaan menangani insiden seperti ini atau sekadar mengambil tindakan untuk meredakan ‘mood’ orang ramai.

Kerajaan perlu dilihat serius dan komited untuk menjaga rakyat. Rakyat bersuara dan menzahirkan keresahan kerana Kerajaan gagal dilihat berperanan adil, bijak dan pantas dalam menangani kontroversi yang mencabar amalan majoriti rakyat Muslim, sedangkan Islam adalah agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Apatah lagi, rakyat turut terbawa sensiviti berhubung tindakan-tindakan Kerajaan kebelakangan ini yang dibuat tanpa mengambil kira pandangan pemegang taruh yang berkaitan. Hal ini jelas mewujudkan bibit sangsi dan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Ya, apabila membuka hijab, bumi tidak bergoncang. Akan tetapi Malaikat ‘Atid dan Raqib tidak memejam penglihatannya daripada dosa-dosa yang dibanggakan.

Jangan semberono menghalalkan tindakan salah dengan menyalahgunakan nama hak asasi. Sedangkan hak asasi yang sebenar menjamin hak seseorang untuk menjunjung peraturan agamanya. Dan Islam yang syumul itu ada haknya ke atas setiap Muslim.

“Islam Memimpin”

YB SENATOR NURIDAH MOHD SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 19/4/2019

TUDUHAN Numan Afifi di Geneva, Switzerland bahawa kerajaan telah mendanai ‘program keganasan’ ke atas golongan LGBT adalah jelas suatu kebohongan nyata yang boleh menjejaskan reputasi negara, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Berucap sewenang-wenangnya di pentas antarabangsa dan mempertahankan ucapan itu atas nama kebebasan menunjukkan kedangkalan dalam memahami prinsip kebebasan yang seharusnya dibatasi dengan etika dan norma.

Sewajarnya beliau menarik semula ucapan tersebut dan meminta maaf, selain tindakan juga patut dikenakan ke atas NGO-NGO yang telah mengemukakan laporan salah itu termasuk mempromosi budaya songsang di negara ini.

Kami dengan ini menyatakan sokongan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri atas usaha sama sejak 2011 dalam menganjurkan Mukhayyam bagi memulihkan golongan LGBT menerusi aktiviti keagamaan, kesihatan dan rekreasi.

Kami juga tanpa berganjak tegas menyatakan pendirian bahawa LGBT adalah suatu kemungkaran dan jenayah di sisi Islam serta undang-undang di negara ini, bahkan ianya perlakuan yang merosakkan ketamadunan manusia.

Kami mengingatkan bahawa melanggari batas undang-undang dan agama dalam memperjuangkan kebebasan individu yang palsu ini adalah suatu pengkhianatan terhadap kemanusiaan sejagat yang mesti dihentikan.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 18/4/2019

BARU-baru ini tular seorang peguam bernama Asiah Abdul Jalil menulis di akaun Facebook miliknya yang intipati utamanya adalah perihal perkahwinan dan dalam tulisannya itu punya unsur penghinaan dan fitnah terhadap Rasulullah SAW.

Menurut Asiah, Rasulullah SAW bersenang lenang di Gua Hira' dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang. Sedangkan kita sedia maklum bahawa Rasulullah SAW ke Gua Hira' bukanlah untuk bersenang lenang, namun di situlah tercatat sejarah besar di mana Nabi menerima wahyu yang pertama serta dilantik sebagai Ar-Rasul SAW.

Asiah turut menulis, Nabi SAW berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda SAW yang sedia ada dan beliau menyambung lagi bahawa apabila Nabi pening dengan karenah isteri-isteri baginda, Allah beri jalan keluar dengan ugutan talak terhadp isteri-isteri baginda.

Ini adalah suatu tuduhan dan penghinaan berat terhadap seorang insan mulia, yang dilantik sebagai Rasulullah SAW.

NGO Pertubuhban Pendukung & Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan dan penulisan Asiah terhadap Nabi SAW dan menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan serius terhadap beliau.

Saat umat Islam diserang dari pelbagai sudut, ruang dan daripada musuh luar dan dalam negara, kini ditambah pula serangan dan penghinaan terhadap Nabi SAW oleh orang Islam sendiri.

Perbuatan ini perlu dihentikan dengan tindakan yang sepatutnya sebelum merebak dengan lebih parah oleh mereka yang anti Islam ataupun 'Islamophobia'.

NGO Geng Ustaz turut menyarankan agar umat Islam di Malaysia sedar dan bangkit serta tunjukkan cinta kita terhadap Islam dan Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT pelihara agama kita dan terus kekal istiqamah di jalan-Nya.

USTAZ KAMALUL HYSHAM
Pemangku Presiden NGO Geng Ustaz – HARAKAHDAILY 18/4/2019

More Articles ...