18
Wed, Sep
20 Artikel Baru

KUALA LUMPUR: Kempen Beli Produk Muslim akan diperluaskan sehingga ke akar umbi di seluruh negeri meliputi daerah dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Menurut pengarah kempen, Mohd Zai Mustafa, pihaknya akan turun ke seluruh negara dan membuat kerjasama dengan pihak masjid serta agensi kerajaan untuk mendapatkan sokongan.

Katanya, sekarang ini kempen tersebut telah mendapat sokongan baik daripada semua pejabat mufti negeri, malah kempen ini juga turut mendapat sokongan daripada Sultan Johor yang sudi menyediakan peluang kepada pengusaha Muslim untuk membuka pasar raya di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa pelancaran kempen secara besar-besaan akan diadakan pada 1 Oktober nanti di Kuala Lumpur bagi mengumumkan semua pengguna boleh daftar dalam platform abata serta boleh membeli menggunakan platform tersebut secara atas talian.

Sementara itu, beliau secara terbuka menyatakan persediaan untuk memberi taklimat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub berkenaan kebaikan dan input yang besar kepada sektor pertanian melalui kempen itu.

“Saya bersedia memberi taklimat kepada FAMA untuk kita melaksanakan pemasaran FAMA yang kita tahu sekarang ini agak lemah.

“Kita sudi bantu dan bagi kepada FAMA platform (ABATA) ini secara percuma,” katanya pada sidang media Kempen Beli Produk Muslim di Dewan Seminar Kohilal, hari ini, di sini. – HARAKAHDAILY 16/9/2019

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyangkal kenyataan negatif setengah pihak yang mengatakan bahawa kempen beli produk Muslim sebagai memboikot produk bukan Muslim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, kempen tersebut tidak sama sekali untuk memboikot produk bukan Muslim, malah melalui kempen itu dapat memberi manfaat kepada semua kaum.

“Sekiranya dilihat ekosistem ekonomi kini semua rakyat akan mendapat manfaat dan terbukti apabila ramai pengusaha, pekedai yang telah menurunkan harga barang mereka dan manfaatnya diperolehi semua bangsa.

“Alhamdulillah kempen ini telah mendapat sembutan yang luar biasa daripada pengusaha yang selama ini tidak ada peluang untuk memasarkan produk mereka,” katanya dalam sidang media sempena Kempen Beli Produk Muslim di Dewan Seminar Kohilal, di sini, hari ini.

Katanya, hal ini mungkin faktor kewangan dan kekurangan infrastruktur menyebabkan mereka tidak berkembang.

Berikutan daripada itu, pihaknya telah membuat kerjasama dengan aplikasi abata untuk memudahkan pengusaha dan usahawan kecil dapat memasarkan produk mereka melalui aplikasi itu.

Jelasnya, aplikasi tersebut dapat membantu pengusaha dan usahawan untuk memasarkan produk mereka ke serata tempat dengan mudah.

Menurut Aminuddin, objektif utama kempen itu adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu Islam yang kini terkebelakang daripada kaum lain di negara ini.

“Kempen ini untuk menaikan taraf ekonomi orang Melayu kalau boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lain.

“Sudah tentu apabila suasana sedemikian, negara ini akan lebih harmoni, hubungan kaum akan lebih baik dan ekonomi negara akan makin berkembang,” ujarnya.

Beliau juga menyeru semua pengguna orang Muslim supaya menyokong kempen ini demi meningkatkan taraf ekonomi Muslim di negara ini. – HARAKAHDAILY 16/9/2019

KUALA LUMPUR: Sejarah panjang negara ini yang dibina dari perjuangan dan pengorbanan kaum Peribumi Melayu dan Bumiputera adalah faktor penting sehingga merdekanya daripada penjajah British.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, kerana menghormati kedudukan tersebut, maka diletakkan asas Perlembagaan Negara ini dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, (serta diletak) kedudukan istimewa orang Melayu Bumiputera sebagaimana ada dalam Perlembagaan.

"Keadaan ini sangat bersesuaian dengan tolak ansur yang telah diberikan oleh orang Melayu Bumiputera kepada kaum Tionghua dan India yang kemudian kita terima mereka menjadi rakan kita sebagai warganegara," ujarnya.

Tetapi kesali beliau, hari ini timbulnya dalam negara perasaan tidak selamat, ditekan dan dihina, serta tidak tenteram dan tidak stabil, selain rasa ditipu, ditindas serta ekonomi yang melampau kerana asas negara ini dikhianati.

Jelas beliau, Kerajaan PH telah menafikan kedudukan Islam, keistimewaan Bumiputera, Bahasa Melayu dan tonggak penting termaktub dalam Perlembagaan, menyebabkan rakyat bangkit mempertahankan hak itu.

Beliau mengupas demikian dalam Wacana Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di konti media sempena HPU914 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini kelmarin.

Tegasnya, himpunan tersebut telah memberi isyarat kepada kerajaan bahawa cukuplah orang Melayu-Islam dikhianati, sedangkan negara ini dibina atas pengorbanan darah dan air mata pejuang-pejuang dahulu hampir 450 tahun menghadapi penjajah British.

"Perlembagaan negara ini asasnya dibentuk kerana tolak ansur yang diberi orang Melayu Bumiputera sebelum ini. Kalau orang Melayu tiada tolak ansur, kaum Tionghua dan India tidak akan mendapat kerakyatan.

"(Tetapi) Kerajaan hari ini melaksanakan dasar-dasar yang mengkhianati pengorbanan dan tolak ansur tersebut dengan memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia dan sebagainya," bidas beliau.

Menurut Kamaruzaman, dalang utama kepada semua keadaan tersebut adalah DAP yang sesuai diistilahkan sebagai makhluk perosak kerana cuba merungkai Kontrak Sosial dan asas-asas Perlembagaan.

Oleh itu katanya, himpunan tersebut telah memberi mesej rakyat untuk mempertahankan Perlembagaan dari diusik makhluk perosak bangsa DAP dan mereka mesti dibuang sejauh-jauhnya kerana merosakkan keharmonian negara. - HARAKAHDAILY 16/9/2019

PAHANG beruntung menjadi antara negeri yang masih gagal dikuasai oleh PH di Semenanjung Malaysia seiring dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Seperti di peringkat Pusat, PAS Pahang mengorak langkah menjalin hubungan kerjasama politik dengan Umno mewujudkan gelombang rakyat bagi menghadapi PRU ke-15.

Ikuti wawancara bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Haji Hasenan Harun yang direncanakan oleh wartawan Harakahdaily, ARIS HAZLAN ISMAIL dan MASHITAH MAZLAN.

HARAKAHDAILY: Setelah berlangsungnya muktamar Tahunan PAS ke 65 di Kuantan Jun lalu, PAS telah membentuk jawatankuasa kerja parti di peringkat negeri-negeri. Tidak ketinggalan negeri Pahang. Walaupun pesuruhjayanya dikekalkan, namun kelihatan berlaku perubahan yang agak besar dalam organisasi Badan Perhubungan PAS Pahang. Soalan kami apakah hala tuju PAS Pahang dan ke mana PAS Pahang ini hendak di bawa oleh jawatankuasa baru ini?


HAJI HASENAN HARUN: Sebenarnya sebaik sahaja selesai PRU ke 14 yang lalu, PAS Pahang telahpun mengadakan pemukiman untuk melakar hala tuju pergerakan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. Ketika itu kabinet baru PAS Pahang belum lagi dibentuk.

Alhamdulillah pemukiman itu berhasil merangka Pelan Tindakan Strategi (PTS) PAS Pahang. Dengan adanya PTS ini ia memudahkan kepimpinan baru untuk meneruskan agenda PAS di negeri ini.

Walaupun berlaku sedikit perubahan kepimpinan negeri, tapi dengan dibantu beberapa orang pimpinan baru dan lama, mereka tetap meneruskan agenda yang telah digariskan sebelum dalam perancangan PTS itu.

Umum mengetahui, dalam PRU ke-14 dan yang sebelum dari itu, setiap kali pilihan raya diadakan, maka lawan PAS di Pahang ini ialah BN atau lebih khusus, Umno. Namun untuk PRU berikutnya kelihatan ia berpusing 360 darjah. Dari musuh menjadi teman. Apakah sebenarnya faktor paling utama kedua-dua parti ini mengendurkan persengketaan dan seterusnya menjalin hubungan untuk menentang pihak lain?

Pertama, dari segi prinsip berpolitik, ramai kawan adalah lebih baik. Kedua, bagi mereka yang tidak menyenangi persefahaman ini, saya ingin bertanya, salahkah PAS berkawan dengan Umno?

Kalau salah, kenapa? Kerana di sana ramai pemimpin Umno yang dikatakan terlibat dengan rasuah dan penyelewengan? Isu rasuah dan penyelewengan ini atas sifat individu dan tentu sekali pihak SPRM pihak polis boleh mengambil tindakan kepada mereka yang bersalah. Yang bersalah patut diambil tindakan. Yang tak bersalah kenapa dilabel sama dan dihalang kita bekerjasama dengan mereka.

Persefahaman ini sebenarnya bertitik tolak dari keputusan PRU ke 14 apabila Umno sendiri tidak menjangkakan mereka akan tumbang. Manakala PAS pula dilihat gagal mencapai objektif menjadi ‘king maker’ di peringkat Persekutuan.

Kedua-duanya kalah teruk walaupun BN mengekalkan Pahang dan Perlis dan PAS mengekalkan Kelantan dan memerintah di Terengganu. Di peringkat Persekutuan, PAS hanya memperoleh 18 kerusi berbanding 160 yang dipertandingkan.

Umno pula menyaksikan kemerosotan sokongan yang sangat teruk. Kita gagal kerana kita bertembung tiga penjuru hampir di semua kawasan.

Antara kejutan kepada rakyat khususnya yang beragama Islam, kerajaan Persekutuan yang dibentuk selepas PRU ke-14 tidak lagi didominasi oleh umat Islam. Menyebabkan banyak perkara yang ada hubungkait dengan Islam dan Melayu diabaikan termasuk perkara-perkara sensitif dan isu yang membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat melihat PH tidak boleh dibiarkan memerintah lebih lama. Kuasa mereka mesti ditamatkan dalam PRU yang akan datang. Untuk tujuan tersebut, semua pihak termasuk PAS, Umno, parti-parti politik orang Melayu Islam dan NGO-NGO hendaklah bergabung tenaga bagi mengembalikan kuasa yang hilang dari penduduk majoriti ini.

Dalam konteks Negeri Pahang, walaupun Umno BN mengekalkan kuasa, namun mereka turut melihat sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada PAS. Dari dua kerusi, meningkat kepada 8 kerusi Dewan Undangan Negeri PAS. Maka Umno melihat PAS perlu dijadikan kawan untuk menghalang kemaraan PH dalam PRU yang akan datang.

Di peringkat Nasional kita lihat sudah ada usaha yang agak agresif antara kedua-dua belah pihak dalam menjalin kerjasama politik ini. Kemuncaknya apabila diadakan Himpunan Penyatuan Ummah pada 13 dan 14 September di PWTC. Bagaimana pula dengan di negeri Pahang ini, sejauh manakah hubungan PAS dan Umno telah dilangsungkan?

Dalam konteks Negeri Pahang jalinan kerjasama yang nyata telah bermula secara agak rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands. Di situ bermulanya kerjasama antara PAS dan Umno negeri Pahang ini.

Dalam konteks hubungan di Pahang, saya rasa batang tubuh Dato' Sri Wan Rosdy, Menteri Besar Pahang tu sendiri banyak memainkan peranan menjadikan hubungan antara PAS dan Umno ini bertambah baik dari semasa ke semasa.

Di samping itu Pesuruhjaya PAS, Ustaz Rosli Jabar juga dilihat berganding bahu dengan Menteri Besar Dato' Wan Rosdi untuk meneruskan agenda permuafakatan antara kedua-dua parti besar ini.

Hampir di setiap kawasan PAS dan Umno sudahpun menjalin kerjasama walaupun tidak secara rasmi. Majlis keramaian, sambutan hari raya, mesyuarat agung dan berbagai-bagai turut dilihat kehadiran bersama pimpinan PAS dan Umno. Ini petanda yang sangat baik untuk PAS dan Umno negeri Pahang untuk menghadapi PRU ke-15 Insya Allah.


Dalam isu jalinan kerjasama politik antara PAS dan Umno ini, ada pihak luar yang melabel ia sebagai satu bentuk rasis. Terutama sekali apabila ada satu keinginan besar dari rakyat di bawah untuk berkempen dengan apa yang disebut sebagai ‘Buy Muslim First’ atau kempen mengutamakan barangan Muslim. Mereka melihat ia sebagai satu kempen rasis anjuran PAS dan Umno.

Tentang persoalan ini sebenarnya kita kena lihat apa yang berlaku sebelum dan selepas daripada PRU Ke-14. Selepas PRU, masyarakat Melayu Islam melihat bahawa ada  sesuatu yang tidak selesa bagi mereka apabila banyak tindakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan yang mengguris hati orang-orang Melayu yang beragama Islam terutama menerusi statement-statement yang dikeluarkan dan tindakan-tindakan yang kadang-kadang agak meminggirkan Melayu dan Islam tu sendiri.

Kalau nak dikatakan Melayu itu rasis, ianya tidak benar. Lihatlah secara jujur. Orang Melayu sangat bertimbang rasa dan terlalu banyak bertolak ansur dengan bangsa-bangsa lain.

Sejarah membuktikan, Melayu tidak pernah menunjukkan sikap yang agresif terhadap bangsa lain. Kedai-kedai bangsa Cina atau India di kawasan penempatan orang Melayu tidak pernah diganggu. Mereka tidak dipulau dan dihalau. Orang Melayu tidak sabotaj barang jualan mereka malah kadang-kadang kedai mereka lebih jauh maju daripada kedai-kedai Melayu yang duduk sebaris ataupun berhampiran. Ini petanda bahawa Melayu tidak rasis sebenarnya.

Cuma dalam konteks kempen Buy Muslim First (BMF) ini, ia suatu pendekatan yang sangat baik dan demi survival orang Melayu itu sendiri dalam menjayakan atau memajukan urusan perniagaan mereka.

Dan apabila PAS menyatakan sokongan kepada keutamaan membeli barangan keluaran Melayu Islam ini, tentu ia suatu yang baik untuk meningkatkan ekonomi Melayu yang kita sedia maklum yang mereka ini tercicir atau tertinggal dalam arus ekonomi negara.

Kami di Pahang setiap tahun menyaksikan perarakan berjalan kaki perarakan berjalan kaki penganut Hindu dari Batu Caves ke Sungai Jerik. Ia melalui hampir keseluruhan penempatan-penempatan Melayu tetapi tidak pernah berlaku lagi kita tengok ada sikap yang negatif ditunjukkan oleh orang Melayu malah mereka memberikan laluan dengan baik sama ada dalam bentuk tidak mengganggu gugat perjalanan mereka walaupun mereka adalah penduduk majoriti.

Kenapa demikian? Itulah sikap toleransi orang Melayu kepada bangsa-bangsa lain. Samalah dengan perayaan-perayaan lain seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina, Depavali dan sebagainya. Tidak pernah diganggu oleh orang Melayu. Ini petanda Melayu sangat berkenaan suara sangat bertimbang rasa, sangat bersopan santun terhadap bangsa bangsa lain.

Pimpinan DAP yang melabel orang lain sebagai rasis sepatutnya perlu bertanya kepada diri mereka sendiri. Merekalah pihak yang suka mengeluarkan kenyataan bersifat rasis.

Justeru dalam kempen mengutamakan barang keluaran Melayu Islam ini, sepatutnya bangsa-bangsa lain tak perlu rasa tercabar atau tidak merasakan bahawa Melayu mula bersikap rasis kerana mungkin inilah masanya Melayu melihat perlu berdikari untuk memajukan bangsa dan agama mereka.

Dalam siri-siri pilihan raya lalu, PAS menjadikan kelemahan kerajaan Barisan Nasional sebagai antara modal kempen untuk meraih sokongan pengundi. Namun dalam PRU ke-15 ini, bagaimana pula pendekatan PAS untuk meraih sokongan rakyat?

PRU ke-14 dan sebelumnya sememangnya PAS dan Gagasan Sejahtera bertembung dengan Umno-BN dan PH. Yang memerintah kerajaan Persekutuan adalah Barisan Nasional. Tidak dapat tidak dari segi politik pilihan raya dan demokrasi, PAS memanfaatkan beberapa kelemahan dalam kerajaan Barisan Nasional bagi menarik perhatian rakyat.

Dengan harapan PAS dapat memperbaiki kerajaan seandainya ia diberi mandat memerintah negara dan negeri. Namun untuk berhadapan PRU ke 15, kita harus melihat suatu yang lebih besar dari isu mendedahkan kelemahan Umno.

Demokrasi ini perlu dimanfaatkan untuk mengembalikan maruah umat Islam yang banyak tercalar sejak Pakatan Harapan berkuasa. Gelombang rakyat perlu digerakkan bagi menggarap sokogan mereka kepada kedua-dua parti terbesar umat Islam ini.

Gelombang ini juga perlu didukung bersama oleh rakan-rakan politik kita seperti Berjasa, Ikatan, MCA, MIC dan lain-lain.

Tentunya ia tidak mudah. Kita semua berada di pihak pembangkang. Berlawan pula dengan pihak kerajaan yang menguasai segala fasilitis kerajaan.

Tetapi memandangkan kelemahan yang dipaparkan oleh Kerajaan PH selama setahun lebih terlalu banyak kepincangannya, maka tidak dapat tidak kita mesti menggerakkan gelombang ini.

Saya yakin gabungan ini akan meraih sokongan rakyat walaupun di sana pelbagai fitnah yang dilontarkan kepada kerjasama PAS-Umno ini. Kita melihat bahawa ada di sana benda-benda yang patut kita bekerjasama untuk menjadikan masa depan Malaysia lebih baik.

Kita yakin dominasi orang Melayu patut diletakkan di tempat sepatutnya dalam urus tadbir negara dan kita yakin bahawa bangsa yang majoriti harus diberi tempat yang lebih utama dengan tidak meminggirkan bangsa-bangsa yang lain untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Maka tidak dapat tidak, orang Melayu patut menguasai kerajaan di peringkat Persekutuan dengan tidak meminggirkan bangsa yang lain.

Untuk akhirnya, apakah harapan Tuan Haji kepada PAS selepas PRU ke 15 nanti?

Umum mengetahui bahawa PH telah memberi contoh yang tidak baik kepada rakyat. Adakalanya tindakan-tindakan menteri hanya menjadi bahan lawak yang ditertawakan oleh rakyat di bawah.

Anak-anak kita di menara gading melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam PH tu sendiri.

Maka saya berharap, mudah-mudahan ia boleh membina momentum gelombang rakyat untuk bersama dengan gabungan PAS, Umno dan parti-parti sahabat danlam BN dan Gagasan Sejahtera. - HARAKAHDAILY 15/9/2019

KUALA LUMPUR: DAP sudah lama patut diharamkan kerana parti itu pernah secara terbuka mengisytiharkan penderhakaan terhadap Perlembagaan Negara, demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

"Kerana perjuangannya menentang Perlembagaan, menentang undang-undang negara. Apa yang mereka perjuangkan itu, mereka isytihar pada tahun 1967, mereka terjemah melalui peristiwa hitam 13 Mei 1969.

"Kenapa ini berlaku? Kerana apabila mereka menang besar di bandar-bandar, mereka merasa mereka sudah ada kuasa, boleh melaksanakan apa mereka nak, walaupun mereka tidak memerintah Pusat pada masa itu.

"Apa yang berlaku, apa yang mereka usahakan hari ini adalah isi intipati daripada Deklarasi Setapak 1967 dan dasar itu mereka terjemahkan ke dalam Malaysian Malaysia," ujarnya pada Wacana HPU914 di PWTC, kelmarin.

Menurut beliau, sebelum berlaku peristiwa 13 Mei, DAP telah mengadakan Konvensyen Setapak 1969, di mana deklarasinya dengan jelas mengisytiharkan perjuangan satu negara dengan semua kaum dan agama adalah sama.

Tetapi kini katanya, perkara sedang dilaksanakan oleh makhluk perosak bangsa DAP ini terhadap Malaysia lebih dahsyat lagi kerana kuasa sedang berada di tangan mereka, terutama dalam menjaga kepentingan parti cauvinis itu.

"Kes arwah Adib, kes SPRM. Sebelum itu kes hina Nabi dan agama Islam. Seolah-olah negara ini tiada undang-undang. Terbaru, Tuanku Permaisuri Agong dihina teruk di Twitter, tiada tindakan diambil, seolah-olah negara kita tiada rule of law lagi," bidasnya.

Terang beliau, semua perkara ini sedang berlaku kepada seluruh agensi di bawah kerajaan di mana banyak kepentingan nasional diabaikan demi untuk kepentingan tertentu sebagaimana kes-kes perundangan.

Antara contoh diberinya termasuk ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat masih berlaku secara sambil lewa apabila dihadapkan laporan, tangkapan atau pendakwaan dalam kes-kes tertentu. HARAKAHDAILY 16/9/2019

BINTULU: Lajnah Penerangan dan Media Baru Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menganjurkan Bengkel Expert News Writer yang berlangsung di sini hari ini.

Bengkel sempena sambutan Hari Malaysia peringkat PAS Pusat ini bertujuan melahirkan anak muda yang mahir dalam penulisan berita sebagai persiapan awal menjelangnya PRN Sarawak akan datang.

Pengisian teori dan latihan telah dilalui peserta dengan bimbingan Pengarang Harakahdaily, Ustaz Izwan Abdul Halim serta dipantau Ketua Penerangan Muslimat PAS Sarawak, Hamidah Mokhtar.

Para peserta telah mengikuti empat slot iaitu Operasi Komunikasi Strategik, Asas Pemberitaan, Pengurusan Isu dan Draf Kenyataan Media secara pembentangan serta praktikal individu dan kumpulan.

Bengkel ini telah dirasmikan Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad, manakala penutup telah disempurnakan Ketua Muslimat PAS Sarawak, Ustazah Juliani Adin.

Peserta juga turut mengikuti slot struktur kerja Lajnah Penerangan yang disampaikan oleh Setiausaha Lajnah Penerangan Media Baru Dewan Muslimat PAS Malaysia, Maziah Khori. - HARAKAHDAILY 15/9/2019 

IMG 20190915 WA0018

IMG 20190915 WA0019

PERSEFAHAMAN Penyatuan Ummah oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan Pertubuhan Islam Se-Malaysia (PAS) pada Sabtu pasti akan dikenang sebagai antara detik penting sejarah negara.

Bagi umat Islam di Malaysia, detik ini sama pentingnya dengan kebangkitan masyarakat peribumi Melayu Islam menentang Malayan Union pada tahun 1945-46. Cadangan British mahu memperkenalkan Malayan Union pada masa itu dilihat akan memperkecilkan kedudukan agama Islam, masyarakat peribumi, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Justeru tunjuk perasaan secara besar-besaran di seluruh tanah Melayu telah diadakan bagi membantah cadangan Biritish tersebut. Antara tunjuk perasaan terawal dan besar dianjurkan ialah oleh Persatuan Melayu Kelantan (15 Disember 1945), Persatuan Melayu Kedah (19 Januari 1946), Orang-orang Melayu Johor (10 Februari 1946) dan puluhan tunjuk rasa lain di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Berikutan kesedaran tersebut, Dato’ Onn Jaafar dan Persatuan Melayu Selangor telah menganjurkan Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (KMTM) pertama pada 1-4 Mac 1946. KMTM telah bejaya mengumpul sekitar 107 orang ulama dan pemimpin Melayu dari 41 buah pertubuhan di Tanah Melayu dan Singapura.

Perhimpunan bersejarah itu telah berlangsung di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Selangor dan menjadi titik tolak kesedaran orang Melayu untuk mempunyai sebuah parti politik, bagi menjaga kepentingan agama Islam, orang Melayu, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu.

Hasil kongres pertama membawa kepada KMTM ke-2 pada penghujung Mac 1946. Kongres pertama dan kedua ini merupakan satu usaha bersepadu orang Melayu menentang penjajahan Inggeris terutamanya cadangan pembentukan Malayan Union.

Akhirnya kongres memutuskan untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu, maka lahirlah Umno sebagai satu-satunya wadah utama politik orang Melayu menentang Bristih. Hanya beberapa tahun kemudian, setelah British menarik balik cadangan Malayan Union, orang Melayu mula berpecah dan akhirnya tertubuhlah PAS.

Sesuatu yang perlu kita sentiasa ingat ialah walau apapun perselisihan dan perbezaan kedua-dua parti ini, kita pernah bersatu atas kepentingan agama Islam dan demi melindungi identiti asal tanah ini.

Piagam ini penting termeteri, apabila selepas PRU ke-14 kedudukan agama Islam, masyarakat peribumi, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu semakin terancam.

Justeru, piagam Umno-PAS kali ini merupakan satu pembugaran (rejuvenating) idealisme perjuangan masyarakat Islam di negara ini yang berakar umbi sejak sebelum merdeka lagi.

Percayalah kerjasama ini, sama seperti kesepakatan 1946, tidak akan menindas atau meninggalkan mereka yang bukan Islam.

PAS pernah bekerjasama dengan DAP manakala Umno mempunyai rakan kongsi bukan Islam seperti MCA dan MIC. Justeru tidak timbul piagam ini satu ancaman kepada bukan Islam.

Ini bukan andaian semata-mata tetapi merupakan jaminan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam ucaptama pelancaran Piagam Penyatuan Ummah, Sabtu. Haji Hadi menegaskan Islam tidak membenarkan kezaliman ke atas mana-mana bangsa atau bukan Islam dan sentiasa menghormati kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Kita berdoa agar muafakat ini berterusan tanpa kecurigaan antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

Penulis ialah mantan Ahli Parlimen Sungai Besar.

More Articles ...