PAS tidak rugi sokong MCA di Balakong

Kolumnis
Typography

PAS tidak rugi sikit pun apabila ia menyokong calon MCA dalam PRK Balakong pada 8 September ini. Dan bagi MCA tentulah ia satu keuntungan. Dan bagi masyarakat majmuk di Malaysia langkah Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan turun berkempen membantu MCA di Balakong ada satu petanda baik bagi masa depan Malaysia.

Tindakan PAS itu adalah antara isi politiknya yang dinamakannya politik matang menjelang PRU14 lalu.

Ketika politik matang dan sejahtera itu dilancarkan dua tahun menjelang PRU14, ia putus dengan DAP dan digetik oleh PKR dan setengah ahli PAS sendiri. Ia dikatakan politik bunuh diri. Pengamat politik meramalkan ia akan sifar di Parlimen atau paling baik ia tinggal satu seperti PR 1955 dan PRU 1986.

Ia antara yang menyebabkan ramai pmimpin dan penyokongnya melarikan diri minta perlindungan pada Dr. Mahathir.

Yang dirasa gila oleh setengah masa itu tidak mencemaskan PAS. Ia dirasakan PAS akan habis lepas PRU itu. Memang untungnya payah diagak untuk PRU14, tetapi benih yang disemai pra PRU itu boleh berbunga dan berbuah pasca PRU itu.

Pada PRU itu PAS tidak kosong. Ia beroleh 18 Parlimen secara bersendirian, kurang tiga saja dari PRU13 ketika bersama DAP dan PKR. Ia kering di Selangor tapi menang di Terengganu dan mempertahankan Kelantan. Ketika bersama Pakatan ia kalah di Kedah pada PRU13, tetapi nyaris menang PRU14.

Orang tidak nampak PAS menanam benih melalui budaya poliik matang dan sejahtera di ambang PRU14, tetapi benih itu bertunas di Selangor empat bulan selepas PRU14, di ambang PRK Seri Setia dan Balakong. Presiden MIC ziarah Presiden PAS di Pejabat Agung PAS, dan Setiausaha Agung PAS berkempen untuk MCA di Balakong.

Kita tidak meramal PAS menang di Seri Setia dan MCA menang di Balakong. Tetapi tidak mustahil dengan izin Allah. Tunas yang tumbuh di Balakong itu dipercayai tumbuh di merata-rata. Ia dipercayai berbunga dan berbuah dalam politik hari muka negara yang tentunya menggegarkan kuasa Pakatan Harapan.

Hudud tidak jadi politik panas lagi pada masa depan. Keutamaan semua ialah setiakawan pembangkang. Biarlah hudud itu menemui sasarannya sendiri, tetapi benih yang PAS tanam di ambang PRU14 boleh menjamin MCA dan MIC tidak jadi mati.

Niat DAP mahu mematikan MCA dan MIC semasa Singapura menyertai Malaysia dulu. PAS tidak berhajat untuk mematikan sesiapa. PAS tidak berkawan dengan MCA dan MIC semasa politik Barisan Nasional. Selepas MCA susah dan MIC susah, PAS lebih suka berkawan dengan orang yang susah daripada berkawan dengan yang menang.

Jangan lupa sejarah. Dr Burhanuddin al-Hemy adalah rakan Tan Cheng Lock yang mengasaskan MCA selepas Umno dibentuk. Kedua mereka berbincang tentang masa depan politik Malaya. Dato’ Onn melarikan Cheng Lock bila dia meninggalkan Umno. Apabila Tunku Abdul Rahman Putra membentuk Perikatan dicurinya Cheng Lock dari Dato’ Onn.

Tetapi politk Malaysia mula dibincangkan oleh Dr Tan Cheng Lock sebelum tumbuh kesedaran politik dan kemerdekaan di zaman penjajah dulu.

Adapun Umno sekarang kalau PAS berjubah, dia pun berjubah. Kalau PAS bersampin, dia pun bersampin.

Pembangkang semuanya boleh bersama PAS dalam politik matang dan sejahtera. Balakong dan Seri Setia jadi tapak PAS bersama semua bela rakyat atas robohnya Barisan Nasional. – HARAKAHDAILY 7/9/2018