21
Sat, Sep
33 Artikel Baru

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) kecewa dengan pengumuman kerajaan yang tidak berhasrat memberikan ‘duit raya’ kepada peneroka dengan alasan kedudukan kewangan negara kurang memberangsangkan.

Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali mengundang seribu satu perasaan resah buat 112,635 peneroka yang sering mendapat manfaat dari kerajaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun Azmin sebagaimana dilaporkan media berkata kerajaan sedang berusaha memberikan insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka sebelum tiba Aidilfitri.

Menurut Presiden Generasi, Ustaz Roslan Md Esa, rata-rata peneroka kecewa dengan perkhabaran tersebut kerana selama ini telah menjadi amalan biasa oleh Felda memberi duit raya kepada peneroka yang ladangnya diurus oleh Felda.

Adapun bayaran insentif bulanan (sara hidup) yang dinikmati peneroka selepas tanam semula bukanlah percuma, katanya.

Ujarnya, insentif wang yang disediakan oleh kerajaan itu bukan bentuk "one off" tetapi perlu dibayar semula oleh peneroka. – HARAKAHDAILY 23/5/2019

KERAJAAN Persekutuan perlu ada penegasan dalam menangani isu kontroversi projek tambakan laut di Pulau Pinang. Bahkan, Kerajaan harus berada di barisan hadapan dalam menyelesaikan isu ini supaya kebajikan puluhan ribu nelayan dijaga dan khazanah alam sekitar dipelihara.

Saya menggesa agar peranan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) digunakan sebaik mungkin yang bertanggungjawab besar dalam perancangan bandar yang lestari dan bersepadu di negara kita.

Malah, kementerian yang berkaitan juga perlu tegas dalam menyuarakan pandangan dan akibat jika projek ini diteruskan tanpa ada sebarang kompromi mengikut sektor bahagian menteri masing-masing.

Kerajaan juga perlu prihatin dan peka terhadap nasib para nelayan yang bergantung rezeki sepenuhnya kepada sumber hasil laut. Malah, projek ini memberikan kesan buruk yang berpanjangan kepada alam sekitar selain menjejaskan mata pencarian para nelayan.

Pandangan dan perbincangan daripada jabatan dan agensi yang terlibat, pakar-pakar dari universiti tempatan, para nelayan serta aktivitis alam sekitar perlu diambil kira bagi menyelesaikan isu ini dengan teliti, telus dan komprehensif.

Justeru, saya berharap strategi pembangunan yang dilaksanakan perlu lestari dan mengikut garis panduan Islam agar tidak mengorbankan kebajikan rakyat dan menjejaskan alam sekitar.

Islam Memimpin

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
23 Mei 2019/ 18 Ramadan 1440 – HARAKAHDAILY 23/5/2019

PEKAN: Pemimpin PAS turut menziarahi dan memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Pahang di Istana Abu Bakar Pekan, pagi tadi.

Rombongan pemimpin PAS diketuai Timbalan Presiden Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan.

Hadir sama Adun Tanjung Lumpur Ustaz Rosli Abd Jabar, Andansura Rabu (Beserah), Mohd Tarmizi Yahaya (Panching), Mohd Sofian And Jalil (Luit), Mujibur Rahman Ishak (Chenor).

Selain itu Shahril Azman Abdul Halim al Hafiz) (Jengka), Zakhwan Ahmad Badardin (Tahan) dan Zuridan Mohd Daud (Damak).

Turut bersama Yang Dipertua PAS Pekan Ustaz Abu Kassim Manaf dan timbalanya Ustaz Fadhilnoor Alyamani.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88 mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) semalam. Jenazahnya dibawa ke Istana Negara sebelum dibawa pulang ke Pekan menggunaan pesawat TUDM.

Jenazah baginda akan disemadikan di Makan Diraja Pekan. - HARAKAHDAILY 23/5/2019

Prinsip-prinsip dalam isu bakar kereta Mufti Perlis
 
1. Dalam siasatan
 
Kes masih dalam siasatan. Anggota Jabatan Amal ditahan bagi membantu siasatan. Belum dibuktikan bersalah. Sikap terus meletakkan kesalahan kepada individu terbabit adalah satu bentuk propaganda media yang tidak beretika. Banyak digunakan untuk memburukkan Islam. Tuduhan rambang dimainkan secara meluas sehingga orang percaya walaupun tanpa bukti.
 
Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Innocent  until  proven  guilty. Salah satu kaedah fiqh menyebut:
الأصل براءة الذمة
"Asal setiap sesuatu adalah tidak bertanggungjawab/tidak bersalah."
 
2. Presiden PAS tiada kena mengena
 
Mengaitkan orang lain yang tiada kaitan langsung dengan kes kerana hubungan mereka dengan suspek adalah satu tindakan tidak bermoral. Sikap ini adalah satu bentuk assabiyah jahiliyah. Bila seorang bersalah, satu kabilah akan diperangi. Ia juga satu metod musuh Islam dalam merancakkan fitnah Islamophobia. Seorang Islam mengganas, seluruh penganut Islam dilabel teroris.
 
Firman Allah S.W.T:
مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهۡتَدِي لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا
"Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)."
[Al-Isra': 15]
 
3. Bukan tarbiyah PAS
 
PAS tidak pernah mengajar anggotanya dengan keganasan. Konsep perjuangan PAS dalam menegakkan Islam di Malaysia adalah muwajahah silmiyyah. Ahli PAS ditarbiyah agar tidak melawan walaupun diseksa dan ditekan. Peristiwa Memali menjadi saksi, anggota PAS tidak bertindak balas walaupun pemimpin mereka terbunuh syahid di muncung senapang penguasa.
 
Rela syahid berbanding mengangkat senjata menentang kerana ia ajaran Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:
 سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ ، وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ ، فَقَتَلَهُ
"Penghulu syuhada di hari kiamat adalah Hamzah bin Abdul Muttalib dan lelaki yang berdiri dihadapan pemimpin yang zalim, maka dia menyuruhnya (maaruf) dan melarangnya (mungkar), lalu dia dibunuh."
[HR Al-Hakim]
 
4. Jangan 'generalize' isu
 
Sekiranya ada keganasan yang dilakukan oleh ahli PAS, ia bukan daripada ajaran PAS. Ia ajaran sesat daripada syaitan yang menyelinap di mana-mana. Maka tidak boleh menyalahkan PAS. Begitu juga jika terdapat apa-apa kesalahan dilakukan oleh anggota PAS sama ada melibatkan korupsi, penyelewengan, penipuan atau keganasan. Ia bukan daripada manhaj tarbiyah PAS.
 
Kesalahan individu tidak ada kena mengena dengan agama, kaum atau organisasi. PAS berusaha mentarbiyah anggota dengan seluruh ajaran Islam. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ
"Haram terhadap orang Islam menjejaskan orang Islam lain dari sudut darah, harta dan maruahnya."
[HR Muslim]
 
5. Sila hukum jika benar bersalah
 
PAS tidak akan membela penjenayah sekiranya dibuktikan benar-benar bersalah. Sabda Rasulullah S.A.W:
وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
"Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad (S.A.W) mencuri maka akan aku potong tangannya."
[HR Bukhari & Muslim]
 
Membela penjenayah adalah satu bentuk ajaran Assabiyyah Jahiliyah. Sabda Rasulullah S.A.W ketika ditanya apakah maksud assabiyyah:
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
"Kamu membantu kaummu (kumpulanmu) dalam urusan kezaliman."
[HR Abu Daud]
 
6. Bahaya Admin perguna fb tokoh
 
Sebagaimana kita tidak setuju mengaitkan Presiden PAS dalam isu ini, kita juga tidak setuju mengaitkan posting admin page Dr MAZA dengan diri beliau. Sementelah Dr MAZA telahpun meminta maaf atas ketaksiran adminnya sehingga menimbulkan polemik.
 
Saya sendiri banyak berbeza pandangan dengan Dr MAZA. Tetapi ia tidak membolehkan saya menyalahkan beliau dalam semua perkara yang berlaku. Adil itu wajib dalam setiap keadaan. Firman Allah S.W.T:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
[Al-Ma'idah: 8]
 
Nasihat saya, Dr MAZA perlu mengambil tindakan terhadap admin agar perkara sama tidak berulang. Itulah bahana admin yang mempergunakan fb tokoh sewenang-wenangnya. Walaupun jelas ditulis [admin], tetapi tahinya tetap terkena kepada pemilik akaun.
 
7. Apa khabar BPMS?
 
PAS mengajak semua rakyat mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS). Salah satu kriteria BPMS adalah politik damai dan diplomasi. Selain daripada ahli PAS dididik supaya mengutamakan jalan damai dalam berhadapan dengan pihak luar, PAS turut mengajak semua anggota parti lain dan orang awam untuk turut melaksanakan BPMS. Sebagaimana PAS boleh berBPMS dengan Umno, PAS juga boleh berBPMS dengan PH, kerajaan pusat dan semua pihak.
 
Tinggalkan politik kebencian dan keganasan. Tolak politik penipuan dan persepsi. Abaikan politik pentingkan diri. Hindari politik populisme dan oportunistik. Jauhi politik yang tidak rasional dan profesional. Selamat datang BPMS.
 
8. PAS dan 'transparency'
 
Sebagai kerajaan menanti (government  in  waiting), PAS sedia untuk disiasat, diaudit dan diperiksa bila-bila masa. Presiden dan ramai pimpinan lain mengalu-alukan semua pihak untuk menilai sendiri parti ini. Bukan dalam isu Mufti Perlis sahaja, bahkan bagi semua isu-isu berbangkit lain. Biar semua lihat ketelusan dan kelayakan PAS untuk menjadi sebuah parti peneraju kerajaan yang telus dan amanah.
 
Saidina Umar sendiri diaudit secara terbuka dihadapan awam. Sewaktu berkhutbah, beliau telah diminta menjelaskan mana datangnya kain jubah yang dipakai ketika itu. Saidina Umar menjelaskan dengan baik tanpa memarahi orang yang menyoal. Menunjukkan Islam mendahului ideologi moden dalam bab transparency.
 
9. PAS juga makhluk Allah
 
Walaubagaimanapun, perlu dinyatanan bahawa PAS bukanlah parti yang maksum. Selain Allah, semua adalah makhluk yang memiliki kekurangan termasuklah PAS sebagai sebuah parti. Selain para Anbiya', tidak ada manusia yang maksum termasuklah parti dan anggota PAS. Justeru PAS sedia menerima teguran dan sedia untuk berubah sekiranya benar-benar ada ketaksiran.
 
Walaupun Islam adalah agama yang sudah sempurna, namun kefahaman terhadap Islam sentiasa melalui proses pembaharuan (tajdid) dan perubahan (taghyir). Justeru PAS yang bertunjangkan dasar Islam turut memiliki fleksibiliti yang serupa dengan ajaran Islam.
 
ALANG IBN SHUKRIMUN
18 Ramadhan 1440
23 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 23/5/2019
 

BANTUAN Sara Hidup atau BaSaH merupakan penjenamaan semula Bantuan Rakyat Malaysia atau BR1M, yang dilihat “menyucikan” bantuan kerajaan kepada golongan B40 daripada digelar dedak oleh Pakatan Harapan sebelum PRU14 kepada “bantuan suci” melalui BaSah selepas PRU14.

Apapun gelaran yang diberikan, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap bantuan kerajaan kepada golongan memerlukan seperti golongan B40 tetap diteruskan, lebih-lebih lagi di kala harga barang tidak turun-turun walaupun GST sudah tiada. Harga barang asas seperti harga telur juga masih melambung tinggi berbanding harganya sebelum PRU-14.

Bantuan BaSaH ini dijadualkan dibayar kepada rakyat yang terpilih melalui tiga fasa, pada bulan Januari, Mei dan Ogos 2019. Di saat majoriti rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan Jun, sememangnya pembayaran BaSah pada bulan Mei sekurang-kurangnya akan meringankan beban rakyat yang memerlukan.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk membuat pembayaran secepat mungkin memandangkan kita sudah berada di penghujung bulan Mei. Adakah kerajaan lupa tentang janji pembayaran BaSaH kepada rakyat pada bulan ini? Ataupun adakah kerajaan pura-pura lupa dan Najib Razak bakal dipersalahkan lagi?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan bersikap timbang rasa kepada rakyat dengan mempercepatkan bantuan BaSaH agar rakyat sekurang-kurangnya dapat mengukir senyuman di hari raya nanti. Gesaan ini dibuat setelah satu persatu pengumuman dibuat menteri bahawa tiada bonus untuk golongan peneroka dan petani di Felda dan Felcra.

Bayangkan di saat harga sawit dan getah jatuh merudum, jualan yang tidak seberapa menyebabkan seluruh peneroka dan petani terpaksa mengikat perut untuk hidup. Bonus pula tidak diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Harapan terakhir mereka adalah bantuan BaSaH yang dijanjikan. Jangan hancurkan harapan mereka, seperti dihancurkan harapan-harapan lain yang dijanjikan di dalam Manifesto Harapan “bukan kitab suci”.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia tetap akan menyalurkan kegusaran rakyat marhaen yang berada di bawah kerana suara mereka seakan-akan tidak didengari oleh pemimpin-pemimpin muda Pakatan Harapan. Kerajaan Pakatan Harapan perlu ingat, masih berbaki 7 hari lagi untuk membuat pembayaran BaSaH kepada rakyat!

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
23 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 23/5/2019

SETIAP kali saya merasa mungkin saya tidak perlu, malah tidak akan menulis lagi, ada sahaja sesuatu yang berlaku yang menyebabkan saya menulis lagi. Kali ini, apabila saya menerima WhatsApp daripada Dato’ Zaini Hassan yang menghantar surat terbuka Prof. Emiritus Datuk Dr. Hashim Yaacob (yang saya tidak kenali) kepada Tun Dr Mahathir, kepada saya.

Dalam tahun 2014, mungkin sayalah yang paling banyak menulis dan berucap menentang cadangan Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri (PM) Barisan Nasional (BN), pada masa itu untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Semua ucapan-ucapan itu boleh didapati dalam laman-laman web saya. (Untuk memudahkan rujukan, saya berikan Tarikh-tarikhnya, iaitu 17 07 2014, 21 07 2014, 06 09 2014, 03 10 2014, 23 11 2014 dan 10 12 2014 (Di dalam laman-laman web saya ia disusun terbalik, iaitu yang paling awal di akhir sekali.)

Saya menentang pemansuhan Akta Hasutan atas alasan-alasan yang saya bahagikan kepada dua bahagian. Pertama, peocedure yang digunakan dan, kedua, mengenai merit (baik tidaknya) pemansuhan itu.

Ringkasnya, mengenai procedure, pertama, Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasa Menteri Dalam Negeri (pada masa itu Dato’ Seri Zahid Hamidi). Tetapi usaha memansuhkannya dan menggantikannya dengan apa yang dikenali dengan tiga Rang Undang-undang Harmoni, diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri (DPM), Tan Sri Joseph Kurup (anak negeri Sabah).

Kedua, biasanya, isu dasar seperti sama ada sesuatu akta itu hendak dipinda atau dimansuhkan dan digantikan atau tidak, ditentukan oleh kementerian yang bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan kerana ia mengetahui di mana terdapat kelemahannya dan ia mempunyai segala maklumat, termasuk, dalam kes ini, maklumat rahsia, yang perlu ditimbang sebelum ia di bawa ke Kabinet. Tetapi, dalam cadangan memansuhkan Akta Hasutan itu, dalam tahun 2014, soal dasar diserahkan kepada Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUUD), sebuah jawatankuasa yang ditubuh oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam Bahasa Inggerisnya, National Unity Consultative Council (NUCC). MPKN ditubuh oleh JPNIN.

Lebih menarik ialah Pengerusi JUUD itu ialah Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar (sekarang Menteri di JPM) dan Timbalan Pengerusi JUUD ialah Encik Lim Chee Wee, bekas Presiden Majlis Peguam.

Ketiga, mengikut amalan biasa, gubalan sesustu rang undang-undang adalah tugas Peguam Negara. Mengapa dalam kes itu ia diambil alih oleh Majlis Peguam?

Usaha itu ditentang dengan kuatnya oleh NGO-NGO Melayu/Islam diketuai oleh Perkasa. (yang mengadakan Konvensten Perpaduan Nasional pada 23 November 2014, iaitu empat hari sebelum Persidangan Agung Tahunan Umno 2014.

Saya dijemput menyampaikan ucapan khas di konvensyen itu. Dalam ucapan itu, antara lain, saya menjawab alasan yang diberi oleh Dato’ Mujahid bahawa akta itu adalah warisan penjajah (sebab ia dibuat dalam tahun 1948). Saya jelaskan:

“Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

“Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, ia itu seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa. Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuatkuasa pada 10.8.1970. Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.

“Ringkasnya, seksyen 3(1)(f) memperuntukkan bahahwa adalah menjadi kesalahan bagi seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.”

Sehari selepas persidangan itu, Dato’ Seri Sharizat, Ketua Pergerakan Wanita Umno, dalam ucapannya di Persidangan Agung Umno 2014 menyatakan pendiriannya membantah pemansuhan Akta Hasutan. Pendiriannya itu bercanggah dengan pendirian Dato’ Seri Najib, Presiden Umno. Dato’ Seri Sharizat memberitahu saya apabila kami bertembung di PWTC bahawa beliau membuat keputusan sedemikian kerana, ke mana sahaja beliau pergi, beliau diminta merujuk kepada rencana saya mengenainya.

Esoknya, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya di persidangan itu menyatakan pendirian yang sama. Malah beliau memetik ucapan saya. Ini akuannya sendiri sambil menambah, “Saya mendapat inspirasi dari Tun Hamid.”

Esoknya, iaitu sehari sebelum ucapan rasminya di persidangan itu, Dato’ Sri Najib membuat U-turn dan menyatakan dalam sidang akhbarnya bahawa Akta Hasusan tidak akan dimanuhkan, tetapi akan ditambahbaikkan. Beliau mengulanginya dalam ucapan rasminya di persidangan itu.

Tidak syak lagi bahawa beliau membuat keputusan itu kerana tentangan dalam Umno sendiri, NGO-NGO Melayu yang diketuai oleh Perkasa, walaupun Dato’ Sri Azman Ujang mengatakan ucapan saya itu memain peranan penting. Antara lain, katanya:

“"Penentangan dalam Umno terhadap janji Dato’ Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 itu adalah "time bomb" yang akan meletup di perhimpunan agung parti pada minggu lalu jika Perdana Menteri tidak memadamnya (diffuse) pada saat-saat akhir ....

“Sesuatu telah berlaku pada 23 Nov, hanya empat hari sebelum ucapan pembukaan Najib di perhimpunan ...

Pada hari itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata bahawa cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan adalah satu adalah satu kesilapan.

Berucap di konvensyen mengenai perpaduan negara, Hamid mengingatkan negara bahawa walaupun akta itu diadakan oleh pihak British untuk menangani bangkangan terhadap pemerintahan kolonial, ia juga mengharamkan perbuatan mencetuskan kebencian antara kaum dan ketidaksetiaan kepada raja-raja Melayu…

Dan beliau mengatakan bahawa tidak semuanya dalam akta itu dibuat oleh Inggeris.

Kemudian tibalah hujah yang menyebabkan "perubahan hati" Najib atas pendirian tegarnya yang terdahulu untuk memansuhkan akta tersebut. Itulah tujuannya sehingga 5 Sept.

Hamid mendedahkan bahawa pindaan yang paling penting kepada akta itu dibuat selepas 13 Mei 1969 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bapa Najib.

Beliau berkata Seksyen 3(1)(f) ditambah untuk mengelakkan berulangnya tragedi 13 Mei. Pindaan itu menjadikan suatu kesalahan untuk mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan raja-raja Melayu, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan peruntukan kuota khas dan permit kepada orang Melayu dan anak- anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak,” katanya.

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Najib mengumumkan bahawa akta itu akan dikekalkan disambut tepukan gemuruh perwakilan yang paling riuh (rapturous) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.” (Terjemahan saya) (The Sun 4 Disember 2014)

Dalam kata-kata lain, Dato’ Seri Najib telah memungkiri janjinya kepada NGO-NGO bukan Melayu untuk memansuhkan Akta Hasutan. Sekarang BN telah ditumbangkan oleh Pakatan Harapan. Dato’ Sri Mujahid menjadi Menteri. Demikian juga dengan Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli MKPN. Maka, tidak hairanlah jika cadangan itu dihidupkan semula.

Tetapi, jika dahulu terdapat tiga “highjacking”, sekarang, setakat yang diketahui, hanya satu. Sekarang, Menteri Dalam Negeri adalah Tan Sri Muhyiddin. Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasanya. Mengapa Menteri di JPM (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengambil alih untuk memansuhkannya?

Harus diingati bahawa Menteri di JPM (Undang-undang) bukan bertanggungjawab mengenai undang-undang yang terletak di bawah bidangkuasa semua kementerian. Beliau hanya bertanggungjawab mengenai undang-undang bagi perkara-perkara yang terletak di bawah jabatan-jabatan yang terletak di bawah JPM, termasuk mahkamah. Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Dalam Negeri. Mengapa beliau nengambil alih tugas itu? Mengapa TS Muhyiddin membiarkannya? Apa pendirian Kementerian Dalam Negeri? Apakah pendirian Tan Sri Muhyiddin sekarang?

Mengenai meritnya, memadai kita tumpukan kepada seksyen 3(1)(f) yang memperuntukkan:

“(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.” Mempersoalkan perkara-perkara yang tersebut itu menjadi kesalahan di bawah akta itu.

Soalnya, adakah rakyat Malaysia sekarang begitu menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan sehingga mereka tidak lagi mempersoalkan perkara-perkara itu yang menyebabkan peruntukan itu tidak perlu lagi? Tanpa menyenaraikan satu persatu apa yang berlaku, saya katakan bahawa, di kebelakangan ini, keadaan telah menjadi lebih buruk. Pihak-pihak tertentu bukan sahaja mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu , malah menghina Nabi Muhammad s.a,w, dan agama Islam.

Mereka berani berbuat demikian kerana meraka tahu tindakan tidak diambil terhadap mereka sebab pelaksanaan Akta Hasutan telah “digantung”.

Sebenarnya, dalam undang-undang tidak ada kuasa yang diberikan kepada Kabinet untuk “menggantung” pelaksanaan sesuatu akta. Selagi sesuatu akta itu masih berkuatkuasa, adalah menjadi tanggungjawab eksekutif melaksanakannya. Jika eksekutif tidak melaksakannya, itu satu kegagalan eksekutif. Jika akta itu tidak diperlukan lagi, Eksekutif bolehlah membawanya ke Parlimen untuk memansuhkannya.

Tujuan Tun Abdul Razak mengadakan peruntukan itu ialah untuk mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei. Adakah hubungan antara kaum sekarang begitu baik hingga kemungkinan berulang peristiwa itu sudah tidak ada lagi?

Saya tidak berani berkata demikian. Saya percaya, pada masa ini ketenteraman masih terkawal kerana orang Melayu masih bersabar dan tidak bertindak balas.

Bagaimana, jika terlalu didesak, orang Melayu menyerang balas dan mempersoalkan kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan Melayu? Tidakkah ketenteraman negara akan tergugat?

Semua itu perlu difikirkan. Mungkin menteri yang berasal dari Sabah yang berumur sembilan tahun dan tinggal di Sabah semasa peristiwa Mei 13 belaku, tidak dapat menghayati keperluan seksyen 3(1)(f).

Apakah pendirian yang patut diambil oleh orang Melayu? Dalam tahun 2014, penentangan terdahap pemansuhan akta itu hanya di peringkat NGO dan Umno. Ia tidak menyeluruh ke semua peringkat masyarakat Melayu/Islam seperti yang berlaku semasa penentangan terhadap ICERD.

Sekarang, orang Melayu perlu berfikir sama ada mereka mahu hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu dipersoalkan dan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam terus dihina? Adakah mereka akan terus bersabar demi untuk memelihara ketenteraman negara? Adakah mereka mahu peristiwa 13 Mei berulang?

Bukankahkah lebih baik untuk mengekalkan akta itu untuk menghalang peristiwa seperti itu berulang. Singapura pun masih mengekalkannya dan melaksanakannya dengan tegas. Pokok pangkalnya ialah janganlah ia disalahgunakan. Apa yang berlaku sekarang dan, saya khuatir, akan menjadi lebih buruk jika Akta Hasutan dimansuhkan, ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara.

Semua penyalahgunaan adalah tidak baik. Tetapi, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya, penyalahguaan kebebasan bersuara oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab boleh membawa bencana kepada seluruh negara. Fikirlah sendiri. – HARAKAHDAILY 23/5/2019

SM Mohamed Idris merupakan seorang yang lain daripada yang lain dan luar biasa. Pemergian pada 17 Mei lalu membawa kepada berlalunya satu era. Saya ragu akan begitu bertuah untuk mendapat seseorang lagi yang sepertinya.

Beliau mempunyai minda yang luar biasa, dengan tidak pernah puas terhadap maklumat berhubung semua jenis isu, daripada yang kecil hinggalah kepada yang besar. Beliau boleh memproses dan sintesis semua maklumat dan melihat hubungan antaranya. Kemudian menterjemahkannya kepada tujuan untuk tindakan konkrit dan dasar.

Beliau memakai intelek, kreativiti dan pengetahuan bagi tindakan praktikal ini dalam kegunaan berterusan, hari demi hari, dari masa remaja hingga ke hari terakhirnya pada usia 93 tahun. Keluarga dan rakan memberitahunya supaya mengambil mudah, terutama sekali beberapa bulan terakhir. Tetapi tidak bagi beliau. Dia didorong oleh semangat untuk memperbetulkan yang salah dalam komuniti tempatan, negara dan dunia.

Beliau tidak boleh tahan apabila membaca berkenaan kanak-kanak kelaparan ketika begitu banyak makanan dibazirkan. Beliau amat marah dengan penebangan pokok, sama ada di kota atau bukit dan hutan. Beliau tidak tahan dengan kesihatan rakyat Malaysia yang diancam oleh makanan yang tidak selamat, bahaya pekerjaan, kemalangan jalan raya, udara tercemar, apabila semua ini boleh dicegah.

“Aduan”! menjadi satu slogan terkenal Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang ditubuhkan pada 1970 dan memimpinnya hampir setengah abad.

Jika anda ditipu, jika rumah yang anda beli berlubang atau retak di dinding, jika tempat kerja anda membahayakan kesihatan, jika hutan yang menjadi tempat mendaki anda ditebang, jangan biarkan sahaja atau merungut kepada diri sendiri. Buat aduan rasmi, gerakkan rakan-rakan dan jiran, tegaskan hak anda dan lawan balik!

Gesaan Mohamed Idris ini menjadi falsafah yang memandu CAP. Beliau mengubah objektif pergerakan pengguna. Sebagai gantinya tumpuan kepada jenama kamera atau kereta manakah yang akan dibeli (isu utama tradisi pertubuhan pengguna), beliau menukar tumpuan dan melihat kepada sama ada keperluan asas rakyat bagi makanan, kesihatan, pendidikan dan perumahan dipenuhi.

Dengan membawa CAP ke arah ini, Mohamed Idris membuka jalan bagi rakyat bukan hanya di Malaysia tetapi juga dibanyak negara lain, untuk meluaskan skop isu yang boleh diambil oleh pengguna.

CAP beroperasi dalam keadaan yang sukar pada awal tahun penubuhannya, apabila kerajaan amat sensitif terhadap kritikan awam apatah lagi bantahan.

Saya masih ingat apabila pulang dari luar negara selepas belajar pada pertengahan 1970-an apabila saya membaca Utusan Konsumer terbitan CAP dengan gambar muka depan pokok casuarina besar dengan akarnya terdedah oleh hakisan di pantai Persiaran Gurney, Georgetown dengan tajuk utamanya, “The death of Penang’s trees”.

“Awak tidak takutkah akan ditangkap dan CAP ditutup?” Saya tanya Mohamed Idris. Dia menjawab: “Kita hanya perlu mendedahkan masalah ini.”

Insiden ini mendedahkan bagaimana takutnya rakyat Malaysia pada masa itu, bagaimana media terkawal ketika itu dan bagaimana Mohamed Idris melihat peranan CAP sebagai satu entiti yang boleh bersuara ketika tiada siapa yang sanggup untuk berbuat demikian.

Melalui seminar tahunan CAP – biasanya melibatkan 50 pembentang kertas kerja dan kertas kerja yang mencakupi semua tajuk khusus seperti keadaan kesihatan, pendidikan atau pembangunan luar bandar, ekonomi dan pentadbiran undang-undang dan keadilan – CAP mendesak dan menegaskan semua isu perlu ditangani.

“Kita membayar cukai yang membiayai operasi kerajaan,” kata Mohamed Idris. “Oleh itu kita mempunyai hak untuk memberikan pandangan kita kepada kerajaan bagaimana kementerian dan agensi berperanan dan bagaimana untuk memperbaikinya.”

Alam sekitar menjadi keutamaan yang besar bagi Mohamed Idris.

CAP menganjurkan forum pertamanya mengenai alam sekitar pada 1971 dan mengadakan simposium mengenai Krisis dalam Alam Sekitar Malaysia pada 1978. Pada 1982, Menteri Alam Sekitar baharu Datuk Amar Stephen Yong mengunjungi CAP dan memberitahu kami bahawa ia adalah antara tindakan pertama disebabkan usaha CAP yang membawa kepada penubuhan kementerian itu.

Alam sekitar menjadi bidang yang begitu penting sehingga Mohamed Idris mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu lagi pertubuhan untuk menanganinya. Dengan itu lahirlah Sahabat Alam Malaysia (SAM), yang juga dipimpin oleh Mohamed Idris selama 40 tahun.

Pada awal 1980-an, Mohamed Idris berbincang dengan kami mengenai betapa perlunya untuk mengembangkan usaha CAP ke peringkat antarabangsa memandangkan sumber kepada banyak masalah terletak dalam sistem global.

Jadi persidangan CAP pada 1984 adalah mengenai krisis pembangunan dalam Dunia Ketiga. Pakar, wartawan dan aktivis dari seluruh dunia turut mengambil bahagian. Mereka menggesa CAP menubuhkan satu rangkaian untuk menangani masalah yang dihadapi oleh negara membangun dalam sistem dunia yang tidak seimbang. Oleh itu tertubuhlah Rangkaian Dunia Ketiga (Third World Network).

Mohamed Idris amat terkenal di peringkat antarabangsa. Apabila saya mengunjungi pejabat ikon pengguna Amerika yang terkenal Ralph Nader dan berkata saya mendapat penghormatan untuk bertemunya, dia mengejutkan saya dengan berkata: “Penghormatan itu untuk saya. Saya mendengar semua mengenai Mohamed Idris dan CAP. Beliau adalah pejuang hak pengguna dunia.”

Aktivis kesihatan awam terkemuka dari Afrika Selatan, Prof. David Saunders, amat tertarik selepas mengunjungi Mohamed Idris dan CAP: “Anda telah menubuhkan seluruh jentera yang berkesan untuk rakyat mengetahuinya dan berjuang untuk hak mereka.”

Mohamed Idris jauh ke hadapan dalam banyak isu. Beliau memulakan kempen anti-gula tiga dekad yang lalu apabila amat sedikit yang mengetahui akan bahaya pengambilan gula yang berlebihan. CAP juga membawa isu perubahan iklim lama sebelum kerajaan mengakuinya sebagai ancaman terbesar kepada kelangsungan dunia.

Isu kekebalan antibiotik yang kini dilihat sebagai masalah kesihatan global terbesar, juga diperjuangkan oleh CAP pada 1980-an.

Dua puluh tahun yang lalu, Mohamed Idris amat teruja mengenai keperluan untuk melindungi mikro-organisma dalam tanah: dua tahun yang lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) menerbitkan laporan mengenai bagaimana pentingnya mikro-organisma ini dan bagaimana ia kini terancam.

Banyak undang-undang telah ditukar atau diwujudkan disebabkan oleh memorandum dan perbincangan Mohamed Idris dengan pelbagai menteri dan pegawai kerajaan. Dan banyak projek yang dirancang yang dilihatnya sebagai membazir atau merosakkan kepentingan rakyat atau alam sekitar telah dibatalkan atau diubah suai.

Contohnya, kejayaan kempen CAP bersama NGO lain untuk menyelamatkan Bukit Bendera daripada projek pembangunan besar-besaran pada awal 1990-an.

Mohamed Idris juga menentang rundingan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Amerika Syarikat (yang dibatalkan pada awal 2000-an), dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik dan dalam bentuk baharu iaitu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik Progresif dan Komprehensif (CPTPP). Beliau berpandangan ini akan menyebabkan Malaysia untuk menyerahkan banyak dasar semasa yang penting dan berkompromi dengan kedaulatan negara. Beliau secara peribadi bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa ketika itu untuk mengemukakan hujahnya dan menghantar beberapa siri surat dan memo kepada pelbagai kementerian lain.

Perjuangan besarnya yang terakhir ialah membantah pelan induk pengangkutan bernilai RM45 bilion, yang beliau percaya akan merosakkan alam sekitar Pulau Pinang dan cara hidup. Dalam beberapa bulan, beliau secara peribadi memimpin dua bantahan termasuk satu berhampiran tapak projek tebus guna tiga pulau yang dirancang di Selatan Pulau Pinang.

Mohamed Idris adalah seorang yang sederhana, sering memakai kurta putih (baju tanpa kolar panjang gaya India) dan kain sarung. Beliau tidak mengejar anugerah. Hanya dua anugerah yang diterimanya iaitu Anugerah Tun Razak, dan Anugerah Ibnu Khaldun Universiti Islam Antarabangsa pada November lepas (walaupun beliau menegaskan bahawa anugerah itu diberikan kepada CAP dan bukan kepadanya).

Beliau bukan seorang yang berpuas hati dengan kejayaannya. Sebaliknya, walaupun begitu banyak pencapaian, Mohamed Idris sering kecewa memandangkan begitu banyak ketidakadilan di dunia ini, dan alam ini berhadapan dengan krisis yang paling buruk. Jadi beliau mendorong dirinya dan orang lain untuk terus bekerja yang dimulakan lama dahulu.

Ketika saya bertemu di rumahnya di Rose Avenue, George Town, dua Ahad lalu, beliau penuh bertenaga, mengingatkan saya agar CAP terus berusaha untuk mengatasi banyak isu yang masih belum diselesaikan. Malah selepas kematiannya, anaknya Fatima memberitahu, ayahnya ketika di hospital cuba untuk menyampaikan kepada saya supaya membuat penyelidikan kenapa pengurangan pembaziran makanan juga boleh merendahkan harga makanan.

Saya mula menyatakan bahawa Mohamed Idris adalah seorang luar biasa. Beliau tidak mengikuti jalan biasa dunia tetapi membentuk jalannya sendiri, mewujudkan jalan yang akan diikuti oleh orang lain. Berhubung dengan alam semulajadi, beliau mempunyai kuasa yang istimewa yang dapat melihat pertalian antara satu benda dengan yang lain (interconnectedness of things) dan bertapa pentingnya untuk melindungi alam sekitar.

Mohamed Idris salah seorang anak Malaysia sejati yang pernah dihasilkan dan pejuang sebenar kepentingan rakyat dan alam sekitar. Yakinlah bahawa ramai di negara dan dunia akan meneruskan tugas yang anda berbakti untuknya sepanjang hayat.

Idris amat prihatin terhadap golongan yang miskin dan tertindas. Beliau mendapat CAP dan SAM untuk memberi keutamaan kepada hak dan kebajikan golongan nelayan, petani dan pekebun kecil, pekerja estet dan kilang, setinggan, penyewa tanah dan rumah, orang asal Sarawak dan orang asli, dan pekerja asing. Dan ini bermula beberapa dekad dulu sebelum istilah “Bottom 40%” atau B40 menjadi terkenal. - HARAKAHDAILY 23/5/2019

Penulis ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Penasihat Third World Network.

More Articles ...