21
Sat, Sep
30 Artikel Baru

Kaligrafi dekati rakyat rentasi sempadan bangsa

Nasional
Typography

DEWAN Muslimat PAS Malaysia menyokong seni penulisan kaligrafi diajar seawal sekolah rendah kerana ia merupakan satu daripada cabang kesenian Islam yang halus, indah dan menarik.

Selain menjadi dekorasi di masjid-masjid, seni kaligrafi juga menjadi hiasan pada bangunan, bahan-bahan iklan, pelekat kenderaan, bahan cenderamata, bahan perhiasan dan sebagainya.

Rakyat Malaysia hari ini dilihat begitu berminat untuk mendapatkan bahan-bahan perhiasan yang mengandungi kaligrafi dan bingkai-bingkai kaligrafi juga sering dilihat di rumah-rumah dan di kedai-kedai makan.

Terdapat beberapa istilah yang mesti difahami; Pertama kaligrafi, ia bermaksud seni menulis dengan indah; atau seni khat tulisan tangan yang menghasilkan huruf atau tulisan yang indah sebagai suatu seni khat (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka).

Kedua al-Quran, bermaksud kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab sebagai mukjizat yang dinaqalkan secara mutawatir, ditulis dalam mushaf bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas, membacanya adalah ibadah. (Mengenal al-Quran dan Asas-asas al-Quran, Dr. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris).

Ketiga, penulisan ditakrifkan sebagai proses penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan dan seterusnya disusun menjadi ayat.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa mempelajari kaligrafi atau seni khat bukanlah bermakna belajar kitab suci al-Quran hingga ada pihak yang melenting dan berasa marah.

Justeru, cadangan KPM ini mesti disokong dan diteruskan sebagai usaha memelihara kesenian kaligrafi dan tulisan jawi secara khususnya.

MARDHIAH HAYATI ZOLKEPLAI
Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi
Dewan Muslimat PAS Malaysia
6 Ogos 2019 / 5 Zulhijjah 1440 – HARAKAHDAILY 6/8/2019