20
Fri, Sep
52 Artikel Baru

Analisis: Kempen 1969 diberi ‘nyawa’ semula

Nasional
Typography

MEMBACA catatan Tunku Abdul Rahman al Haj begitu mengejutkan. Melalui buku ‘Mei 13 Sebelum dan Selepas’ Tunku meluahkan perasaan sedih. Ombak di dada menghadapi tragedi negara 13 Mei belum pun reda, tiba-tiba muncul pula sepucuk surat.

Seperti katanya pada 17 Jun 1969 beliau menerima sepucuk surat dihantar dari Alor Setar.

“Saya keluar hospital pada 16 Jun, satu peristiwa telah berlaku ketika itu amat menyedihkan. Selang dua hari saya menerima sepucuk surat cukup kasar,” katanya.

Disebutnya pemimpin terbabit calon parlimen yang kalah di parlimen Kota Setar. Dia juga seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Kata Tunku, dia telah menghantar salinan surat itu kepada kawan-kawannya, kemudian dibuat beribu-ribu naskhah (saiklostail). Surat itu disebar seluasnya dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam.

Dipendek cerita, pada 12 Julai Tun Abdul Razak telah memanggil Persidangan Majlis Kerja Tertinggi membincangkan surat itu.

“Majlis Kerja Tertinggi yang dihadiri semua menteri kabinet, menteri besar yang menjadi ahli Majlis telah mengambil keputusan tokoh terbabit tidak lagi menjadi ahli Majlis itu mulai hari ini.”

Kata Tunku juga ada pihak mahu mengadakan satu ‘order’ baru dalam Umno kerana pemikiran pemimpin lain dianggap tidak Afro Asia. MasyaAllah. Mungkin ramai pun terkejut membaca catatan Tunku.

Namun apa pun ia sudah menjadi lembaran sejarah. Kata sarjana kalau hendak mengenal leluhur seseorang itu boleh dibelek kitab sejarahnya. Wallahua’lam. Siapa tokoh terbabit, beleklah buku Tunku terbitan Utusan Melayu 1969.

Catatan peristiwa itu menjadi bahan sejarah. Dokumennya ada disimpan di Arked Negara, perpustakaan universiti dan toko buku.

Mengikut Tunku gugatan terhadap keselamatan negara ketika itu kerana ada parti yang bersikap radikal. Parti Buroh dan Parti Pekerja antara yang diserapi dogma komunisme.

Sebelum itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP dari Singapura juga turut serta. Sedangkan persetujuan awal Tunku dengan Lee Kuan Yew, PAP tidak akan menyertai PRU terbabit.

Namun PAP meletak juga 9 calon dengan harapan bagi menggantikan peranan MCA. Bagaimanapun Tunku menolak penglibatan PAP.

Perdana Menteri mengekalkan penglibatan MCA bersama Perikatan. Berikutan gagal menyertai Perikatan menyebabkan PAP mengubah strategi politik.

PAP serang Umno

PAP mulai menyerang Umno dan orang-orang Melayu. Mereka membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa, taraf bumiputera dan pelbagai lagi.

Mereka tidak menghiraukan perasaan masyarakat Melayu. Berani juga mempertikaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.

Selepas 10 tahun merdeka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris akhirnya digugur status bahasa rasmi.

Apakah aksi lama itu dikunci kukuh di peti sejarah. Tidak mungkin. Ulang tayangnya muncul lagi.

Hari ini gugatan demi gugatan lama diberi ‘nyawa’ kembali. Muncul suara mempertikai Bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu. Tidak kurang juga memperlekehkan agama Islam, tentera dan Jalur Gemilang.

Pada 1969 keberanian muncul selepas meraih kuasa politik. Pada PRU itu Perikatan mendapat 49.3 peratus undi, manakala pembangkang menguasai 50.7 peratus.

Pembangkang yang dianggotai Gerakan, DAP dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 kerusi. PAS pula menang di 12 kerusi. Ketika kempen Gerakan dan DAP melaung tentangan hak istimewa Bumiputera. Artikel 153 Perlembagaan tidak dihiraukan.

Ketika itu kedudukan kerajaan Perikatan begitu terdesak. Kesukaran membentuk kerajaan di Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Pulau Mutiara terlepas ke tangan Gerakan. Kelantan pula kekal di bawah PAS.

Kuasa politik Melayu benar-benar tergugat. Di saat itulah tercetus peristiwa 13 Mei menjadi tragedi berdarah. Ramai menjadi korban. Komunis dan kongsi gelap mengambil kesempatan.

Akhirnya Tun Razak Husin cuba meredakan keadaan. Beliau mempelawa semua parti bekerjasama dengan kerajaan. PAS, Gerakan dan PPP menyahut saranan Tun Razak. Bagaimanapun DAP mahu kekal sebagai pembangkang.

Hari ini sekali lagi kuasa politik Melayu tercabar. Maka teori Tun Razak cuba didokong semula. Orang Melayu diajak berpadu.

Cuma bezanya pasca PRU 1969 pembangkang menguatkan saf kerajaan, namun 2019 parti Melayu bersatu di barisan pembangkang. DAP yang menolak kerjasama pada 1973 kini sudah mendakapi erat Putrajaya.

Ternyata sejarah pasti berulang cuma pelakonnya yang berbeza. Ketika PAS dan Umno menghulur tali persaudaraan, apakah Bersatu sekadar berlagak penonton di tepi gelanggang.  

Tanggal 14 September ini sekali lagi teori Tun Razak cuba dimanterakan. Kesannya boleh menjalar sehingga wisel PRU15. – HARAKAHDAILY 11/9/2019