21
Sat, Sep
33 Artikel Baru

Selamatkan penjawat awam

Nasional
Typography

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan rasa terkilan apabila mendapat berita mengenai edaran surat pekeliling daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang bertajuk “Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam” yang bertujuan mengurangkan perjawatan di Kementerian dan Agensi Kerajaan sebanyak satu peratus (1%) secara keseluruhan pada tahun 2019.

SHAHIR2Kira-kira 1.6 juta jumlah penjawat awam di Malaysia, dan ini bermakna sebanyak 16,000 rakyat Malaysia akan hilang sumber pendapatan.

Janji ke-35 Buku Harapan dalam Manifesto Pilihanraya menyebut bahawa Pakatan Harapan akan menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia. Bagaimanakah Kerajaan ingin mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan, di saat mengurangkan 16,000 pekerjaan sedia ada?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menganggap ini merupakan satu lagi janji yang tidak tertunai oleh Pakatan Harapan, termasuk janji-janji manis yang lain. Adakah alasan 1MDB, Najib dan hutang negara juga menjadi alasan untuk mengurangkan 16 ribu pekerjaan ini?

Di saat mengurangkan pekerjaan sedia ada di Kementerian dan Agensi Kerajaan, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sangat terkilan dengan pelbagai lantikan politik yang dibuat di kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.

Seolah-olah penjawat awam yang sekian lama berkhidmat untuk negara tidak dipedulikan, tetapi sahabat-sahabat mereka di dalam parti politik, termasuk ahli keluarga diberi “peluang pekerjaan” yang baru, walhal ada yang sudah bergelar Yang berhormat, tetapi masih mahu mengemudi agensi kerajaan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah.

Adakah sebenarnya “peluang pekerjaan” yang disebut di dalam manifesto Harapan itu ditujukan kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga mereka di dalam parti masing-masing?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan ini kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup. Kurangkan lantikan politik, biar penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas mereka.

Harus diingat, penjawat awam merupakan tunjang kepada pentadbiran negara. Ahli politik datang dan pergi, tetapi mereka tetap komited menguruskan pentadbiran kerajaan.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
26 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 26/1/2019