ICERD: Bukan Menteri Agama tapi Menteri Luar

Nasional
Typography

ISU ICERD bukan harus dihalakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Beliau hanya pendengar setia dan menjadi penyerap tekanan sahaja. Fokus mesti lebih tertumpu kepada Menteri Luar Negeri, YB Datuk Saifuddin Abdullah. Beliau lebih serius dan konsisten mahu meratifikasi semua konvensyen tersebut sejak tahun 2013 lagi.

Ketika Datuk Saifuddin menjawat Ketua Pegawai Eksekutif Global Moderates Movement (GMM), beliau telah mengeluarkan pendirian untuk meratifikasi semua konvensyen tersebut setelah mengadakan satu perbincangan bersama dengan kumpulan Pertubuhan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Simon Sipaun pada bulan Disember 2013 di Kuala Lumpur.

Susulan itu, beliau juga pernah menulis satu artikel bertajuk “Menjamin Kebebasan Beragama” dalam blognya bertarikh 30 Mac 2015. Beliau menyatakan, GMM menyokong Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia (HRWG) dan Gabungan NGO Indonesia Untuk Advokasi Hak Asasi Manusia. Dalam menyiapkan satu laporan khusus mengenai kebebasan beragama di Asia Tenggara, beliau mencadangkan agar mengharmonikan undang-undang negara dengan instrumen-instrumen antarabangsa seperti ICCPR.

Kemudian, Datuk Saifuddin Abdullah telah menegaskan dalam ucapan sulungnya di Wisma Putra selepas dilantik sebagai Menteri Luar Malaysia secara rasmi pada 2 Julai 2018. “As stated in our (Pakatan Harapan) manifesto, we aspire to sign all the international human rights conventions. There are nine conventions, of which we have only ratified three”.

Malaysia mahu meratifikasi enam lagi baki konvensyen PBB iaitu; International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), International Covenant on Economics, Social and Culture Rights (ICESCR), International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of Their Families (CMW), Covention against Torture and Other Cruel Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT) dan Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance (CED).

Kini, hampir pasti Malaysia akan meratifikasi semua konvensyen tersebut termasuk ICERD. Segelintir hakim juga telah mula meletakkan peruntukan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia lebih utama daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan sendiri. Kita perlu tegas membantah ratifikasi ini. Tidak perlu ratifikasi. Tidak perlu pengecualian (reservation). Noktah. - HARAKAHDAILY 9/11/2018