15
Tue, Oct
16 Artikel Baru

Tubuh konsortium selenggara PPR, kos rendah

Nasional
Typography

PENGUMUMAN Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, bahawa DBKL akan menggantikan lif-lif di PPR yang melebihi 10 tahun adalah dialu-alukan.

Walau bagaimanapun banyak masalah dapat diselesaikan jika lif dan penyelenggaraan PPR diletakkan di bawah satu konsortium atau perbadanan yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan.

Badan ini juga dapat menyelenggara pembangunan-pembangunan kos rendah seperti pangsapuri kos rendah yang sering menghadapi masalah penyelenggaraan.

Terdapat penduduk pembangunan kos rendah dengan bilangan kediaman yang sedikit terpaksa membayar yuran penyelenggaraan lebih tinggi oleh kerana kos penyelenggaraan itu dikongsi bersama bilangan penduduk yang kecil. Kontrak secara pukal dengan badan baru ini bersama pembangunan-pembangunan lain boleh mengurangkan yuran yang dibayar oleh penduduk.

Terdapat juga syarikat-syarikat penyelengaraan yang tidak memiliki keupayaan untuk menyimpan stok alat ganti yang secukupnya dan boleh mengakibatkan kerja-kerja baik pulih mengambil masa yang lama kerana terpaksa menunggu alat ganti tiba.

Pertelingkahan sering juga berlaku di antara syarikat penyelengaraan dan penduduk yang diwakili oleh MC (Perbadanan Pengurusan) atau JMB (Badan Pengurusan Bersama) sehingga kerja-kerja penyelenggaraan atau baik pulih tertangguh.

Walaupun untuk lif adalah lebih rumit kerana ia melibatkan kontrak jangka panjang dan perlu menggunakan alat ganti dari pembuat yang asal namun penglibatan secara langsung kerajaan boleh membantu. Ianya lebih berkesan dari jawatankuasa-jawatankuasa "ad hoc" yang bermesyuarat apabila timbul masalah.

Sudah tiba masanya kerajaan terlibat di dalam penyelenggaraan tersebut untuk menjamin kesejahteraan penduduk dan menjaga kepentingan mereka. Yuran penyelenggaraan boleh dikurangkan, kerja-kerja baik pulih boleh dilaksanakan dengan cepat dan pertelingkahan dapat dielakkan.

DATO' ISKANDAR A. SAMAD
Ketua Penyelaras REACH
(Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan)
13 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 13/8/2019