21
Sat, Sep
30 Artikel Baru

Buta sejarah: Jangan jadi pengkhianat bangsa, negara

Nasional
Typography

SEJARAH mengajar kita mengenal susur galur dan ketamadunan sesebuah negara mahupun penduduknya. Selain daripada mengenal asal usul, ia juga penakrifan terbaik bagaimana terbentuknya sebuah negara dan bangsa dan sama ada dari sudut ilmu, budaya serta cara hidup penduduknya. Tulisan jawi memainkan peranan yang begitu penting dalam sejarah tanah air sejak sekian lama terutamanya dari segi sosiobudaya mahupun ekonomi.

Apabila sekumpulan pimpinan akar umbi DAP seramai 138 orang termasuk 13 Adun DAP menggesa pimpinan tertinggi DAP yang menggangotai kabinet agar menolak cadangan untuk memasukkan pembelajaran tulisan khat atau kaligrafi jawi mahupun tulisan jawi secara amnya ke dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk pelajar tahun lima bermula tahun depan, saya beranggapan ia adalah satu tindakan yang cukup tidak munasabah dan masuk akal. Ternyata mereka buta sejarah.

Apakah mereka tidak sedar akan sejarah perkembangan bahasa dan tulisan yang telah sekian lama bertapak di tanah air sebelum tulisan rumi digunakan secara meluas terutamanya sejak selepas merdeka. Penemuan Batu Bersurat Terengganu secara jelas dan berfakta membuktikan bahawa penggunaan tulisan jawi telah bermula bermula sejak awal kurun ke-13 di tanah air.

Penggunaannya bertambah meluas terutamanya pada kurun ke-15 terutamanya oleh negeri-negeri di bawah Kesultanan Melaka dan  Johor sama ada untuk urusan rasmi Kerajaan, titah diraja dan perundangan seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Johor, Pahang dan Kedah. Tulisan jawi juga merupakan abjad dan tulisan rasmi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu pada zaman pemerintahan Kerajaan British. Malah Sultan Abdul Jalil VI daripada Kesultanan Johor mengutus surat kepada Raja Louis XV Perancis pada tahun 1719 turut menggunakan tulisan jawi dalam surat beliau.

Walaupun begitu, tulisan jawi tetap digunakan secara meluas oleh penduduk dan Kesultanan Melayu di tanah air sehingga selepas merdeka. Akhirnya tulisan rumi dipilih sebagai tulisan rasmi Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan selepas diluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Dalam akta tersebut juga secara jelas menyebut bahawa “Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan rumi dengan syarat bahasa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan jawi bagi bahasa kebangsaan“.

Maka adalah tidak menjadi beban dan kesalahan jika dimasukkan pembelajaran tulisan khat ataupun jawi ke dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk pelajar tahun lima bermula tahun depan. Lagipun ia hanya membabitkan sebanyak enam muka surat dari keseluruhan 162 muka surat dalam buku teks tersebut serta tidak memerlukan apa-apa penilaian mahupun peperiksaan khusus untuknya.

Dalam erti kata lain, ia hanya sebagai cara memperkenalkan kembali tulisan jawi kepada para pelajar dan sebagai salah satu cara untuk mendidik pelajar ajar mengenal asal usul ketamadunan tanah air serta tulisan jawi yang menjadi abjad dan tulisan rasmi tanah air sejak sekian lama sebelum diperkenalkan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi Bahasa Kebangsaan.

Jadi di atas alasan apakah pimpinan akar umbi DAP termasuk dengan Adun-Adun tersebut membantah? Jika hanya beralasan para pelajar sudah cukup terbeban dengan tiga bahasa yang mereka belajar sekarang, ia alasan yang cukup tidak munasabah kerana sebagai contoh Bahasa Inggeris adalah bahasa yang cukup asing kepada kita semua sama ada untuk bangsa Melayu, Cina mahupun India namun ramai dari pelajar sejak dahulu mampu belajar dan menggunakannya dengan cukup baik.

Jawi hanya tulisan dan bukannya bahasa serta ia hanya pembelajaran untuk memperkenalkan huruf dan kaedah pembelajaran kaligrafi, tidak perlu lulus dan peperiksaan. Apakah mereka tidak faham atau sahaja membuat bising untuk memperolehi sokongan politik murahan di kalangan rakyat? Jika begitu caranya, maka dicadangkan agar Kerajaan elok teruskan sahaja tanpa memperdulikan mereka.

Jika begini sikap mereka ternyata mereka sebenarnya langsung tidak menghargai sejarah dan budaya tanah air. Malah tidak salah kita katakan bahawa mereka tidak langsung bangga dengan ketamadunan tanah air. Beginikah sikap pemimpin yang di katakan sayang tanah air dan rakyatnya? Secara jujurnya tindakan mereka cukup memalukan serta menjatuhkan maruah bangsa dan budaya Malaysia. Mereka tidak layak jadi pemimpin serta wajar ditolak kepimpinan mereka.

Inikah DAP yang cukup dibangga? Sikap begini tiada apa yang boleh dibanggakan malah memualkan. Tolak DAP dan selamatkan Malaysia. Marilah bersama Gagasan Perpaduan Ummah untuk masa depan yang lebih terjamin dan gemilang.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
AJK PAS Pusat
Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY 2/8/2019