23
Thu, May
35 Artikel Baru

Pemberi rasuah wajar didedahkan identiti

Nasional
Typography

SYABAS diucapkan kepada SPRM kerana berjaya membongkar tindakan anggota penguatkuasa JPJ yang melindungi sindikit ‘Lori Kebal’ di Pulau Pinang dengan penahanan penguatkuasa JPJ dalam jumlah yang ramai. Ia membuktikan bahawa sememangnya SPRM menjalankan tugasnya dengan berkesan, telus dan tanpa gentar.

Sememangnya kita semua bersetuju dengan tindakan SPRM menahan dan mendakwa mana-mana kakitangan awam yang disyaki tidak menjalankan tanggungjawab mahupun amanah yang diberikan dengan jujur dan telus. Kita juga bersetuju untuk tidak berkompromi dengan mana-mana kakitangan awam yang terbukti menerima rasuah dan menyokong dikenakan tindakan atau hukuman jika terbukti bersalah.

Namun jangan kita semua lupa di sebalik semua ini, yang memberi rasuah juga wajib dihukum serta didedahkan identiti mereka. Harus kita ingat, mereka inilah yang bertanggungjawab menyogok wang ringgit dan habuan kepada kakitangan awam supaya tidak amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Jangan hanya leka menyalahkan kakitangan awam yang menerima rasuah sehingga kita lupa yang memberi rasuah. Kerana tanpa orang yang memberi rasuah serta memperdaya kakitangan awam hingga terlupa tanggungjawab dan amanah mereka dengan habuan wang ringgit dan harta, rasuah tidak akan berlaku jika tiada yang memberi serta memperdaya.

Pemberi rasuah wajib dihukum serta didedahkan identiti mereka. Jika rasuah itu melibatkan kepentingan perniagaan, maka perniagaan tersebut harus disiasat serta kemungkinan disita ataupun digantung lesen perniagaannya ataupun pemiliknya dilarang menjalankan perniagaan selain daripada denda dan hukuman penjara.

Jangan hanya kerana tindakan segelintir kakitangan awam yang berbuat onar, yang lain turut menerima tempias dan dipersalahkan. Jangan pula kerana tindakan tersebut, kakitangan awam diburuk-burukkan, diperlekeh malah digambarkan tidak efisyen dan berdaya saing. Jangan kita lupa, masih terlalu ramai kakitangan awam yang berdedikasi, jujur dan amanah dan menjadi pemangkin pembangunan negara.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 24/4/2019