16
Wed, Oct
15 Artikel Baru

Belanjawan jangan pinggir petani, nelayan, penoreh

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman mengharapkan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan hari ini tidak meminggirkan peruntukan sewajarnya kepada golongan petani, nelayan dan penoreh getah.

Katanya, golongan tersebut masih kekal menjadi rakyat termiskin di negara ini yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka serta menyediakan peluang yang seharusnya.

"Lebih 600,000 isi rumah yang terlibat dengan komoditi getah sangat menanti insentif daripada kerajaan di saat harga komoditi getah kini jatuh menjunam dalam purata RM2 sekilo.

"Ini sangat memberi tekanan kepada mereka dalam masih kekal menjadi rakyat termiskin di negara kita dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, beliau turut mengharapkan insentif yang lebih baik kepada golongan B40 yang kini sangat tersepit.

Jelas beliau, walaupun kerajaan telah memberikan subsidi petrol bersasar melalui Program Subsidi Petrol (PSP) kepada golongan B40, namun ia tidak cukup dan tidak memberi apa-apa kesan kepada golongan tersebut dalam meringankan beban mereka.

Sebaiknya, kerajaan boleh melihat kepada subsidi untuk pengangkutan awam yang kini sangat terkebelakang dalam soal subsidi yang sepatutnya diberikan.

"Kemudahan pengangkutan awam itu perlu diberi perhatian bagi memberi rangsangan kepada rakyat di bandar dan juga luar bandar untuk terus menggunakan perkhidmatan tersebut," ujarnya. - HARAKAHDAILY 11/10/2019