16
Wed, Oct
15 Artikel Baru

Belanjawan 2020: Harap ada royalti untuk Kelantan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan esok mestilah tidak meninggalkan kerangka pemulihan ekonomi yang lebih komprehensif.

Soal kebajikan dan kepentingan rakyat perlu dijadikan fokus utama dalam meringankan bebanan rakyat berikutan ekonomi negara kini semakin teruk, inflasi meningkat, kuasa beli rakyat semakin menurun, saham jatuh dan harga komoditi juga jatuh.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary mengharapkan adanya insentif baharu sebagai perangsang untuk ekonomi terutama bagi meringankan beban rakyat.

Selain itu, katanya Belanjawaan itu diharapkan tidak meninggalkan pemberian hak royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang sehingga ke hari ini tidak ditunaikan.

"Kita mendapat maklumat secara dasarnya, bahawa perkara ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Kabinet untuk melunaskan bayaran royalti kepada Kelantan, tetapi sampai ke hari ini yang melengah-lengahkan adalah daripada Menteri Kewangan.

"Bagi saya, sikap ini salah satu perkara yang sangat tidak patut berlaku kepada Malaysia Baharu. Kerajaan seharusnya menunjukkan ketelusan dan integriti sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri kini hanya diberi wang ihsan, sedangkan mengikut sumber dari Petronas, bahawa royalti yang sepatutnya diberi kepada Kerajaan Negeri Kelantan jauh lebih besar daripada pemberian wang ihsan.

Katanya, sekiranya kerajaan sukar untuk melunaskan segala tunggakan berikutan situasi ekonomi sekarang, beliau mencadangkan supaya kerajaan bayar royalti semasa terlebih dahulu.

"Sampai sekarang (royalti) tidak dapat, sedangkan Petronas setiap tahun melunaskan membayar royalti kepada Kerajaan Pusat.

"Sepatutnya Kerajaan Pusat perlu memberi lima peratus kepada negeri Kelantan, kerana itu adalah hak rakyat Kelantan," ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/10/2019