19
Wed, Jun
26 Artikel Baru

Undi Cina bakal beralih, ke mana Melayu?

Nasional
Typography

SABTU ini, 2 Mac hari penentu pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan menentukan siapa pilihan mereka, apakah Pakatan Harapan akan kekal terajui atau BN berjaya merampas semula Dun Semenyih?

Tiga calon, Muhammad Aiman Zainuli (PH), Zakaria Hanafi (BN) dan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) setakat ini dilihat memberi impak kepada pengundi selepas kempen masuk ke fasa akhir.

Sementara calon PSM, Nik Aziz Afiq pula dilihat sedikit perlahan sambutan kepadanya, mungkin dilihat bukan saingan utama.

PRK Semenyih sebenarnya medan menguji kerjasama antara komponen PH juga medan mengukuh kerjasama Umno-PAS tatkala, di samping "test ground" kepada calon Bebas, Uncle Kentang selaku aktivis kebajikan masyarakat mendapatkan perhatian masyarakat, apatah lagi jolokan Kentang memberi kelebihan sebagai orang yang dekat dengan marhaen.

PRK DUN Semenyih agak berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands walaupun dua kerusi ini adalah pernah menjadi kubu kuat BN.

Namun di Semenyih pada PRU14, kubu BN ini berjaya ditembusi PH dengan mudah.

Kemenangan BN yang turut dibantu oleh PAS di Cameron Highlands tidaklah begitu mengejutkan, namun ia satu amaran lisan kepada parti pemerintah.

Semenyih bisa menjadi medan menguji kekuatan dan populariti sebenar, apakah PH mampu terus mempertahankan kerusi ini atau BN akan kembali menguasai semula kubu tradisi mereka ini suatu masa lalu.

Walaupun PRK ini menyaksikan saingan empat penjuru tetapi hakikatnya betapa saingan sebenar masih tertumpu antara BN dengan PH selain Uncle Kentang sedikit mencuri tumpuan atas imejnya.

Selepas Cameron, Semenyih menjadi medan tempur, malah sejak hari penamaan calon lagi gegak gempita perang dalaman PH meletus antara kem Anwar dan kem Mahathir.

Ia terbukti menjadi medan perang Anwar-Mahathir angkara pertemuan dengan PAS sebelum ini, dan lebih menyerlah Anwar membelasah PAS dengan pelbagai tuduhan tidak berasas yang mencerminkan kemelut sebenar dalam PH antara Bersatu dan Anwar-DAP.

Ramai dalam kalangan pengundi yang ditemui sejak seminggu lalu menyatakan rasa kesal dengan percakaran dalaman PH kerana jawatan PM.

Malah terdengar khabar bahawa pengundi Cina secara perlahan-lahan akan memboikot calon PH kerana marahnya mereka ke atas pertemuan Tun Mahathir dan PAS.

Apapun, PRK Semenyih ini tidak akan mempengaruhi kedudukan kerajaan negeri yang masih dikuasai kukuh oleh PH, namun keputusan di Semenyih dilihat cukup penting dalam mempamerkan mood sebenar pengundi khasnya kalangan dua blok besar pengundi bandar iaitu Melayu dan Cina.

Apakah trend Melayu kembali kepada Umno-BN yang dibantu PAS akan menjadi kenyataan mengenepikan kemenangan PH, atau undi Cina berpecah akibat pergolakan dalam PH akan mengubah lanskap politik Semenyih.

Kehadiran Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari selaku MB baharu, bakal menjadi signal awal kepadanya yang dilihat kurang tertonjol berbanding MB terdahulu.

Hal ini penting kerana kita percaya tempoh berbulan madu meraih kejayaan membentuk kerajaan pusat dan buat pertama kali setelah menumbangkan BN sudah berakhir.

Dalam suam-suam kuku kempen PRK Semenyih, kita pula dihidang dengan pelbagai isu kontroversi dan sensitif yang telah berlaku sehingga kelihatan menggores hati dan perasaan orang Melayu dan umat Islam.

Provokasi melampau seperti hina Nabi SAW yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin membimbangkan, malah ia menyemarak kemarahan Melayu Islam.

Malah keadaan ekonomi global dan negara yang masih bergelora dilihat mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh.

Di pihak BN, inilah masa sesuai untuk mengembalikan keyakinan rakyat agar kembali menyokong BN khasnya Umno yang kini bekerjasama dengan PAS.

Apa yang penting, BN jangan leka dengan kemenangan di Cameron Highlands, sebaliknya perlu terus bangun mendekati rakyat dan meyakinkan rakyat bahawa BN sudah menginsafi kekalahan pada PRU14 dan sudah bersedia untuk melakukan perubahan secara besar-besaran untuk meraih kembali kepercayaan dan sokongan yang hilang.

Apapun keputusan pengundi ini juga sedikit sebanyak tertakluk kepada kebijaksanaan semua calon yang bertanding dalam meyakinkan mereka.

Kata kunci PRK Semenyih, siapa berjaya memenangi hati golongan atas pagar dan mendapatkan undi asas masing-masing pada tahap paling maksimum maka ia akan boleh dijulang sebagai pemenang.

Dalam masa yang sama, calon, jentera dan pemimpin perlu betapa PRK akan banyak memberi fokus kepada isu setempat berbanding PRU yang banyak dipengaruhi isu nasional.

Isu yang berlegar dalam kalangan rakyat adalah isu pembangunan yang dikatakan tidak seimbang serta isu kesesakan jalan raya khasnya di pekan Semenyih dan sekitar di samping pelbagai isu tempatan yang lazim seperti isu keselamatan dan kemiskinan.

Apa yang penting, fasa akhir kempen ini calon dan jentera kesemua pihak bertanding wajar menggunakan tempoh kempen yang ada untuk mendekati semua pengundi dan menyatakan aspirasi mereka secara tuntas.

Sama ada politik stabil akan menang atau bekas parti pemerintah akan kembali menerajui bagi menyusun langkah ke PRU15, signal jelas pengudi Melayu boleh membantu BN setidak-tidaknya mengecilkan majoriti PH.

Seperkara lagi, pembangunan, rasuah undi dan propaganda tersembunyi atau terang dewasa ini sukar disembunyikan jika ia berlaku kerana pengundi kini sedar hak mereka. – HARAKAHDAILY 28/2/2019