15
Tue, Oct
16 Artikel Baru

Kafir dah tak amanah, kita nak buat apa?

Nasional
Typography

BISING bangor, geger gegak, ungkapan kata orang Terengganu dan Kelantan, merujuk kepada sesuatu yang hiruk pikuk, riuh rendah. Sesuatu yang menggegarkan, mengejutkan orang ramai dengan perkara yang sungguh besar. Ia melibatkan integriti pimpinan negara yang tidak mempunyai sijil kelayakan yang sepatutnya, tetapi diletakkan dalam biodata mereka ketika kempen PRU.
 
Maka saling menuduh, mendakwa dan mempertahankan apa yang mereka anggap sebagai maruah kepada kumpulan mereka. Ada yang pertahan tapi jadi tongkat bawa rebah, ada yang mengaku terus, ada yang menyatakan mereka tidak pernah tahu, tetapi orang lain yang letakkan, ada yang diam.
 
Ianya bermula dari Bersatu kemudiannya semuanya diperhatikan oleh rakyat, dan mereka mulai menyiasat seorang demi seorang pembesar-pembesar PH yang mereka syaki. Nyata dengan maklumat di hujung jari, segalanya terselak. Dikongsi, ditular dengan begitu cepat, merebak tak dapat ditahan lagi.
 
Maka bermulalah sindir menyindir laporan menipu itu kerana sebelum ini begitu hebat PH mendedahkan yang beberapa pemimpin BN tidak mempunyai sijil yang sah. Menteri Besar Johor dan Perak, Timbalan Menteri antara nama yang muncul. Hanya PAS, parti tunggal kekal tidak didakwa mempunyai sijil yang palsu ketika memberikan biodata kempen kepada rakyat. Ini hal PH dan BN, PAS tak masuk campur.
 
PKR juga tidak ketinggalan didedahkan oleh pengkritik mereka dengan Ahli Parlimen Ampang menjadi sasaran, menipu kelayakan beliau daripada sebuah universiti di Singapura. Sangat menghairankan apabila beliau menafikannya, sedang ketika pengumuman dibuat oleh DS Anwar, jelas disebut nama universiti itu.
 
Bagi beberapa pimpinan PAN pula, mereka agak bernasib baik kerana mereka telah dikenali ramai sebelum ini dengan pencapaian akademik mereka. Jadi isu mengetengahkan kelayakan mereka sebenarnya tidak timbul kerana ramai yang sudah masuk dan keluar Parlimen, sudah bertanding banyak kali sekali gus biodata mereka telah termaklum.
 
Mereka ini telah diajar oleh PAS, ada lagi sedikit malu, kerana mereka maklum, semua orang, terutama PAS akan segera menghidu tindakan mereka. Kecuali pencapaian Presiden mereka yang tidak menyatakan tidak habis belajar itu, yang lain bagi saya tidak bermasalah dan mereka segera menafikannya. Cuma terfikir kepada mereka ini ketika keluar parti dahulu, mendakwa mereka dari kumpulan profesional PAS.
 
Tidak terhenti di situ sahaja, penemuan lain digali lagi. Kali ini beberapa orang pemain utama DAP pula dikesan mempunyai sijil kelayakan yang sangat-sangat diragui. DAP cuba menafikan, tetapi kurap itu tetap terserlah kerana ianya digaru di hadapan orang, sedang mereka tidak memakai baju. Jelas kelihatan tompoknya.
 
Paling mengejutkan ialah khalifah mereka, yang didapati tidak lulus peperiksaan akaun, tetapi menggunakan sijil palsu bagi mengkagetkan rakyat. Khalifah yang sangat dikagumi oleh sekalian pembenci PAS itu, hanya diam membisu apabila isu ini ditimbulkan. Berbeza dengan ketika isu rasuah beliau dahulu, segera diberikan respons balas bagi membela diri.
 
Agak malang bagi kita kerana khalifah yang diidam-idamkan bagi menerajui negara ini menerusi keadilan sejagat, telah didapati menipu. Sial apakah ini? Sudahlah kita rakyat Malaysia diseksa oleh rejim BN, melangkaui 60 tahun. Rakyat sama-sama membuang BN dan sekarang ini, penggantinya juga menipu?
 
Suatu ketika dahulu, rakyat telah dijanjikan dengan kesejahteraan dan keadilan dalam pentadbiran negara melalui orang kafir yang amanah. Kekafiran mereka tidaklah menjatuhkan keadilan dan kesejahteraan yang bakal diterapkan dalam pemerintahan itu. PRU ini, kita bukan mahu menukar agama.

Suara-suara membentengi perbuatan tidak bermoral itu pun kedengaran, menegaskan tiada kelayakan khusus untuk menjadi pembesar negara. Asalkan pandai menguruskan amanah, ianya tidak ada masalah. Benar, itu tidak dinafikan, tetapi rakyat sangat cerdik, mereka bertanya, jika tidak penting, kenapa disiarkan dalam biodata dan kenapa mesti menipu. Yang dimarahkan orang ialah perbuatan menipu itu.
 
Semua peristiwa ini ditakdirkan berlaku ketika PAS sedang direnung tajam oleh rakyat kerana isu saman SR dan isu menerima duit rasuah daripada BN. SPRM segera menjalankan tugasan mereka. Tetapi SPRM  telah didera oleh pengurusan PAS kerana telah dipaksa menaiki lima tingkat bangunan Pejabat Agung PAS menggunakan tangga. Ini disebabkan lif rosak, gagal dibaiki. Mungkin kerana RM90 juta itu belum sampai.
 
Semua penyata kewangan PAS semenjak dari tarikh ia disyaki bermula, diserahkan dengan senang hati oleh pimpinan PAS. Siasatan kepada beberapa individu dalam PAS juga telah berjalan. Hasilnya, tiada petunjuk kemasukan wang RM90 juta ke akaun PAS. Berita besar ini berebut tempat dengan berita pembohongan sijil oleh sebahagian pemimpin PH di ruangan media.
 
Dalam perniagaan, satu cara pemasaran yang sangat berkesan ialah pemasaran oleh pelanggan kepada pelanggan. Bukannya pemasaran yang dilakukan oleh pemilik perniagaan sendiri. Jelas, SPRM bagaikan pelanggan yang dipercayai ramai, secara percuma, mengiklankan bahawa PAS adalah sebuah parti politik yang sangat-sangat dipercayai. Tiada keraguan lagi atas PAS. PAS tidak perlu mengiklankan diri mereka.
 
Akan tetapi kita masih menantikan bukti-bukti lain yang dikira sebagai sangat kukuh oleh beberapa individu yang sehingga kini kelihatannya masih belum menemui di manakah terletaknya pejabat SPRM. Mereka gagal menyerahkan, sedangkan bukti kukuh itu ada dengan mereka. Mungkin mereka tidak menyayangi negara ini yang mungkin musnah dek perlakuan rasuah oleh PAS dan BN ini. Sayang sekali.
 
Jadi, kita nak buat apa? Soalan yang ditanya ini, diyakini telah diketahui jawapannya. Pertamanya kita kena memilih pemimpin Islam yang amanah seperti calon-calon PAS. Sudah dibuktikan dengan penuh keyakinan bahawa PAS tidak mempunyai rekod menyeleweng dalam pemerintahan mereka. Malah SPRM dibenarkan menyiasat 25 jam sehari.
 
Keduanya mengundi calon-calon Islam dari kalangan parti lain yang sanggup berkerjasama dengan PAS, sedia sama-sama mendaulatkan Islam, agama Allah di Malaysia ini. Mereka ini dipilih PAS kerana mereka adalah golongan yang sedikit mudharatnya, walaupun berbeza ideologi.
 
Pilihan rakyat yang ketiga, mana-mana calon daripada bukan Islam yang mahu berkerjasama dengan PAS, tidak mencampuri urusan agama Islam dan adat Melayu, dipersetujui untuk mereka menjadi calon. Golongan ini akan memastikan keharmonian yang tinggi dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Mereka tahu di mana had yang mereka dibenarkan.
 
Maka jauhilah atau larilah sekuat-kuatnya bila bertemu dengan golongan kafir yang ‘amanah’ yang tidak tahu menghormati Islam sebagai agama rasmi negara, suka menggunakan kedudukan bagi membuli orang Islam, membesarkan bangsa mereka. Memperbodohkan bangsa pemilik negara ini. Mereka telah dipilih, dan kita sedang menerima hasil tangan kita. Sangat buruk balasan mereka kepada Melayu dan Islam.
 
Jika kafir yang amanah mesti dijauhi, apatah lagi kafir yang tidak amanah sebagaimana sebahagian mereka sekarang ini. Dan paling mesti kita hapuskan ialah kumpulan yang mengaku Melayu-Islam tetapi setia menjadi balaci kepada kafir sama ada amanah atau tidak. Inilah golongan yang paling menghancurkan Melayu-Islam. Ia akan sentiasa ada pada setiap zaman dan tempat.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
13 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 13/2/2019