Teguran ERC, SPR perlu ambil tindakan pada Anwar

Nasional
Typography

TEGURAN Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) terhadap kerajaan Pakatan Harapan mengesahkan kerajaan PH sudah melampaui kuasa mereka dalam PRK Parlimen Port Dickson.

Antara kegiatan yang dianggap tidak sepatutnya ialah kehadiran dua menteri, jamuan makan malam percuma dan kehadiran isteri calon PH, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

Teguran ERC adalah teguran serius dan SPR perlu mengambil tindakan melalui laporan tersebut. Pelanggaran kuasa sudah nampak dilihat jelas di mana-mana. Ia bukan dinilaikan oleh jentera PAS atau calon bebas yang lain, tetapi oleh pihak SPR sendiri.

Dalam hal ini, SPR mesti menjelaskan mengapa tiada tindakan tegas yang dapat dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke hari ini. Teguran itu sepatutnya sudah menjadi sebab untuk calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan tidak layak bertanding kerana terlalu banyak pelanggaran kuasa secara terang-terangan.

Berbanding calon lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan raja di Port Dickson dengan pelbagai kemudahan diberikan termasuk dapat masuk ke kem-kem tentera, memberikan tazkirah di masjid-masjid, menteri mengumumkan projek dan berkempen untuknya, majlis makan malam untuknya dan lain-lain lagi.

Malah, Datuk Seri Anwar juga dapat mengumumkan janji dan sogokannya kepada pengundi PD. Tidak cukup dengan itu, kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut turun berkempen, seperti memberi isyarat ugutan agar pengundi PD mengundi Datuk Seri Anwar.

Umum melihat Datuk Seri Anwar dan jenteranya yang disokong kerajaan berkempen secara berat sebelah siang dan malam. Tanpa segan dan rasa malu, mereka melanggar secara nyata garis panduan Bersih 2.0 dan juga SPR. Bersih 2.0 telah lebih awal menegur PH dalam tigas siri kempen PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong namun pelanggaran kali ini lebih jelas dan terang.

Sepatutnya apabila sudah tiga kali ditegur masih berdegil melakukan kesalahan, ia bukan kesilapan, tetapi adalah suatu kesengajaan. Kesengajaan mereka seperti mencabar undang-undang sedia ada, dan merasakan mereka tidak boleh digugat oleh mana-mana undang-undnag negara.

Kempen secara agresif oleh jentera PH terhadap Datuk Seri Anwar menunjukkan kajian Insittut Darul Ehsan (IDE) tidak diyakini. Walaupun menurut kajian IDE Anwar dijangka menang mudah dengan majoriti besar lebih daripada 75%, tetapi melalui pengamatan ramai melalui kempen PH, Anwar seperti dalam keadaan tertekan dan terdesak. Jika tidak mustahil PH tidak akan mematuhi garis panduan SPR sehingga ERC, Bersih 2.0 dan SPR terpaksa menegur mereka berkali-kali.

Malah, jika kajian IDE diambil kira, Anwar sudah berehat dan kempen secara santai kerana ternyata pesaingnya di PRK PD tidak hebat sepertinya.

Pengundi PD boleh mengambil iktibar dari kesombongan kerajaan PH mematuhi peraturan negara, termasuk kempen bersih dalam PRK. Jika PH terus diberi mandat dengan kemenangan besar, tiada siapa mampu menegur dan menasihati mereka.

Justeru pengundi PD hanya mempunyai satu pilihan iaitu dengan menolak calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengundi calon PAS. Jika pembangkang mempunyai suara di Parlimen, walaupun tidak memiliki majoriti, namun ia mamdai agar dapat memberi semak dan imbang kerajaan.

Paling tidak, pengundi mampu mengurangkan majoriti kemenangan Datuk Seri Anwar sebagaimana yang dibuat oleh pengundi di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia. Ia adalah mesej jelas bahawa rakyat sudah muak dengan politik hipokrit, meneruskan legasi kezaliman dan menindas rakyat serta menyalahgunakan kuasa dan kedudukan demi kepentingan sendiri. – HARAKAHDAILY 12/10/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.