16
Wed, Oct
15 Artikel Baru

Tiada elemen transformasi ekonomi Malaysia

Nasional
Typography

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan (LEHPU) PAS Pusat meneliti pembentangan Bajet 2020 oleh Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng kelmarin dan ingin memberikan beberapa komen awal sebagaimana berikut:
 
1. Isi kandungan pembentangan bajet pada kali ini adalah amat berbentuk rutin namun tiada inisiatif-inisiatif strategik baharu terutama bagi tujuan untuk memaju dan mentransformasi model ekonomi Malaysia. Ini bermakna struktur ekonomi Malaysia akan kekal terperangkap dalam kerangka lama yang mana struktur asasnya bergantung kepada input modal.
 
Justeru kami tidak nampak bagaimana bajet ini mampu untuk menyelesaikan masalah utama yang masih membelenggu rakyat dan negara sekarang iaitu kos sara hidup yang semakin meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan.
 
2. Walaupun umum telah mengetahui akan kemerosotan pendapatan kerajaan dengan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun bajet kali ini tidak mencadangkan struktur cukai baharu yang lebih komprehensif dan adil bagi meningkatkan pendapatan kerajaan. Ini secara langsung berlawanan dengan ramalan awal oleh para penganalisis dan firma penarafan bahawa Malaysia perlu menilai semula struktur cukai negara bagi menyelesaikan masalah jurang fiskal yang dihadapi sekarang.
 
Namun persoalan bagaimana kerajaan akan memperolehi pendapatan tambahan sebanyak RM20 billion lagi tidak dijawab dalam pembentangan bajet ini. Oleh itu kami menjangkakan kerajaan akan tidak mampu untuk memenuhi sasaran defisit fiskal sebanyak 3.2 peratus untuk tahun 2020. Perlu diingat sasaran 3.2 peratus ini adalah lebih tinggi daripada sasaran awal kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2019, iaitu 3 peratus.
 
Pandangan kami ini disokong dengan cadangan, sebagaimana yang dibentangkan, yang mana komitmen kerajaan dijangka semakin meningkat dengan pengumuman beberapa lagi kenaikan dan imbuhan baharu, serta upah kepada kakitangan awam dan rakyat, termasuk kenaikan gaji minima kepada pekerja di wilayah bandar utama.
 
3. Walaupun dicadangkan kenaikan gaji minima RM1,200 kepada pekerja di wilayah bandar utama, namun dalam masa sama bajet tidak menyatakan apa-apa inisiatif strategik bagi meningkatkan produktiviti rakyat. Ini bakal memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia kerana tekanan inflasi akan meningkat apabila kenaikan kadar upah tidak diikuti dengan produktiviti.
 
Perlu diingat bahawa kadar pertumbuhan produktiviti Malaysia menyusut dengan ketara kepada 2.2 peratus dalam tahun 2018 berbanding 3.7 peratus dalam tahun 2017, sebagaimana Laporan Produktiviti Malaysia 2018/19.
 
4. Tiada inisiatif untuk meningkatkan keyakinan pelabur kepada pasaran Malaysia. Pengaliran keluar modal asing daripada pasaran ekuiti dan modal Malaysia masih berlaku secara berterusan. Setakat tempoh sehingga akhir September 2019, telah berlaku jualan bersih modal oleh pelabur di pasaran Bursa Malaysia selama 26 minggu secara berterusan, sebagaimana dilaporkan oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research. Ini amat kritikal kerana pelaburan luar membentuk 30% daripada jumlah modal yang didagangkan di Bursa Malaysia.
 
5. Inisiatif untuk meyakinkan palabur kepada pasaran Malaysia memerlukan pendekatan komprehensif. Di samping tiada petunjuk jelas terhadap apakah strategi kerajaan bagi memaju ekonomi Malaysia bergerak kehadapan, keyakinan pasaran juga bergantung kepada kesungguhan dalam memerangi rasuah, yang masih merupakan masalah utama Malaysia. Inisiatif baru dan strategik dalam memerangi rasuah juga tidak disentuh dalam Bajet 2020.
 
Ini secara langsung akan mempengaruhi tanggapan panganalisis kepada pasaran dan akhirnya akan menjejaskan penarafan Malaysia. Berdasarkan garis panduan Bank Dunia, kebocoran melalui rasuah dan penyelewengan akan memberi kesan sehingga 30 peratus daripada KDNK sesebuah negara. Justeru itu, inisiatif memerangi rasuah perlu berterusan ditingkatkan.
 
Berdasarkan asas bajet di atas dan situasi semasa ekonomi Malaysia dan global, maka kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada kadar yang amat sederhana bagi setahun penuh 2019 pada kadar antara 4 peratus hingga 4.5 peratus. Jangkaan ini masih kekal disumbang dan disokong oleh 2 faktor tradisi utama iaitu penggunaan domestik dan pembinaan.
 
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2,
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan (LEHPU) PAS Pusat
12 Safar 1441H/12 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 12/10/2019