21
Sat, Sep
33 Artikel Baru

Selami derita rakyat sebelum persenda dengan GST

Nasional
Typography

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negara ini seperti suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia. Beliau mengungkit bahawa Malaysia hanya mengenakan sebanyak 6 peratus berbanding 28 peratus cukai GST di India, tetapi rakyat Malaysia riuh rendah bising dan marah kerajaan. Bahkan beliau mempersenda rakyat Malaysia dengan menganggap rakyat hanya mahu cuti umum dan makan berbanding membayar cukai.

riduan1Sebagai pemimpin yang kaya raya, Perdana Menteri mungkin tidak mengerti nilai enam peratus berbanding rakyat terbanyak. PM boleh berseloroh, menghina, mengutuk, memperli dan mempersenda rakyat yang suka makan, bercuti dan tidak suka kepada cukai. Bagi PM, GST tidak membebankannnya kerana beliau mampu membayarnya. Pendapatannya mencecah puluhan ribu ringgit, dan dengan segala kemudahan yang disediakan untuknya secara percuma. Apalah nilai enam peratus cukai GST bagi individu sepertinya, kerana kemewahannya untuk menampung segala macam cukai yang dikenakan.

Hakikatnya rakyat yang menanggung derita ini hidup dalam keadaan terhimpit dan bingung memikirkan kos sara hidup yang tinggi. Beliau tidak pernah merasa nilai pendapatan berjumlah RM3,000 sebulan (seperti pendapatan rakyat kebanyakan), dan jumlah itu terpaksa menampung segala perbelanjaan hidup sekeluarga. Mungkin beliau tidak pernah bersua dengan rakyat yang terpaksa bekerja siang dan malam, lakukan dua tiga kerja bagi menampung kehidupan keluarga. PM belum bertemu dengan rakyat yang tidak pernah termimpi membeli rumah kerana kos yang mahal, duduk di rumah sertinggan, tinggal hujung terpuruk di pedalaman kampung tanpa kemudahan asas dan keselesaan, bercatu perbelanjaan harian dan lain-lain lagi.

Jika Datuk Seri Najib mahu membandingkan kadar enam peratus GST Malaysia yang rendah, mengapa beliau tidak juga buat bandingan dengan kadar pendapatan seisi rumah rakyat Malaysia sebulan. Buat juga kajian dan bandingan dengan harga barangan keperluan dengan kemampuan rakyat. Lihatlah kepada kadar tol di lebuh raya Malaysia, harga minyak petrol dan diesel yang kerap naik jarang turun, harga kenderaan dan rumah yang beribu kali ganda daripada gaji individu. Juga terhadap cukai-cukai lain yang rakyat terpaksa bayar seperti cukai jalan, cukai pintu, cukai pendapatan, cukai tanah dan lain-lain.

Jika GST perlu dikekalkan seperti yang PM dakwa, pastikan pendapatan rakyat naik dengan sejajar dan kos sara hidup dapat diturunkan. Pastikan setiap minggu harga petrol dan diesel sentiasa turun dan kekal rendah setiap masa. Pastikan juga harga tol dapat dikurangkan setiap tahun, serta harga rumah dan kenderaan dikawal dengan harga mampu milik. Berikan lebih banyak subsidi kepada rakyat, selain bantuan pendidikan percuma kepada rakyat. Rungutan rakyat perlu diambil kira, bukan mentertawakan sebalik kedukaan mereka.

Syor saya, usahlah membandingkan dengan negara lain, tetapi lihatlah realiti di negara ini. Jangan mudah merasa bangga dengan apa yang kerajaan beri kepada rakyat berbanding dengan apa yang rakyat berikan kepada kerajaan. Sepatutnya beliau bukan berfikir rendahnya GST di Malaysia, dan berusaha mengekalkannya, tetapi berfikirlah apakah alternatif lain selain GST bagi meringankan beban rakyat. Beliau patut merasa malu apabila pembangkang mengumumkan akan menghapuskan GST dan menggantikan dengan alternatif lain yang lebih baik untuk rakyat. Ini bererti, beliau telah ketandusan idea dan hanya memikir jalan singkat demi meraih pendapatan negara. Jangan sampai pula rakyat mentertawakan beliau selepas PRU14, dengan kekalahan BN yang memalukan!

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
25 September 2017 – HARAKAHDAILY 25/9/2017