16
Wed, Oct
22 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (29)

Nasional
Typography

وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا 

"Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka."

وَعُرِضُوا عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًا

"Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)"."

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

"Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun."


Penekanan utama ayat:

●     Hukum fizik rosak

Bencana kiamat menggambarkan bukit terbang umpama kapas. Dalam ayat lain turut digambar bumi dilipat, bulan bintang berguguran dan bermacam lagi fenomena menakutkan. Simbolik kepada teori graviti sudah tidak terpakai.

●     Dihimpun semua

Terdapat beberapa pandangan mengenai manusia dihimpun. Ada pandangan yang menyatakan manusia akan berhimpun sebelum kiamat lagi, sebelum dimatikan. Mereka kemudian dibangkitkan sekali gus di tempat yang sama. Semua manusia sejak zaman Nabi Adam A.S hinggalah yang terakhir mati dibangkit bersama. Usia mereka sekata dan kejadian mereka disempurnakan supaya dapat mengecap nikmat atau azab sepenuhnya.

●      Seperti dijadikan dahulu

Kita dibangkitkan dengan kuasa yang sama kita dilahirkan dahulu. Juga dengan cara yang sama; keseorangan tanpa bantuan sesiapa. Justeru lihatlah kejadian manusia dengan mata penuh pengiktibaran.

●      Buku catatan amal

Segala yang manusia lakukan yang berkait pilihan dirinya akan dicatit sama ada baik atau buruk. Kiri kanan terdapat malaikat Raqib dan Atid tidak akan tidur sesaatpun dari mengawasi gerak geri manusia. Akan dipersembahkan di mahkamah Allah di hadapan semua manusia. Tiada apa lagi yang mampu diselindungkan.

●      Erti keadilan

Tuhan Maha Adil. Segala hukuman baik dan buruk tidak langsung menzalimi sesiapa. Bukan seperti ideologi Barat hari ini, bahawa hukuman yang keras adalah barbaric dan zalim. Sebagai Muslim, perlu percaya hukuman yang ditetapkan Allah untuk beberapa kesalahan di dunia ini adalah Maha Adil.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini merupakan gambaran akhir zaman bermula huru-hara peristiwa kiamat hinggalah perjalanan awal manusia di alam akhirat. Menurut ilmu eskatologi Islam yang berakar daripada ilmu akidah bab beriman kepada hari akhirat, secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada empat kategori perbahasan mengikut fasa:

1.    Fasa Ambang Kiamat, bermula kelahiran Nabi Muhammad S.A.W hinggalah berlakunya kiamat.

2.    Fasa Alam Barzakh, bermula kematian anak Adam hinggalah mereka dibangkitkan.

3.    Fasa Kiamat, bermula keruntuhan dunia hinggalah habis seluruh makhlukNya dibinasakan.

4.    Fasa Alam Akhirat, bermula hari Kebangkitan dan berkekalan selama-lamanya.

Ayat di atas khusus menceritakan fasa 3 dan 4. Fasa inilah yang banyak tidak diterima oleh penganut agama lain. Mereka menyangka bumi tidak akan hancur. Ada juga yang percaya bumi akan hancur, tetapi tidak percaya mereka akan bangkit kembali di alam akhirat. Justeru dalam ayat ini ditegaskan terhadap mereka yang tidak percaya.

Sebelum berlaku peristiwa ini, semua umat Islam akan dimatikan dahulu kerana kiamat hanyalah bagi membuktikan kepada yang tidak beriman apa yang selama ini mereka tidak percaya. Sabda Rasulullah S.A.W:

فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ إِذْ بَعَثَ اللَّهُ رِيحًا طَيِّبَةً فَتَأْخُذُهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ ، فَتَقْبِضُ رُوحَ كُلِّ مُؤْمِنٍ وَكُلِّ مُسْلِمٍ ، وَيَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ يَتَهَارَجُونَ فِيهَا تَهَارُجَ الْحُمُرِ ، فَعَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

"Dalam keadaan demikian, tuhan utuskan angin lembut mengambil nyawa setiap orang beriman dan Islam. Maka yang tinggal hanyalah manusia-manusia jahat saling bertelagah sesama sendiri. Maka ketika itu berlakulah kiamat."

[HR Muslim]

Kejahatan akan berleluasa ketika itu. Kaabah akan diruntuhkan. Sabda Rasulullah S.A.W:

يُبَايَعُ لِرَجُلٍ مَا بَيْنَ الرُّكْنِ ‏‏وَالْمَقَامِ ،‏ ‏وَلَنْ يَسْتَحِلَّ ‏‏الْبَيْتَ ‏إِلَّا أَهْلُهُ ، فَإِذَا اسْتَحَلُّوهُ فَلَا يُسْأَلُ عَنْ هَلَكَةِ ‏‏الْعَرَبِ،‏ ‏ثُمَّ تَأْتِي ‏الْحَبَشَةُ ‏‏فَيُخَرِّبُونَهُ خَرَابًا لَا يَعْمُرُ بَعْدَهُ أَبَدًا، وَهُمْ الَّذِينَ يَسْتَخْرِجُونَ كَنْزَهُ

"Seorang lelaki (Imam Mahdi) bakal dibaiah di antara Rukn Hajr Aswad dan Maqam Ibrahim. Baitullah tidak akan dibebaskan melainkan oleh penduduknya. Maka apabila dibebaskan maka tidak akan ditanya tentang kebinasaan Arab. Kemudian akan datang kaum Habsyah lalu meruntuhkannya sehingga tidak dapat dibina sesiapa lagi. Merekalah yang akan mengeluarkan khazanah Kaabah."

[HR Ahmad]

Semua negara umat Islam akan binasa. Sabda Rasulullah S.A.W:

آخرُ قريةٍ مِن قُرَى الإسلامِ خرابًا المدينةُ

"Negeri Islam terakhir yang bakal dibinasakan adalah Madinah"

[HR Tirmizi]

Matahari akan naik dari arah Barat. Ketika itu sudah menunjukkan muqaddimah ketidakseimbangan hukum alam. Peristiwa ini adalah satu tempelak kepada orang yang selama ini tidak percaya. Mungkin ada yang mahu u-turn. Tetapi taubat kala itu sudah tidak diterima lagi. Sabda Rasulullah S.A.W:

 إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ ، وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ ، حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

"Sesungguhnya Allah mendepakan tangan-Nya di waktu malam bagi menerima taubat pesalah waktu siang, dan mendepakan tangan-Nya di waktu siang bagi menerima taubat pesalah waktu malam, hinggalah terbitnya matahari dari arah Barat."

[HR Muslim]

Gempa bumi akan berlaku hampir di seluruh dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنها لن تقومَ حتى ترَون قبلَها عشرَ آياتٍ ". فذكر الدخانَ، والدجالَ، والدابةَ، وطلوعَ الشمسِ من مغربِها، ونزولَ عيسى ابنِ مريم صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، ويأجوجَ ومأجوجَ . وثلاثةَ خُسوفٍ : خَسفٌ بالمشرقِ ، وخَسفٌ بالمغربِ ، وخَسفٌ بجزيرةِ العربِ . وآخرُ ذلك نارٌ تخرج من اليمنِ ، تطردُ الناسَ إلى مَحشرِهم

"Sesungguhnya tidak akan berlaku kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya 10 tanda: (1) Dukhan, (2) Dajjal, (3) Dabbah, (4) matahari terbit dari arah Barat, (5) turun Nabi Isa, (6) Yakjuj dan Makjuj, tiga gempa bumi; (7) satu di Timur, (8) satu di Barat dan (9) satu di Semenanjung Arab, dan terakhir (10) api yang terbit daripada Yaman, menghimpunkan manusia ke tempat perhimpunan (Mahsyar)."

[HR Muslim]

Hadis di atas turut menyatakan manusia akan dihimpunkan oleh api yang datang daripada Yaman. Dalam versi yang lain, beberapa tempat lain turut disebutkan keluar api yang sama. Boleh jadi ia keluar dari berbagai tempat sebelum manusia yang masih tinggal dimatikan setelah mereka menyaksikan kdetik kehancuran alam.

Selepas itulah mereka dibinasakan sekali gus. Kemudian tidak lama selepas itu mereka dibangkitkan semula di alam lain, yang sudah berlainan hukum fiziknya. Alam yang kekal abadi, menjadi tempat dibalas segala pilihan yang diambil sewaktu di dunia secara adil tanpa lebih atau kurang sedikitpun.

Waktu tersebut tiada guna lagi sesalan. Oleh itu ambillah pengajaran sebelum Allah sendiri yang ajarkan. Percayalah kepada perkara ghaib yang diwahyukan. Jangan tunggu ia terbukti di hadapan mata dahulu kerana jika pembuktian berlaku, itu bermakna segalanya sudah terlambat.

Inilah antara sisi negatif scientism. Semuanya perlu dibuktikan sebelum dipercayai (evidence-based). Begitu juga golongan realist dan positivist yang tidak mengambil kira unsur tersembunyi atau konspirasi. Pegangan yang melampau boleh menyebabkan golongan ini turut tidak mempercayai akhirat. Semoga umat Islam tidak terlalu hanyut dalam dunia sains hingga lupa keterbatasan capaian logik akal manusiawi.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 6/6/2019