21
Sat, Sep
29 Artikel Baru

SABAN tahun negara kita Malaysia dilanda bencana jerebu angkara pembakaran terbuka. Di media sosial, nitizen berbahas mengenai punca jerebu sama ada berpunca dari dalam ataupun luar negara.

Usah kita persoalkan di mana silapnya, tetapi marilah kite berwasapada dengan keburukan atau masalah yang bakal melanda negara. Jerebu sinonim dengan peningkatan kes-kes yang berkaitan dengan udara.
   
Penyakit berkaitan udara sememangnya mencatatkan peningkatan di premis-premis kesihatan kerajaan mahupun swasta. Antara penyakit yang biasa berlaku semasa jerebu adalah jangkitan salur pernafasan (URTI), serangan lelah (Bronchial Asthma dan COAD) dan sebagainya.

Semakin hari indeks pencemaran udara (IPU) di dalam negara semakin meningkat. Di Sri Aman, Sarawak contohnya IPU telah menjejak sehingga 377. Satu bacaan yang sangat tinggi dan dikira tidak selamat.

Beberapa langkah  yang perlu diambil oleh semua pihak antaranya:

1. Elakkan berada di luar rumah atau pejabat untuk jangka masa yang lama supaya terhindar daripada terdedah dengan jerebu.

2. Minum air dengan kadar yang secukupnya. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengambilan air masak setiap hari sekurang-kurangnya lapan gelas . Walau bagaimanapun pengambilan air bergantung juga kepada berat badan seseorang. Semakin gemuk, semakin tinggi keperluan air bagi individu tersebut.

3. Sebaiknya memakai topeng perlindungan muka apabila berada di tempat yang terjejas dengan jerebu. Pemilihan topeng muka perlulah yang bersesuaian mengikut saranan daripada pihak kementerian kesihatan.

4. Buat perokok-perokok di luar sana, langkah-langkah di atas tidaklah wajar bagi anda disebabkan pergantungan anda semua dengan asap. Jerebu bukanlah sama seperti asap rokok, tapi bolehlah diibaratkan seperti adik beradik seibu tapi lain bapa.

   Semoga sedikit perkongsian ini boleh memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah menghilangkan jerebu ini dengn kadar yang segera. Amin. – HARAKAHDAILY 21/9/2019

DAHULU hati kami sedikit terusik, tatkala membaca warkah kekanda yang ditujukan kepada seorang puteri di sebuah istana.

Sukar difahami maksud yang ingin dicapai, seolah menzahirkan gelora rasa yang sedang membungkam di sanubari kekanda, yang akhirnya dibiarkan begitu sahaja.

Kelmarin hati kami kembali terusik, tatkala mendengar cemuhan kekanda yang ditujukan kepada saudara seagama, bahawa ada pihak yang sedang berlumba ke pintu ‘neraka’.

Sukar difahami maqasid yang ingin dicapai, seolah menzahirkan rasa gundah gulana yang sedang menyelubungi sanubari kekanda.

Sedarlah kekanda bahawa Cordoba yang gagah tamadunnya, boleh runtuh sekelip mata, apabila umat Islam terus bersengketa, sedang musuh licik menyusun rencana.

Bukankah Islam mengajar kita untuk berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan sesekali bercerai-berai, kerana hanya musuh yang tidak bergembira apabila dua saudara memperbaiki hubungannya.

Sudah lama kita melihat keluarga Melayu bersengketa, adik beradik tidak bertegur sapa, saudara sepupu tidak bertemu mata, hanya kerana berbeza warna politiknya.

Sekarang perbalahan sudah rapat ke dinding, yang disekat oleh sempadan Islam yang menyatukan kita, di atas kalimah tauhid yang sama.

Setelah salam dihulur dan maaf dipinta, ketenangan mula wujud dalam keluarga, bersetuju untuk bermuafakat bagi membaiki ummah dan negara.

Malah sirah telah membuktikan Rasulullah S.A.W. mula berdakwah dengan keluarga dan kaum bangsanya dahulu, walaupun kerasulannya kepada seluruh manusia.

Disatukan dahulu bangsanya yang berpecah, disatukan dengan Islam dan membina jati diri mereka dengan Islam, sebelum dilaksanakan Islam yang adil untuk semua bangsa.

Sedarlah kekanda yang sedang lena di Putrajaya, setiap hari ada sahaja anak bangsa yang tergelincir aqidahnya, hanyut dengan budaya LGBT dan hiburan dunia, di samping suara sumbang yang semakin berani menghina agama dan rasul yang mulia.

Namun kekanda memilih untuk membisu seribu bahasa, pedulikan sahaja nasib agama dan anak bangsa, mungkin kerana mabuk dilambung kuasa, atau takut kepada 'jembalang' yang lebih berkuasa.

Janganlah kekanda menjadi kalangan yang hilang jatidiri Islam dan Melayunya, laksana tikus kekenyangan dalam kepuk padi, atau semut bergelimpangan dalam gula.

Lebih malang apabila kekanda sanggup menghukum ‘neraka’ kepada saudara seagama, demi menjaga hati rakan kongsi di Putrajaya.

Sedarlah kekanda bahawa syurga dan neraka ada Pemiliknya.

Syurga disediakan untuk pembela agama, neraka disediakan untuk pendusta dan pengkhianat agama.

Firman Allah SWT (maksudnya): "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada Tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan (semasa jahiliah), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara;
Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya" (Ali-Imran: 103)

Salam hormat daripada adinda.

SYAHIR SULAIMAN
21 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 21/9/2019

HIMPUNAN Penyatuan Ummah (HPU914) baru sahaja berlabuh yang menjadi tarikh penting terpahat dalam sejarah negara sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional antara dua parti terbesar Melayu iaitu PAS dan Umno.

Pelbagai reaksi yang diterima oleh rakyat Malaysia amnya. Ramai yang terharu sehingga mengalirkan air mata kegembiraan, malah ada segelintir yang memberikan komen sebaliknya.

Walau apa pun reaksi yang diterima, PAS memberi jaminan bahawa perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk tetap menjadi keutamaan kami seperti yang termaktub dengan jelas dalam piagam ini:

"Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara"

Begitu juga antara petikan Ucaptama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang seperti berikut:

"Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk. Bermula dengan mengajak bangsa masing-masing bersama Islam tanpa paksaan, seterusnya menyatukan bangsa itu dan menghidupkan konsep masyarakat madani (civil society) dengan menegakkan negara berbilang kaum dan agama (plural society)."

Acuan inilah yang dinyatakan oleh Presiden PAS dapat menyatukan dan melembutkan hati masyarakat Arab yang paling degil dan suka bertelagah sesama sendiri pada zaman jahiliah.

Di Malaysia, PAS telah membuktikan komitmen perpaduan nasional apabila mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan menekankan keadilan sosial dan hak kepada semua kaum. Penganut agama dan kaum lain bebas mengamalkan amalan agama mereka selagi tidak melanggari undang-undang dan peraturan sedia ada.

Di peringkat PAS sendiri, masyarakat bukan Islam diberi peluang melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan melantik mereka di posisi dalam kerajaan dan masyarakat seperti diamalkan di Kelantan dan Terengganu. Contohnya Pegawai Khas Menteri Besar mewakili Bukan Islam dan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Dengan ini ditegaskan, PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dan akan menghalang sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab sama ada organisasi atau individu yang ingin merosakkan keharmonian yang sedia terjalin.

Atas semangat cintakan negara, PAS mengalukan pelbagai pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan dan mana-mana organisasi untuk berdialog bagi memastikan Piagam Muafakat Nasional sentiasa berada di landasan yang tepat untuk Malaysia yang lebih sejahtera.

"Islam Memimpin Perpaduan"

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
19 Muharram 1441
19 September 2019 - HARAKAHDAILY 19/9/2019

MESYUARAT Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 15 September 2019 di Bintulu, Sarawak, mengambil langkah awal menubuhkan Jawatankuasa Khas Merangka Plan Tindakan dan “Road Map” ke arah merealisasikan Muafakat Nasional yang dimeterai dengan Umno pada 14 September 2019.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man dan ahli-ahli dari kalangan pemimpin tertinggi PAS. Setiausahanya adalah Setiausaha Agung PAS.

Jawatankuasa ini akan merangka pelan tindakan dan ‘Road Map’ berdasarkan Piagam Muafakat Nasional dan Memorandum Persefahaman Umno/PAS yang ditandatangani oleh kedua-dua Presiden Umno dan PAS untuk dilaksanakan di semua peringkat parti.

Segala hasil kajian dan rumusan Jawatankuasa ini akan terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa Perunding Umno/PAS untuk diluluskan.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 18 September 2019 – HARAKAHDAILY 18/9/2019

KAMI memandang serius gejala jerebu yang kini semakin parah berlaku di negara ini dan kini melanda rantau ini.

Sekali lagi pencemaran udara toksik ini melanda negara. Jenis pencemaran dan sumbernya diketahui, namun pencegahannya gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Pada 1997 jerebu sangat buruk berlaku di rantau ini sehingga Persetujuan Asean (Asean Agreement) dimeterai antara anggota negara mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan pada 2002.

Kini pada 2019 negara dilanda sekali lagi gejala jerebu yang serius dan pihak berwajib tidak dapat mengawal pencemaran jerebu toksik itu merentas sempadan.

Soalnya, apa terjadi kepada mekanisme kawalan yang dimeterai dalam persetujuan Asean itu ?

Ini bukan kali pertama ia berlaku. Sudah hampir setiap tahun pembakaran ladang oleh syarikat perladangan kelapa sawit dijalankan dan ia diketahui menghasil jerebu.

Ketelusan untuk menguatkuasa peraturan nampaknya tidak ada.

Syarikat perladangan yang beroperasi di luar negara belum cukup dipantau sehingga punca sebenar jerebu separah sekarang tidak ditangani.

Malaysia sendiri belum mempunyai mekanisme perundangan mengawal pencemaran merentas sempadan. Lantaran itu persetujuan Asean tersebut dilihat hanya pernyataan di atas kertas. Perlu ada suatu peraturan di peringkat dalam negara sendiri yang dapat menangani isu jerebu dari puncanya.

Pencemaran jerebu mengakibatkan lebih 1,000 sekolah ditutup beberapa hari yang lalu terutama di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung. Suatu situasi yang tidak pernah berlaku separah ini.

Pembacaan Indeks Pencemaran Udara yang mencecah melebihi 200 di beberapa kawasan menandakan negara berada keadaan berjaga-jaga untuk mengisytihar bencana alam.

Berdasarkan statistik global terkini Malaysia menduduki tempat teratas di dunia dalam pencemaran udara.

Berdasarkan cerapan indeks pencemaran udara (IPU) oleh World Air Quality Index (WAQI) pada Rabu jam 6.20 pagi, Malaysia mencatat bacaan IPU 266.

Ia merupakan bacaan tertinggi di dunia, diikuti Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).

Jelas isu ini perlu ditangani diperingkat Asean yang melibatkan punca fizikal, perundangan dan politik.

Wawasan Asean bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 memerlukan keazaman politik yang tinggi untuk mencapainya di kalangan negara anggota. Ketelusan dan integriti menjadi isu yang sering dipertikai oleh awam bila dikait dengan kemahuan politik pemimpin negara serta ketegasan bertindak di kalangan penguatkuasa.

Bukan sahaja komitmen setiap negara malah mekanisme penguatkuasaan secara undang-undang perlu diwujudkan. Tidak guna hanya menyatakan komitmen tanpa ada mekanisme yang telus, berintegriti dan berkesan.

Dalam isu ini pembakaran ladang dan hutan berskala besar menjadi masalah utama jerebu rentas sempadan.  Pemerintah negara yang berkenaan perlu bertindak hatta terhadap syarikat luar yang menjadi pemilik syarikat.

Usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, mahu tidak mahu perlu diusahakan dan kerajaan Malaysia perlu siasat jika memang ada syarikat milik Malaysia yang terlibat dalam pembakaran terbuka itu.

Untuk menghasilkan jerebu berskala ini bukan dari petani kecil. Ia adalah akibat pembakaran ladang beribu hektar oleh syarikat perladangan yang besar.

Tindakan yang berkesan supaya jerebu tidak berulang dirantau ini dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan berkesan hendaklah diimplementasikan.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia menunjukkan betapa kesan pembakaran merebak luas di kawasan yang berkaitan.

Tindakan kerajaan Indonesia dilaporkan menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka dialu-alukan.

Yang penting punca masalah dikenal pasti dan saling tuduh menuduh dielakkan.

Semua pihak perlu bersikap objektif berdasarkan fakta dan data serantau Pusat Meteorologi Khas Asean yang menunjukkan asal asap kebakaran berpunca.

Sesiatan berhubung latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia juga tidak boleh diketepikan.

Apa yang mustahak ialah  melaksanakan kerjasama  pencegahan dan pembenterasan serta memulihkan keadaan.

Inisiatif melindungi hutang dan kawasan tanah yang mudah terbakar hendaklah dilaksanakan seperti  dalam memorandum persefahaman antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran.

Apa yang berlaku di Amerika Latin perlu diambil pengajaran. Bukan sahaja beribu hektar hutan musnah malah ia membawa kesan kepada perubahan cuaca dunia.

Apapun sebagai negara Islam, Malaysia dan Indonesia perlu ada kesedaran untuk menghindari petaka yang berpunca asal dari kerakusan dan ketamakan manusia yang merosakkan alam. – HARAKAHDAILY 19/9/2019

PADA bulan Mac 2019, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) telah menyuarakan kebimbangan mengenai pelaburan dan dasar-dasar mencairkan asset yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional Berhad, di bawah kepimpinan baru yang dilantik Kerajaan PH. Umum mengetahui bahawa Khazanah ialah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia.
 
Khazanah diamanahkan untuk menyimpan dan menguruskan aset komersial Kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik untuk negara. Khazanah memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memacu pelbagai industri strategik dan inisiatif negara, memupuk pembangunan industri tersebut dalam usaha memenuhi kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Khazanah juga memacu pembentukan nilai pemegang saham, meningkatkan keuntungan kecekapan dan meningkatkan tadbir urus korporat dalam syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kerajaan, yang dikenali sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC.
 
Syarikat-syarikat utama yang tersenarai dalam portfolio Khazanah terdiri daripada beberapa syarikat terbesar dan terpenting di Malaysia, termasuk Axiata Group Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, IHH Healthcare Berhad dan UEM Sunrise Berhad.  
 
Pada bulan November 2018, Khazanah dilaporkan bersetuju untuk menjual 16 peratus pegangan saham IHH Healthcare Berhad kepada Mitsui & Co Ltd untuk RM8.42 billion (US$2 billion) secara tunai.

Sebelum ini, Khazanah merupakan pemegang saham terbesar IHH Healthcare Berhad melalui Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd dengan nilai pegangan saham sebanyak 40.8 peratus. Pemegang saham kedua terbesar adalah Mitsui & Co Ltd dengan nilai pegangan saham sebanyak 18.3 peratus.

Keadaan ini berubah selepas penjualan 16 peratus pegangan saham di mana Mitsui & Co Ltd bakal menjadi pemegang saham terbesar sebanyak 34.3 peratus manakala Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd menyusut kepada 24.8 peratus.
 
Sekarang pada bulan September 2019, IHH yang kini pemegang saham terbesarnya adalah Mitsui & Co Ltd dilaporkan telah menandatangani perjanjian untuk membeli keseluruhan saham Pulau Memutik Ventures untuk mengambil alih kepentingan Prince Court Medical Center Sdn Bhd (PCMC) pada harga RM1.02 billion.

Pengambilalihan ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan menerusi Khazanah terus mencairkan aset-aset penting pelaburan negara. Namun, persoalannya, mengapakah hutang negara makin bertambah?
 
Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk mencairkan pegangan saham syarikat penerbangan nasional, MAS kepada syarikat asing. Berita turut menyiarkan bahawa syarikat penerbangan Jepun, Japan Airlines disebut-sebut mengambil alih pegangan saham MAS. Persoalaanya kini, adakah Mitsui dan Japan Airlines merupakan percaturan Bon Samurai?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menuntut penjelasan terperinci daripada Menteri Ekonomi, YB Azmin Ali dan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng!
 
Selamatkan Malaysiaku!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
18 September 2019 – HARAKAHDAILY 18/9/2019

SHAH ALAM: “Di mana sikap keperimanusiaan Kerajaan Negeri Selangor apabila mengambil tindakan meroboh rumah tanpa pemberitahuan terlebih dahulu kepada penduduk?” luah penduduk, Faisel Mohd Shapie.

r3Katanya, tidak dinafikan telah ada notis perpindahan yang diberikan selama 30 hari yang berakhir pada 5 September lalu.

Bagaimanapun ujarnya, kerajaan negeri melalui Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa telah memberi tempoh penangguhan sehingga bulan November selepas penduduk membuat permohonan penangguhan pada 4 September lalu.

“Namun apa yang berlaku, hari ini tiba-tiba rumah penduduk dirobohkan tanpa memberi sebarang pemberitahuan.

“Penduduk tidak membuat apa-apa persediaan kerana ingat tiada sebarang perobohan sehingga November.

“Sekarang ke mana kami nak pergi?” soalnya ketika ditemui di Sungai Kedongdong, Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh hari ini di sini.

Lebih menyedihkan katanya, apabila penduduk tidak mempunyai tempat tinggal apabila rumah mereka dirobohkan.

Faisel berkata, penduduk tidak meminta sebarang pampasan atau sebagainya, hanya memerlukan tempoh sehingga hujung tahun ini sahaja berikutan tanah yang diduduki mereka hak milik kerajaan.

Bagaimanapun, sesetengah penduduk mempertikai apabila mereka mempunyai  geran tanah persendirian, tetapi tetap dirobohkan.

Terlebih dahulu, sebanyak lebih kurang 92 buah rumah akan dirobohkan pada hari ini  bagi perlaksanaan projek perlebaran Sungai Kedongdong. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

kd2

 kd1

r4

r5

More Articles ...