21
Sat, Sep
33 Artikel Baru

KUALA LUMPUR: Tersebar di media sosial tentang berita bahawa Ustaz Dato' Ismail Kamus, 71 berada dalam keadaan sangat tenat dan telah meninggal dunia, di mana ia adalah tidak benar sama sekali.

Menurut sumber, Exco Lajnah Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh memaklumkan, tokoh ulamak itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara Kuala Lumpur pada 28 April yang lalu atas masalah kesihatan jantung lemah,

Terangnya, atas faktor tersebut beliau telah menerima rawatan pembedahan kecil untuk memasukkan bateri dan sehingga kini keadaan beliau adalah sihat serta stabil dan dibenarkan untuk keluar daripada Institut Jantung Negara pada petang ini , 11 Mei 2019. 

Ustaz Dato' Ismail Kamus merupakan bekas Ahli Dewan Negeri Gombak Setia (PAS) pada 1999 hinggan 2004 dan merupakan pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2002.

Beliau terkenal dengan kepakaran dalam perubatan Islam selain aktif dalam menyampaikann ceramah-ceramah kepada masyarakat tanah air.

"Sama-sama kita doakan agar Allah S.W.T memberikan kesihatan yang baik kepada Tuan Guru Dato' Ismail Kamus agar diberikan kesihatan yang baik," seru Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY 11/5/2019

RAMADAN Kareem, Alhamdulillah segala puji dan syukur pada Allah. Kita telah masuk kepada 6 Ramadan pada tahun ini, 6 hari dilalui oleh umat Islam dalam madrasah Ramadan.
 
Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah yang Allah telah sediakan buat kita bagi sama-sama kita menginsafi sifat makhluk dan mentarbiyah diri untuk patuh pada suruhan Allah serta moga menatijahkan takwa kepada kita.
 
Dalam masa yang sama, Ramadan merupakan bulan ukhwah bila mana umat Islam beramai-ramai mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau bagi solat dan iftar.
 
Dikesempatan ini, saya ingin menyeru kepada agensi-agensi Pemuda PAS terutamanya Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda di semua peringkat untuk turut sama-sama memperbanyakkan program bersama rakan-rakan non-Muslim terutamanya dalam program Iftar. 
 
Gunakanlah kesempatan iftar Ramadan ini untuk memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat non-Muslim. Jadikanlah Ramadan tahun ini untuk kita rapatkan rakan-rakan non-Muslim kita kepada agensi-agensi kita terutamanya masjid dan surau.
 
MOHAMMAD ARIFIRIAZUL PAIJO
Pengerusi 
Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 11/5/2019

PAS amat terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang, Datuk Liew Vui Keong, bahawa jawatan anggota Kabinet Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH belum diwartakan setelah genap setahun memerintah negara ini.

Berdasarkan Seksyen 2 Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, setelah Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan perlu mewartakan perintah Yang di-Pertuan Agong yang dinamakan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2019. Tarikh kuat kuasa perintah berkenaan juga perlu dinyatakan dengan jelas dalam Warta tersebut.

Pewartaan jawatan-jawatan ahli-ahli Kabinet amatlah penting dan perlu dibuat segera bagi mengesahkan fungsi-fungsi serta bidang tugas Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri yang dilantik tersebut.

Tindakan mewartakan perlantikan ini tidak sewajarnya dianggap remeh oleh Kerajaan kerana ianya akan melibatkan keabsahan (legality) tugas-tugas ahli-ahli Kabinet berkenaan dan kesan terhadap kuasa-kuasa yang telah digunakan oleh mereka.

Dengan ini PAS menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang, Ketua Setiausaha Negara yang sepatutnya membuat pewartaan ini serta Peguam Negara yang sepatutnya menyiarkan Warta ini memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat tentang perkara ini.

Di atas kegagalan pihak-pihak berkenaan di atas memberikan penjelasan yang memuaskan, PAS menuntut mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan segera meletakkan jawatan masing-masing.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 10 Mei 2019 – HARAKHDAILY 10/5/2019

مَّا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمٖ وَلَا لِأٓبَآئِهِمۡۚ كَبُرَتۡ كَلِمَةٗ تَخۡرُجُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبٗا

"Mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta."

Penekanan utama ayat:

●     Berkata tanpa ilmu

Islam adalah agama ilmu. Perkataan pertama yang turun adalah اقرأ bererti bacalah, merujuk kepada wasilah ilmu. Mereka yang berpegang kepada ajaran Islam mestilah mereka yang meletakkan ilmu sebagai kepentingan utama.

Bercakap tanpa ilmu adalah perkara yang amat ditentang di dalam Islam. Firman Allah S.W.T:

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّـهِ عَظِيمٌ

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya."

[an-Nur:15]

Golongan inilah yang digelar sebagai sesat lagi menyesatkan. ٍSabda Rasulullah S.A.W:

إن اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

"Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menarik langsung daripada para hambaNya, tetapi menarik ilmu dengan mematikan para ulama'. Sehingga apabila tiada lagi seorang alim yang tinggal, maka dilantik kalangan orang jahil sebagai pemimpin. Maka mereka ditanya lalu mengeluarkan pandangan tanpa ilmu, lalu mereka sesat lagi menyesatkan"

[HR Bukhari & Muslim] 

●     Anti taqlid buta

Tuhan sengaja memetik لآباءهم  bermaksud bapa-bapa mereka, bagi merujuk bahawa bapa-bapa mereka juga tidak tahu. Tetapi tabiat manusia mudah dipengaruhi cakap-cakap orang tua sehingga ke tahap kepercayaan akidah. Sedangkan ajaran Islam adalah terbina atas asas ilmu, bukan ikut-ikutan. Sikap taqlid buta amat-amat ditentang dalam Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip keilmuan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّـهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ 

"Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?"

[Al-Baqarah 168]

     Bahaya lidah

Lidah tidak bertulang ini walaupun lembut, tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Dengan lidah kita diiktiraf sebagai Islam iaitu dengan lafaz syahadah. Lidah juga menjadi satu antara tiga jalan seseorang boleh jatuh ke lembah kekufuran. Justeru menjaga lidah adalah sesuatu yang teramat penting di dalam Islam. Sabda Rasulullah ketika menerangkan tentang gambaran Islam kepada Muaz bin Jabal:

ألا أخبرك بمِلاك ذلك كله؟)) فقلت: بلى يا رسول الله، فأخذ بلسانه وقال: ((كف عليك هذا))، قلت: يا نبي الله، وإنا لمؤاخذون بما نتكلم به؟! فقال: ((ثكلتك أمك يا معاذ، وهل يكُبُّ الناسَ في النار على وجوههم - أو قال: على مناخرهم - إلا حصائدُ ألسنتهم)

"Tidakkah kamu mahu aku khabarkan tentang asas bagi segala perkara tersebut? Jawab Muaz: "Ya Wahai Rasulullah." Muaz bertanya: "Wahai Nabi Allah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami kata?" Jawab Rasulullah SAW: "Semoga ibumu mengasihanimu. Tidaklah seseorang dihumban ke dalam neraka melainkan daripada hasil kata-kata mereka.""

[HR Tirmizi]

     Penipuan trademark musuh Islam

Islam agama kebenaran. Kebenaran di sisi tuhan hanya satu. Justeru bagi menentang Islam, senjata musuh mestilah lawan kebenaran iaitu pembohongan. Mereka menggunakan lidah mereka menyebarkan pembohongan demi menutup hakikat Islam. Firman Allah S.W.T:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)."

[As-Saff: 8]

Umat Islam perlu menjauhi sifat menipu. Ia adalah lambang kemunafikan. Sabda Rasulullah S.A.W:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ : إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ

"Tanda orang munafik ada tiga. Jika dia bercakap dia berbohong. Jika dia berjanji dia mungkir. Jika dia diberi amanah dia khianat."

[HR Bukhari & Muslim]

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Bagi menentang tipu daya Dajjal adalah dengan membina generasi umat Islam yang berilmu. Ilmu pula mestilah bersumberkan kepada wahyu yang sahih, disokong dengan ilmu-ilmu akademik yang lain dan ilmu-ilmu moden yang banyak.

Malangnya hari ini kita hidup di era post-truth, era ilmu dan kebenaran sudah ditinggalkan. Secara ringkas, Post-Truth adalah satu istilah bagi menggambarkan keadaan di mana manusia sudah tidak mementingkan kebenaran sebagai asas pegangan. Sesuai dengan terjemahan secara literalnya ‘selepas kebenaran’, ia seolah merujuk kepada maksud bahawa era kebenaran telahpun berlalu ataupun kebenaran telahpun mati. Kamus Oxford menerangkan bahawa Post-Truth adalah keadaan di mana fakta objektif tidak begitu berpengaruh dalam membentuk pandangan awam berbanding emosi dan pandangan peribadi. Menurut kamus Cambridge juga menerangkan keadaan yang sama, di mana Post-Truth adalah situasi di mana manusia lebih suka untuk menerima argumen berdasarkan emosi dan pandangan peribadi mereka, berbanding dengan fakta.

Lapan kata kunci bagi memahami post-truth:

Penipuan

Perspektivisme

Persepsi

Emosi

Propaganda

Teori Konspirasi

Kebebasan Berpendapat

Media Sosial

Fenomena post-truth sebenarnya sudah dijelaskan oleh Nabi S.A.W sejak 1400 tahun dahulu. Sabda Baginda S.A.W:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قَالَ : الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

"Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang banyak pembohongan. Padanya dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohong. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati. Dan ketika itu golongan ruwaibidhah gemar bercakap". Sahabat bertanya "Apakah itu Ruwaibidhah?". Jawab Nabi "Orang yang lekeh tetapi bebas berbicara perkara besar" 

 [HR Ibn Majah]

Secara ringkasnya, hadis ini menjelaskan fenomena 'Post Truth':

•     Penipuan yang dahsyat dan terlalu banyak.

•     Ketika itu paradigma manusia menjadi songsang.

•     Pembohongan dan pengkhianatan mendapat sambutan.

•     Kejujuran dan keadilan disisihkan kerana dianggap sebagai beban.

•     Budaya pembodohan dan onar dipupuk. Lalu masyarakat yang telah dibodohkan bebas untuk memberi pendapat dan disuruh memilih.

Dengan ilmu, kita bukan sahaja berjaya menentang fitnah Dajjal, tetapi kita juga akan meramaikan kawan kerana post-truth tidak hanya ditentang oleh Islam, tetapi juga oleh ahli akademik keseluruhannya yang berpijak atas paksi ilmu.

Nabi S.A.W mengajarkan doa supaya sentiasa berada di jalan yang benar dan menjauhi jalan batil. Sabdanya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

 "Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa."

[HR Bukhari & Muslim]

4 Ramadhan 1440
9 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 9/5/2019

 

PEMUDA PAS Selangor melahirkan rasa keprihatinan atas musibah yang berlaku ke atas warga Klang dan sekitarnya dengan masalah bekalan air. Gangguan bekalan air yang menjejaskan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan sekitar Klang terjadi sejak Sabtu lepas sebelum menjelang Ramadan sehingga ke hari ini.

Walaupun informasi awal yang diterima, proses baik bulih secara berperingkat sedang dilakukan, namun sehingga ke hari ini bekalan masih belum mencukupi menampung keperluan warga Klang.

Pemuda PAS Selangor mengikuti rapat perkembangan semasa krisis air yang melanda di Klang sejak hari pertama kejadian. Di peringkat Pemuda PAS Selangor telah pun menggerakkan bantuan sukarelawan menerusi Lajnah Kebajikan dan Jabatan Amal Malaysia mengagihkan bekalan air minuman dan air bersih yang dihantar oleh pihak kawasan-kawasan ke tempat-tempat yang kritikal.

Pemuda PAS Selangor juga melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan sikap Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu air yang menimpa Rakyat Klang baru-baru ini berikutan kerja-kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Koridor Barat (WCE) Banting-Taiping.

Pihak kerajaan negeri dilihat gagal menyediakan plan kecemasan untuk menghadapi isu sebegini. Sumber dari pimpinan dan sukarelawan PAS Kawasan Kapar serta Klang mengatakan bahawa pihak kerajaan negeri gagal menyediakan lori tangki air yang mencukupi untuk penduduk setempat yang bermula pada hari Ahad lagi.

Pemuda PAS Selangor menegaskan bahawa sepatutnya sebagai sebuah kerajaan, keutamaan rakyat mesti diberikan fokus utama, namun perkara ini seakan tidak dipedulikan. Malah aduan demi aduan diterima dari rakyat terhadap kesulitan yang mereka dihadapi.

Melihat kepada situasi semasa ini, Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri untuk lebih proaktif bagi menyelesaikan krisis air ini. Cadangan yang boleh diambil tindakan oleh kerajaan negeri ialah :

1) Plan kecemasan yang efektif dengan menghidupkan semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk menggerakkan bantuan sampai Kepada rakyat yang terlibat dengan segera.

2) Intensif bantuan segera berbentuk kewangan sebagai pampasan kepada rakyat yang terlibat.

Pemuda PAS Selangor juga memperingatkan agar segala bentuk kenyataan yang bersifat manis politik mesti dijauhkan. Ini kerana beberapa hari lepas, apabila mengeluarkan kenyataan bahawa air sudah disalurkan, kegembiraan Rakyat hadir seketika, namun air masih belum sampai sepenuhnya ke pili air rumah.

Pemuda PAS Selangor meminta orang ramai boleh menilai sendiri apa yang berlaku di Klang dalam krisis air ini menerusi video dari Sukarelawan PAS bersama Dr Halimah Ali pada link tersebut:
https://www.facebook.com/450332874977897/posts/2460708137273684?s=1321545505&v=i&sfns=mo

Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
5 Ramadan 1440 / 10 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 10/5/2019

SETAHUN yang lalu anak muda meletakkan harapan yang tinggi kepada Pakatan Harapan.

Anak muda mengharapkan hutang PTPTN dihapuskan, tol dimansuhkan, GST dibatalkan, dan yang terpenting kos sara hidup dikurangkan.

syahir2Selain itu anak muda mengharapkan perubahan dalam negara dengan keadilan ditegakkan, rasuah dihapuskan dan skandal 1MDB dibongkarkan.

Maka ramailah anak muda berumur 20-an dan 30-an keluar mengundi pada 9 Mei yang lalu, sesak di setiap pusat pengundian bermula jam 9 pagi, beratur panjang untuk memangkah parti dan calon yang menjadi pilihan.

Melihat ramainya anak muda yang keluar mengundi, dengan semuanya tunduk menghadap ‘handphone’ yang tidak lekang di tangan, menandakan ada suatu gelombang yang ingin dihantar ke Putrajaya oleh anak muda pada hari pengundian.

Natijahnya suatu keputusan yang di luar jangkaan, BN tumbang buat pertama kalinya sejak negara mencapai kemerdekaan, di tangan PH yang menjanjikan 1001 harapan.

Hari ini genap setahun peristiwa bersejarah itu, namun anak muda yang dahulunya bersemangat untuk melakukan perubahan, kini tersenyum melihat janji dan harapan mereka dipermainkan.

Mengapa anak muda kecewa?

Anak muda kecewa kerana janji manifesto tidak ditunaikan. PTPTN masih perlu dibayar, tol masih perlu dibayar, cukai makin banyak dibayar, malah harga minyak tidak turun sebagaimana dijanjikan.

Anak muda juga kecewa kerana kos sara hidup masih tidak berubah, malah ramai yang rasa makin terbeban. Peluang pekerjaan tidak bertambah, malah ramai juga yang diberhentikan. Harga rumah tidak berubah, malah semakin sukar untuk didapatkan.

PH berbangga rasuah dapat dikurangkan, itu satu pujian.

Namun anak muda hairan melihat kes melibatkan pemimpin PH digugurkan, manakala wakil rakyat BN yang melompat parti terus disucikan. Anak muda mahu setiap tuduhan rasuah dibicarakan di mahkamah dengan adil, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ tanpa batasan.

Anak muda juga sangsi melihat kemampuan pemimpin Pakatan Harapan. Ada yang menipu kelayakan dan ada juga yang ijazahnya dipalsukan.

Ada Menteri membuat keputusan, namun terpaksa ‘u-turn’ kerana belum cukup kajian. Ada Menteri membuat pengumuman, namun terpaksa dibatalkan setelah menerima banyak bantahan. Tidak cukup dengan itu, hutang 1 trilion dan ketiadaan wang sering dijadikan alasan bagi menutup kelemahan.

Kini memasuki tahun kedua pemerintahan, PH meminta rakyat bersabar dan memberi lebih masa kepada kerajaan – janji untuk menunaikan segala manifesto, mengurangkan kos sara hidup dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Sejauh mana anak muda boleh menaruh harapan, hanya masa yang akan menentukan.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
9 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 9/5/2019

DENGAN keizinan Allah, saya berkesempatan berbahas mengenai Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 di Dewan Negara, semalam.

Walaupun mengambil masa yang singkat berbahas, namun ada beberapa perkara yang saya ingin gariskan berkaitan implikasi pelaksanaan levi pelepasan ini yang perlu diperhalusi semula oleh Kerajaan.

Pertama, caj levi pelepasan ini satu tambahan bebanan kepada rakyat khususnya yang sedia terbeban dengan SST dan caj perkhidmatan lain. Apakah Kerajaan tidak boleh memikirkan suatu mekanisme lain dalam meluaskan (diversity) pendapatan negara?

Kedua, caj levi pelepasan boleh menjejaskan sektor pelancongan secara tidak langsung. Berdasarkan kajian Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan Malaysia akan menghadapi penurunan jumlah penumpang sebanyak 835,000 setahun yang berlepas dari negara ini jika caj levi pelepasan ini dilaksanakan. Ia suatu perkara yang perlu diperhalusi dengan lebih mendalam.

Justeru, tindakan tidak menyokong RUU Levi Pelepasan 2019 yang dicadangkan adalah wajar dan jelas ia tiada keperluan bagi Kerajaan untuk mewujudkan caj baharu yang dilihat membebankan rakyat serta memberi kesan pada sektor pelancongan di peringkat ASEAN khususnya.

“Islam Memimpin”

SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara
9 Mei 2019 / 4 Ramadhan 1440 – HARAKAHDAILY 9/5/2019

More Articles ...