21
Sat, Sep
33 Artikel Baru

Keluar kajian menyeluruh gangguan sistem di KLIA

Nasional
Typography

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) susulan gangguan sistem di KLIA kerana mampu memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan perkhidmatan di KLIA terus beroperasi dengan baik dan selesa demi kebaikan pengguna tempatan dan asing di lapangan terbang kebanggaan negara kita itu.

Walaupun gangguan sistem di KLIA sejak Rabu lepas dilaporkan semakin pulih, namun operasi di lapangan terbang itu masih ‘tidak licin’. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan teguran Perdana Menteri yang menyifatkan gangguan sistem di KLIA tidak seharusnya berlaku kerana sistem sama turut digunakan di lapangan terbang yang lain.

Sebagai salah satu infrastruktur kritikal negara, gangguan terhadap sistem di KLIA akan memberi kesan yang besar kepada keyakinan pelabur dan pelancong asing. Hal ini kerana jika kemudahan infrastruktur kritikal negara seperti KLIA pun sudah sebegini rupa, bagaimana pula dengan persepsi terhadap infrstruktur negara yang lain seperti tenaga elektrik dan air.

Infrastruktur kritikal negara seperti KLIA sepatutnya memiliki sistem sokongan yang cekap jika sistem rangkaian utama terganggu. Proses peralihan kepada sistem sokongan sepatutnya berlaku dalam beberapa saat tanpa disedari pengguna sistem jika sistem rangkaian utama tiba-tiba tidak berfungsi kerana kerosakan. Persoalannya, kenapa proses peralihan sistem sokongan ini seolah-olah tidak berlaku sehingga menyebabkan gangguan terhadap sistem utama KLIA selama beberapa hari?

Sewajarnya, gangguan sistem utama KLIA tidak memerlukan peralihan kepada sistem manual jika berlakunya gangguan terhadap sistem rangkaian utama KLIA. Namun, sebaliknya yang berlaku sehingga terpaksa beralih kepada sistem sokongan manual untuk menangani gangguan terhadap sistem rangkaian utama KLIA.

Terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab oleh MAHB dalam hal ini.

i. Adakah “Business Continuity Plan” (BCP) wujud di KLIA atau infrastruktur kritikal negara yang lain?

ii. Adakah sistem rangkaian utama di KLIA tidak ada sistem sokongan yang akan mengambil alih operasi rangkaian utama dalam beberapa saat jika sistem rangkaian utama terganggu?

iii. Berapa banyakkah kerugian kepada negara kesan daripada gangguan ini termasuk kesannya kepada keyakinan pelabur asing dan pelancong?

iv. Adakah wujud “Disaster Recovery Plan” (DRP) pada infrastruktur kritikal negara yang lain untuk menangani apa sahaja gangguan terhadap infrastruktur itu jika berlaku apa sahaja bentuk gangguan?

v. Apakah wujud kekerapan latihan kepada anggota MAHB dan KLIA berdasarkan Disaster Recovery Plan (DRP) yang sedia ada (kalau ada) dalam memastikan seluruh anggota sokongan perkhidmatan itu sentiasa bersiap siaga?

Selain daripada punca kerosakan kepada sistem KLIA yang perlu disiasat, saya menyarankan agar hasil kajian terhadap persoalan ini perlu dimasukkan dalam laporan menyeluruh terhadap gangguan yang berlaku agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
30 Ogos 2019/ 29 Zulhijjah 1440 – HARAKAHDAILY 30/8/2019