14
Mon, Oct
5 Artikel Baru

Materialisma masih jadi modal politik Umno-BN

Nasional
Typography

MENJELANG PRU14 yang begitu sangat menghampiri, Umno-BN yang menerajui Kerajaan Persekutuan dan banyak kerajaan negeri seperti rutinnya terus menghamburkan segala umpan material untuk mempengaruhi undi. Umno-BN sejak dahulu telah sedia dikenali akan melaungkan perihal pembangunan, meluluskan segala jenis projek besar dan mega, serta taburan janji yang menggula-gulakan, selain bermacam jenis insentif atau bantuan diberikan.

Paling melucukan, apabila mengadakan jualan murah dan lelongan ala pasar malam, walhal barangan di pasaran biasa terus mencanak naik tanpa usaha konkrit menanganinya. Malah, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menjadi segala punca tersebut, terus bersungguh dipertahankan pihak Kerajaan BN.

Mengulas perkara tersebut, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendekatan memberikan bantuan di dalam bentuk projek pembangunan dan jualan murah apabila hampirnya tarikh pilihan raya ialah satu pendekatan politik memperhambakan rakyat.

“Ia hanyalah satu bentuk pemberian umpan untuk terus meletakkan rakyat dalam keadaan menderita untuk tempoh lima tahun berikutnya. Program jualan murah sebagai contoh, dilaksanakan di banyak lokasi di negara ini hanyalah mensasarkan barangan tertentu sahaja dengan kadar perbezaan yang sangat sedikit berbanding dengan harga di pasaran.

“Isunya, barangan tersebut kekal mahal di pasaran dan terus membebankan rakyat terbanyak. Jika pengunjung jualan murah mendapat kadar penjimatan sehingga RM100 sekalipun, ia tidak membantu untuk mengurangkan kos harga barangan yang semakin meningkat dan barangkali akan terus meningkat untuk tempoh lima tahun berikutnya,” ujar beliau.

Menurutnya, rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuklah yang terpaksa ditanggung oleh isi rumah bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi juga keperluan-keperluan lain untuk keselesaan hidup termasuk kos pendidikan, kos sambungan jalur lebar dan kos kenderaan untuk kegunaan harian.  

Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan itu mengutarakan, perlu untuk disedari bahawa nilai gaji yang diterima di Malaysia juga adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain sebagaimana kenyataan dibuktikan melalui data dikeluarkan oleh International Labour Organisation (ILO) melalui laman BBC.

“Data tersebut menunjukkan perbandingan nilai gaji antara 72 negara di dunia, di mana kedudukan Malaysia dihimpit antara negara Belarus dan Botswana dan menduduki tangga ke-45. Ia sangat memalukan memandangkan kedua-dua negara ini dikenali sebagai negara-negara pedalaman dan kurang membangun,” bidasnya.

Fadhli turut membuka isu kelemahan pengangkutan awam di Malaysia yang turut memaksa rakyat negara ini memiliki sekurang-kurangnya satu kenderaan untuk setiap keluarga, namun berbanding gaji diterima, harga kenderaan di Malaysia adalah antara termahal di rantau ini.

Jelas beliau, harga kenderaan di Malaysia terlalu tinggi berbanding negara luar dan pendapatan purata isi rumah  rakyatnya, di mana terpaksa menanggung dua komponen kos yang perlu dibayar apabila membeli sebuah kereta seperti kos kereta; termasuk keuntungan kepada syarikat automotif dan cukai yang dikenakan kerajaan.

Bagi kereta diimport pula terangnya, juga mempunyai struktur kos sama, tetapi harganya lebih tinggi kerana terdapat dua komponen kos tambahan kerana dikenakan cukai import 30 peratus dan lesen 'Approved Permit' (AP) yang diperlukan untuk mengimport menyebabkan harganya melonjak.

“Kita ingin bertanya kepada kerajaan, di manakah janji untuk menurunkan harga kereta yang ditabur sebelum PRU13 yang lalu?” soal Fadhli.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid pula menegaskan, pilihan raya sepatutnya mematangkan rakyat mengenai  demokrasi, tetapi amalan BN sejak dari dahulu adalah menurunkan bantuan hanya kerana mahu meraih undi menyebabkan rakyat tidak faham hak mereka sebenar.

“Bantuan bukan kerana ia hak rakyat tetapi kerana mahu memenangkan pilihanraya. Walaupun ini bukan suatu kesalahan akan tetapi ia mencemarkan demokrasi dan merosakkan minda rakyat.

“Bantuan dan mengisytihar peruntukan pembangunan dikala pilihanraya adalah amalan rasuah politik yang menjijikkan. Rakyat perlu mendapat haknya bukan sogokkan untuk menghilang sakit sekejap tetapi penyakit sebenar tidak diselesaikan,” tempelaknya.

Terang beliau, minda rakyat akan terus berada dalam sindrom kebergantungan yakni kebergantungan politik yang tidak membina dan jauh dari menyelesaikan masalah.

Katanya, politik BN tidak dilihat murni malah merosakkan menjadikannya politik sogokan dengan meletakkan rakyat di tangan ahli dan parti politik yang sangat manipulatif dan eksploitatif.

“Kini budaya ini diteruskan kerana BN menggunakan pendekatan "at all cost" dan strategi  Micheavelli iaitu "matlamat menghalalkan cara",” kesali beliau.

Pertikaian sama turut disuarakan Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Mohd Noor yang berkata bahawa pemberian bantuan, projek pembangunan atau jualan murah tidak membantu atau berjaya merubah keadaan rakyat.

Semua itu ujarnya, adalah umpan atau gula-gula untuk mempengaruhi rakyat agar terus menyokong kerajaan yang korup, namun percaya rakyat kini semakin bijak dalam membuat keputusan disebabkan tekanan dan kesempitan hidup dialami.

Tegas beliau, masalah harga barang dapat dibendung sekiranya kerajaan menghapuskan GST dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi mempastikan rakyat tidak dibebankan dengan kos hidup yang tinggi.

“Setahun sekali rakyat dipasang perangkap harga murah, namun hari-hari berikutnya harga barang terus melambung. Rakyat yang tidak terlibat dengan kepentingan politik Umno-BN hampir keseluruhannya tidak sabar lagi mahu memberi mandat pada kerajaan yang baru selepas PRU 14 nanti.

“Mereka makan sebanyak mana umpan dan tidak sekali-kali menelan mata pancing yang menyebabkan merana 5 tahun lagi,” ujarnya optimis. - HARAKAHDAILY 16/3/2018