16
Wed, Oct
22 Artikel Baru

Bon Samurai, lagi?

Nasional
Typography

KERAJAAN Persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk menerbitkan beberapa lagi bon berdenominasi Yen dalam tahun ini. Andaian tersebut digambarkan oleh Menteri Kewangan setelah Bon Samurai telah berjaya diterbitkan pada awal Mac lalu dan menerima lebihan langganan sebanyak 1.6 kali ganda iaitu sebanyak 324.7 bilion Yen berbanding jumlah asal 200 bilion Yen (kira-kira RM7.5 bilion).

Penerbitan Bon Samurai telah diumumkan dalam Belanjawan 2019 pada November tahun lalu setelah kerjasama ekonomi dua negara ini dirancakkan semula di era Tun Dr Mahathir dan Shinzo Abe. Bon Samurai bersaiz 200 bilion Yen dengan kadar kupon pada paras terendah 0.63% dan tempoh matang selama 10 tahun. Bon ini diterbitkan di pasaran Jepun dan dijamin oleh Japan Bank for International Cooperation (JBIC).

Paras hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Suku Keempat 2018 ialah RM741 bilion (51.8% daripada KDNK) berbanding RM686.6 bilion pada akhir tahun 2017. Daripada keseluruhan jumlah hutang tersebut, sebanyak RM562.2 bilion adalah hutang domestik, manakala RM178.8 bilion adalah hutang luar negara. Hutang Kerajaan Persekutuan dalam mata wang asing adalah sebanyak RM16.7 bilion.

Walaupun kadar kupon sangat rendah berbanding pinjaman komersial lain, terbitan bon berdenominasi Yen akan terdedah kepada kemeruapan pasaran mata wang. Yen dianggap mata wang selamat ekoran sentimen pelabur yang masih tertekan dengan ketidaktentuan kewangan global. Sekiranya Yen terus mengukuh, maka Kerajaan turut akan terbeban dengan kos perkhidmatan hutang kepada Jepun.

Kerajaan juga mesti menjelaskan dengan terperinci objektif utama penerbitan bon dan penggunaan hasil yang akan diperolehi. Peningkatan RM55 bilion hutang kerajaan dalam tempoh 12 bulan sangat membimbangkan meski banyak peruntukan dan projek kerajaan yang tertangguh. Tindakan ini turut akan mencacatkan pelan konsolidasi fiskal menjelang tahun 2020. – HARAKAHDAILY 19/3/2019