14
Mon, Oct
5 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (28)

Nasional
Typography

وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا كَمَآءٍ أَنزَلۡنَٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخۡتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلۡأَرۡضِ فَأَصۡبَحَ هَشِيمٗا تَذۡرُوهُ ٱلرِّيَٰحُۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ مُّقۡتَدِرًا

"Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱلۡبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابٗا وَخَيۡرٌ أَمَلٗا

"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."


Penekanan utama ayat:

●     Singkatnya masa

Digambarkan kronologi hidup dunia dalam tiga fasa tumbuhan sahaja. Bermula dari air, lalu bercambah tumbuhan dan akhirnya kering ditiup angin. Walaupun hidup manusia lebih panjang daripada itu, tetapi jika dinisbahkan dengan kehidupan akhirat sehari umpama 1000 tahun kita, maka kita sebenarnya hidup tak sampai suku hari akhirat. Sangat singkat!

●      Amal soleh

Amal soleh tidak hanya berkait dengan ibadat khusus semata-mata. Segala aktiviti yang memberikan kita pahala termasuk dalam kategori amal soleh seperti berkata benar, berbuat baik kepada ibubapa, menggembirakan rakan dan terlibat dalam aktiviti gerakan Islam. Bahkan amalan rutin harian seperti makan, tidur dan mandi juga boleh mendatangkan pahala jika kena niatnya.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini mempunyai kesinambungan daripada ayat-ayat sebelumnya. Bermula kisah al-Kahfi yang ditutup dengan resolusi supaya bersabar bersama orang beriman, hinggalah pengkisahan pemilik dua kebun. Ia menunjukkan kepada satu pengajaran penting; dunia ini hanya sementara.

Oleh kerana itu, pertimbangan manusia di dunia ini haruslah bijak. Menjadikan akhirat sebagai matlamat utama dan dunia sebagai persinggahan. Sabda Rasulullah S.A.W:

كُنْ في الدُّنْيا كأَنَّكَ غريبٌ، أَوْ عَابِرُ سبيلٍ

"Beradalah di dunia ibarat kamu orang asing atau sebagai pelintas jalan."

[HR Bukhari]

Juga sabda Rasulullah S.A.W:

الكَيِّس مَنْ دَانَ نَفْسَهُ، وَعَمِلَ لِما بَعْدَ الْموْتِ، وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَه هَواهَا، وتمَنَّى عَلَى اللَّهِ

"Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa muhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Manakala orang yang naif pula adalah mereka yang menurut hawa nafsunya namun berharap kepada Allah."

[HR Tirmizi]

Malangnya fenomena akhir zaman menunjukkan pertimbangan manusia sudah terbalik. Mencari kehidupan dunia seolah-olah mereka akan kekal abadi. Sanggup menjual akhirat demi keuntungan dunia.

Jalan memperkuatkan jatidiri pada akhir zaman ini antara lainnya adalah dengan melakukan amal kebaikan seberapa banyak yang termampu. Ia menjadi umpama lapisan pelindung daripada fitnah akhir zaman. Sabda Rasulullah S.A.W:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

"Bersegeralah melakukan amal sebelum tibanya fitnah kekeliruan umpama malam yang gelap gelita yang boleh menyebabkan pagi beriman, petang kufur. Jika petang beriman, esok pagi kufur. Menjual agama dengan tawaran dunia."

[HR Muslim]

Juga sabda Rasulullah S.A.W:

بادروا بالأعمال سبعًا، هل تنتظرون إلا فقراً مُنسيًا، أو غنًى مُطغيًا، أو مرضاً مُفسدًا، أو هَرَماً مُفنِّدًا، أو موتاً مُجهِزًا، أو الدجال، فشر غائب ينتظر، أو الساعة، والساعة أدهى وأمر

"Bersegeralah melakukan amal sebelum tiba tujuh perkara;
1.Kefakiran yang melupakan
2.Kekayaan yang menyebabkan kamu melampaui batas
3.Kesakitan yang membinasakan
4.Tua yang menyebabkan nyanyuk
5.Mati secara tiba-tiba
6.Dajjal, seburuk-buruk perkara ghaib yang ditunggu
7.Kiamat, sedangkan ianya adalah yang paling dahsyat."

[HR Tirmizi]

Apabila tiba fitnah Dajjal atau perkara-perkara yang disebutkan di atas, maka tiada guna lagi untuk berkejaran membuat amal. Pada ketika itu kita masih belum tentu, apakah iman masih di dada atau tidak. Jika iman sudah luntur tanpa disedari, tiada guna amal setinggi gunung pun kerana tidak dikira di sisi Allah.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 2/6/2019