15
Tue, Oct
16 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (30)

Nasional
Typography

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ ۚ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu."

Penekanan utama ayat:

●     Malaikat

Malaikat adalah makhluk tuhan yang dicipta daripada cahaya. Mereka ditugaskan menjalankan perintah-perintah Allah dengan penuh ketaatan. Tidak berjisim, tidak bernafsu dan tidak berjantina seperti makhluk lain dunia ini.

●     Sujud

Perintah sujud terhadap Adam bukan bermaksud menyembahnya. Sebaliknya ia sebagai satu bentuk penghormatan terhadap makhluk paling mulia yang Allah ciptakan. Sujud bukan kerana Adam, tetapi kerana perintah Allah. Begitulah kita solat, bukan kerana menyembah Kaabah tetapi kerana menjalankan perintah Allah semata-mata.

●      Adam

Adam adalah bapa bagi semua manusia. Diciptakan daripada tanah, bukan bersusurgalur daripada keturunan beruk sebagaimana Teori Darwin. kesempurnaan manusia berbanding makhuk lain adalah kerana memiliki segala ciri yang ada pada makhluk lain. Manusia diberikan akal, hawa nafsu, dan jisim. Sedangkan malaikat tanpa hawa nafsu dan jisim, binatang tanpa akal dan jin pula tanpa jisim.

●      Iblis

Iblis adalah nama seekor jin yang pernah mendiami syurga sebagai tawanan. Mengikut satu riwayat, Iblis telah ditawan oleh malaikat kerana terlalu banyak melakukan kerosakan di dunia. Setelah mengkufuri tuhan, dia telah merekrut konco dikalangan jin dan manusia, yang digelar sebagai syaitan.

●     Jin

Jin merupakan makhluk yang dicipta daripada api. Mereka juga seperti manusia, ditaklifkan untuk mematuhi segala perintah tuhan, dan diberikan hawa nafsu sebagai ujian. Ada yang beriman, tetapi ramai yang menjadi pengikut iblis sebagai syaitan.

Ibrah akhir zaman:

Setelah dikisahkan mengenai sikap orang yang kufur kepada Allah atas sebab penyakit sombong yang hinggap di hati mereka, Allah bawakan pula contoh seekor makhluk bernama Iblis yang juga kufur kerana penyakit yang sama. Iblis dengki dengan ciptaan baharu bernama manusia yang dimuliakan lebih dari dirinya. Lalu kedengkian itu membawa Iblis kufur walaupun dia sebenarnya lebih mengetahui hakikat sebenar kerana telah menyaksikan segala kekuasaan tuhan dengan jelas.

Iblis telah diisytiharkan oleh Allah sebagai musuhNya. Allah juga memerintahkan manusia supaya menjadikan Iblis dan zuriatnya para syaitan sebagai musuh. Malangnya terdapat manusia yang tidak mengendahkan perintah tuhan ini, sehingga menjadikan Iblis dan syaitan sebagai teman, penolong bahkan sampai ke tahap menyembahnya.

Illuminati, sebuah pertubuhan penuh misteri yang dikatakan berkait dengan kepercayaan menyembah iblis yang dinamakan sebagai Lucifer. Kumpulan Illuminati ini mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan pertubuhan-pertubuhan lain seperti Zionis dan Freemason terutama dari isu Baitulmaqdis. Kesemuanya percaya bahawa tanah suci itu sebagai milik bangsa Yahudi, berdalilkan kepada keturunan asal yang membina tamadun di situ. Mereka juga sedang berusaha mengembalikan sejarah kekuasaan Nabi Sulaiman yang pernah memerintah bumi. Perkara ini telah didedahkan oleh Allah S.W.T di dalam firmanNya:

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَـٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ ۚ وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ ۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan berkenaan pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."

[Al-Baqarah:102]

Mereka percaya bahawa tapak kuil (haykal) Nabi Sulaiman adalah di lokasi Masjidil Aqsa sekarang. Justeru rancangan mereka yang telah terhasut dengan syaitan ini adalah untuk mendirikan kembali kuil Sulaiman kerana percaya, kerajaan Yahudi akan kembali tertegak menguasai dunia setelah kuil tersebut berjaya didirikan. Mereka sedang menunggu pemimpin Yahudi yang digelar sebagai al-Masih. Mereka menganggap itulah al-Masih yang benar (Nabi Isa), tetapi sebenar ia adalah al-Masih palsu, Dajjal laknatullah alaih.

Rancangan jahat yang didukung Zionis hari ini adalah bagi meruntuhkan Masjidil Aqsa milik umat Islam. Setiausaha Agung Lujnah al-Quds Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Syeikh Musa Nassar yang juga bekas Imam Masjidil Aqsa pernah mendedahkan bahawa bagi menjayakan agenda mereka, beberapa langkah telah diambil oleh Zionis:

1.    Menggali tanah di bawah Masjidil Aqsa bagi meruntuhkannya secara perlahan-lahan.

2.    Meletakkan bahan binaan kuil Sulaiman di sekeliling Masjidil Aqsa.

3.    Menyediakan replika kuil Sulaiman di sekitar Masjidil Aqsa sebagai doktrinasi bahawa itulah tamadun asal kawasan tersebut.

4.    Memadam dan membuang semua bukti sejarah yang menunjukkan Islam sebagai agama tamadun lokasi Masjidil Aqsa.

5.    Membina lebih 100 kuil, gereja dan berbagai rumah ibadat lain sekeliling Aqsa hingga menutup pandangan Kubah Sakhrah (emas) yang menjadi simbolik tamadun umat Muhammad S.A.W.

6.     Menukar milik tanah sekitar al-Quds kepada individu berbangsa Yahudi.

7.     Menukar nama-nama tempat, bangunan, kampung dan jalan kepada bahasa Ibrani.

8.     Bahan penerangan dan sebaran digunakan bahasa Ibrani.

9.    Melobi PBB supaya mengiktiraf al-Aqsa sebagai tapak tinggalan bangsa Yahudi.

10.    Mempermudah kemasukan pelawa asing kafir dan Yahudi bagi menambah kependudukan mereka.

Tuhan takdirkan rancangan mereka akan beroleh kejayaan. Baitulmaqdis akan menjadi ibukota dunia yang pesat di tangan Zionis dan dipimpin oleh Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ.

"Kepesatan Baitul Maqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlakunya perang besar. Perang besar adalah tanda adalah berlakunya pembukaan kota Constantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal."

[HR Abu Daud]

Namun tempohnya hanya sementara. Nabi Isa akan turun bagi membunuh Dajjal, orang Yahudi dan Yakjuj Makjuj. Kerajaan Islam yang dinyatakan oleh Nabi sebagai Khilafah di Atas Manhaj Nubuwwah kedua akan tertegak. Untuk huraian lanjut, boleh rujuk kepada buku saya bertajuk Huraian Hadis Geoeskatologi; Jejak Lokasi dan Kronologi.

Walau bagaimanapun, tuhan takdirkan penentangan orang Islam terhadap penjajahan Yahudi akan terus berlaku sehingga hari kiamat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

"Akan sentiasa wujud di kalangan umatku yang berjuang atas kebenaran, tegas terhadap musuh dan tidak akan terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka, melainkan menghadapi kesempitan hidup. Hinggalah datang ketentuan Allah dan mereka masih dalam keadaan demikian. Sahabat bertanya siapakah mereka? Sabda Rasulullah mereka di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis."

[HR Ahmad]

Kesimpulannya, kumpulan berpemimpinkan Iblis inilah yang Allah S.W.T perintahkan supaya dijadikan musuh. Maka untuk mengetahui siapa di jalan benar dan siapa salah, lihatlah siapa yang bersama dengan aspirasi kumpulan Iblis ini, dan siapa yang bersama pejuang Baitulmaqdis.

Jadikan isu Masjidil Aqsa sebagai modal kesatuan umat Islam. Tidak kira apa jua aliran dan mazhab umat Islam, semua masih bersetuju bahawa Masjidil Aqsa milik umat ini dan bukan Yahudi. Fokus kepada musuh utama yang telah digazetkan oleh Al-Quran. Jangan terpengaruh dengan propaganda musuh sehingga kita menjadikan sesama Islam sebagai musuh lalu mengabaikan kumpulan Iblis atau lebih parah, menjadikan mereka sebagai teman (wali).

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 6/6/2019