15
Tue, Oct
16 Artikel Baru

PRU15: Mencari serasi BN kepada Muafakat Nasional

Nasional
Typography

HARI ini tercipta satu lagi aliansi. Atau disebut juga koalisi. Pakatan politik di Tanah Melayu bermula dengan Perikatan ketika gerakan menuntut kemerdekaan. Umno, MCA dan MIC bergabung membentuk Perikatan bagi merundingkan kemerdekaan tanah air.

Pembangkang juga cuba membentuk aliansi selepas negara mencapai kemerdekaan bagi menghadapi Perikatan. PAS, Parti Negara dan beberapa parti lain juga pernah membentuk kerjasama politik ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 1959. Namun tidak dimashyurkan dengan nama tertentu.

Dan sekali koalisi skala besar berlaku pada 1973 selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Perikatan menghulurkan tali persahabatan kepada PAS, Gerakan dan PPP ketika itu. Akhirnya muncul pakatan baharu yang lebih besar dikenali Barisan Nasional (BN).

Nama BN dicadangkan Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Muda. BN muncul bagi merapatkan semula saf perpaduan rakyat ekoran ancaman hubungan kaum.

Komunis dan kongsi gelap mengambil peluang bagi mencabar kerajaan Perikatan. Mengambil iktibar peristiwa itu akhirnya muncul BN yang menjadi lebih kukuh dan kuat.

Namun paksinya atas nama perpaduan rakyat dan keharmonian kaum. Tiada akujanji yang jelas bagi meletakkan Islam sebagai dustur.

Bagaimanapun rukun hidup bahtera BN tergugat pada 1978 apabila PAS dipecat ekoran krisis yang berlaku di Kelantan. Mungkin koalisi kurang jelas dan kerajaan pusat banyak campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Kelantan.

Umno berjaya mempengaruhi istana bagi melantik Dato’ Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PRU 1974. Biarpun Mohamad juga pemimpin PAS, namun asalnya PAS Kelantan sudah ada calon lain yang dianggap lebih wibawa.

Apa pun atas nama setiakawan PAS menelan pahitnya. Bagaimanapun pahitnya melekat di tengkak kerana Mohamad lebih berkiblatkan Umno.

Sejak 1978 PAS dan Umno berkerat rotan. Selama 41 tahun haluan kedua-dua parti Melayu terbesar itu berbeza. Sepanjang tempoh ‘konfrantasi’ itu muncul apa yang dinamakan sebagai Amanat Haji Hadi dan kes solat dua imam.

Pelakon utama yang menghangatkan isu-isu tersebut bekas-bekas pemimpin PAS. Mereka meninggalkan medan perjuangan dan akhirnya bersama Umno. Antara nama yang mudah diingatkan Ismail Jerat dan Ustaz Mohd Nor Deris.

Ketika itu juga muncul tragedi Memali. PAS terpaksa membayar dengan harga begitu mahal bagi melayari sebuah perjuangan.

Dalam tempoh 40 tahun itu juga kerajaan PAS di Kelantan berdepan dengan diskriminasi yang melulu. Itu cerita lama. Kata Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa, peristiwa lama usah dikenang.

Usah berpaling lagi ke belakang. Benar. Sejarah tetap sejarah ia tidak akan bertukar menjadi panglipulara.

Ada yang sebak

Mengenang apa yang berlaku itu, maka ada yang tergenang air mata ketika perpaduan ummah marak semula. Kelihatan ada peserta himpunan mengesat berkali-kali pipi ketika mengikuti himpunan mega umat Melayu di PWTC tadi.

Juga kelihatan sebak Annuar. Dato’ Seri Mejar Gen (B) Jamil Khir Baharom semasa membaca doa di akhir himpunan tadi juga menyapu tisu di pipi.

Orang Melayu kembali berpadu, selepas gugutan perpaduan kaum dan agama dibiarkan melebarkan di era Malaysia Baharu.

Biarpun sebelum ini dicanang koalisi penyatuan ummah namun hari ini muncul pula Muafakat Nasional Muafakat Rakyat. Banyak pihak agak sangsi sebelum ini.

Namun atas nama aliansi, pihak yang arif istilah penyatuan ummah tetap juga menarik nafas lega. Kemungkinan Jawatankuasa Teknikal kedua-dua pihak melihat diametrical atas nama jamak. Rakyat berbilang bangsa dan agama.

Biarpun apa nama diberi, Muafakat Nasional nampak lebih jelas. Tidak samar lagi dengan agenda utama Islam di hadapan.

Seperti kata Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enam teras utama Piagam Muafakat Ummah.

Asas utamanya kata beliau aqidah dan ikhlas. Mungkin belum ditemui lagi pakatan yang berlaku dimeterikan dengan ikatan akidah. Biarpun akidah berada di nombor wahid namun Muafakat Nasional tetap mengutamakan hak kaum lain. Non Muslim tidak dikesampingkan.

Malah kata Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang haram menzalimi kaum lain. Allah menjadikan manusia berbagai kaum dan agama supaya dapat mengenali antara satu sama lain.

“Melayu dan bumiputera sebagai teras, seperti dilaksanakan Rasulullah saw pada peringkat awal dakwah dijalankan lebih ditumpu kepada kaumnya sendiri,” katanya.

Maka menjelang sambutan Hari Malaysia Isnin ini, satu lagi sejarah tercatat. Muafakat Nasional muncul boleh muncul kerajaan menunggu.

Pakatan Harapan (PH) lahirkan selepas dikuburkan Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Alternatif (BA). BA terpaksa berjuang sejak PRU 1999 untuk benar-benar mampu menggantikan BN di Putrajaya. Malangnya BA dan PR hanya tinggal nama selepas PH muncul menuai hasil pada PRU 14.    

Maka mungkinkah BN juga bertukar kepada MN (Muafakat Nasional) sebagai wadah besar menggantikan PH.