23
Thu, May
35 Artikel Baru

Segera tangani nelayan Vietnam ceroboh perairan

Nasional
Typography

DALAM tempoh kebelakangan ini, isu pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari negara Vietnam heboh diperkatakan oleh komuniti nelayan di Pantai Timur Semenanjung negara terutamanya di Terengganu.

​Rata-rata nelayan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kelemahan penguatkuasaan maritim yang dilaksanakan seperti Jabatan Perikanan, Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

​Hakikatnya, penguatkuasaan yang dilaksanakan terhadap pencerobohan ini boleh dikatakan memuaskan sepadanlah dengan keberadaan aset-aset penguat kuasa di laut ini termasuk dengan bantuan daripada pihak tentera menerusi Tentera Laut Diraja Malaysia yang aktif menjalankan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

​Untuk tempoh Januari hingga kini, bagi negeri Terengganu sahaja, sebanyak dua kapal Maritim Malaysia berada di laut pada setiap hari, yang mana sebuah kapal berpangkalan di Kuala Terengganu dan sebuah lagi berpangkalan di Kemaman.

​Kapal-kapal itu juga telah dibantu oleh aset dari negeri Pahang iaitu KM Pekan dan KM Langkawi yang kedua-duanya berupaya pergi lebih jauh hingga ke sempadan perairan negara dalam usaha menyekat pencerobohan bot nelayan Vietnam.

​Bagi keseluruhan perairan negeri-negeri Pantai Timur, dalam tempoh ini Maritim Malaysia juga telah melakukan lebih 500 pemeriksaan. Lebih 30 bot nelayan Vietnam telah ditahan dan seramai lebih 300 nelayan asing Vietnam ditangkap.

​Kes-kes tersebut telah dibawa ke mahkamah yang mana dalam tempoh empat bulan tahun 2019 telah menghasilkan lebih RM2.3 juta kepada pihak kerajaan menerusi kompaun atau denda yang dikenakan ke atas pengusaha bot dan tekong nelayan Vietnam.

​Sebahagian besar bot yang ditahan itu telah ditempatkan di dua pusat tahanan vesel iaitu di Kuala Terengganu dan Kemaman. Pada masa ini, kedua-dua pusat tahanan vesel tersebut adalah sesak dan ada di antara bot-bot itu hampir tenggelam. Kerajaan menerusi Maritim Malaysia telah membelanjakan RM350,000 bagi menyelenggarakan bot-bot di pusat tahanan vesel tersebut.

​Isu pencerobohan nelayan Vietnam yang dikatakan menggugat ketenteraman dan kesejahteraan komuniti nelayan tempatan tidak dinafikan. Permasalahan yang timbul ini bukanlah didorong oleh penguatkuasaan yang lemah semata-mata, hakikatnya banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi dan diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan.

​Salah satunya adalah perkara berkaitan perundangan yang mencakupi akta sedia ada berkenaan perikanan negara yang perlu dirombak dan diperbaiki di samping memperkenalkan undang-undang yang lebih berat kepada para pelaku yang menceroboh dan melanggar undang-undang Malaysia.

​Isu ini juga berkait soal kedaulatan negara. Saya berpendapat perkara ini boleh ditangani dengan mengambil kira semangat ASEAN dan hubungan diplomatik dua buah negara yang berdaulat. Tindakan seperti mengeluarkan nota bantahan diplomatik menerusi Kementerian Luar Negeri, menganjurkan forum-forum khas, mengadakan mesyuarat working group, dan menjalinkan perkongsian maklumat perisikan antara agensi penguat kuasa dua negara adalah dipercayai dapat menangani isu pencerobohan bot nelayan Vietnam ini secara holistik.

​Saya berpandangan Menteri-menteri yang diberi mandat dalam hal ehwal perikanan dan maritim harus berpandangan lebih jauh dan realisitik untuk menangani isu BNV dan BNA yang juga berkait rapat dengan isu IUU. Inilah masanya untuk para Menteri melancarkan strategi yang tegas dan jelas dalam situasi Vietnam yang telahpun diberi kad kuning oleh Kesatuan Eropah supaya suara dan tindakan Malaysia memerangi pencerobohan nelayan-nelayan asing didengar, dilayan dan mendapat respon positif daripada masyarakat antarabangsa.

​Oleh itu, tiada lagi kegusaran di pihak-pihak tertentu untuk mencabar integriti pegawai dan anggota penguat kuasa kita menjalankan tugas mereka di laut yang sememangnya menghadapi dengan pelbagai kekangan. Sungguhpun begitu, saya berharap kerajaan akan meneruskan program-program pembangunan dan keupayaan agensi penguat kuasa maritim serta mengambil tindakan proaktif terhadap masalah-masalah yang dihadapi.

​Aset-aset juga perlu diselenggara dengan baik dan cepat agar operasi yang dijalankan tidak terganggu. Ini juga menyentuh perasaan saya apabila saya mendapati, di Kuala Terengganu sebanyak 13 aset laut secara keseluruhan ditempatkan iaitu 5 kapal dan 8 bot tetapi yang boleh beroperasi adalah sebanyak 1 kapal dan 2 bot sahaja buat ketika ini. Ini diakibatkan oleh proses-proses yang membabitkan kelulusan pihak-pihak tertentu dalam urusan baik-pulih dan sebagainya. Kebanyakkan aset-aset ini pula merupakan aset lama yang diberikan kepada Maritim Malaysia seawal penubuhannya.

​Jika dibandingkan dengan penahanan dan tangkapan nelayan asing yang dilakukan Maritim Negeri Terengganu ini dengan keupayaan sedia ada aset-aset mereka, ia masuk akal dan telus. Ini juga jelas menunjukkan bahawa sekiranya Kerajaan memberi peruntukan yang sewajarnya dalam hal-hal membabitkan kedaulatan seperti ini, saya yakin lebih banyak lagi penceroboh perairan Negara dapat ditangkap.

​Namun apa yang penting adalah penggubalan terhadap Akta Perikanan 1985 adalah perlu dilaksanakan dengan segera dan diganti dengan akta yang baharu. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perikanan Malaysia perlu memainkan peranannya dengan menyegerakan proses ini.

​Sekiranya perkara ini tidak diambil serius, hasil laut Negara akan musnah ditarah dan apa akan jadi pada masa depan generasi akan datang. Kerajaan juga perlu meneliti dengan baik keupayaan agensi-agensi penguat kuasa Negara yang menjalankan tugas mereka. Peruntukan yang lebih perlu diberikan kepada agensi yang benar-benar memerlukan.

​Kerajaan tidak boleh menyalahkan komuniti nelayan dalam soal rungutan seperti yang dilakukan di Dataran Syahbandar pada hari ini. Mereka berhak bersuara dan tindakan mereka ini wajar diberikan perhatian yang serius. Kerajaan perlu bertindak. Jangan diam diri.


YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
24 April 2019 - HARAKAHDAILY 24/4/2019