16
Wed, Oct
15 Artikel Baru

Belanjawan diharap jaga kebajikan guru Kafa

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan hari ini diharapkan memberi perhatian kepada pendidikan yang menjurus kepada kebajikan khususnya guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa).

Menurut Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, sudah sekian lama kebajikan guru Kafa diabaikan dan tidak diberikan perhatian khusus dari segi gaji dan prasarana yang sepatutnya.

"Sekiranya dibandingkan dengan penyelaras masjid di seluruh negara telah mencapai kenaikan begitu cepat berbanding guru Kafa dan penyelianya.

"Sebagai contoh masjid di Pulau Pinang (penyelaras) hanya menjaga antara 50 buah masjid tetapi penyelia Kafa melibatkan 100 kelas kafa di setiap daerah sedangkan gaji mereka antara RM800," katanya kepada Harakahdaily.

Baginya, perkara ini menunjukkan jurang pemisah sangat luas semestinya perlu diberi fokus oleh kerajaan dalam belanjawan kali ini kerana pengajaran dan pembelajaran guru kafa melebihi daripada apa yang diperolehi.

"Perlu diingat bahawa, pemangkin kejayaan pelajar-pelajar adalah disumbangkan oleh para guru," ujarnya.

Selain itu, beliau juga mengharapkan kerajaan turut memberi fokus dalam memartabatkan tulisan Jawi di negara ini dengan memberi peruntukan sewajarnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam meluaskan tulisan Jawi di persada dunia. - HARAKAHDAILY 11/10/2019