20
Sun, Oct
11 Artikel Baru

Kelantan tidak putus asa tuntut royalti

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak akan berputus asa dalam usaha menuntut royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri tidak patah semangat dalam menuntut royalti walaupun pelbagai alasan diberikan Kerajaan Pusat.

“Perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali telah dibuat. Mereka menjelaskan kerajaan akan membayarnya.

“Tetapi Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula dakwa tidak ada duit dan pelbagai lagi alasan,” ujarnya pada majlis Hijraturasul dan pelancaran munajat perdana royalti di Putik malam tadi. (Foto atas)

Program berkenaan dianjur Dewan Ulamak PAS Kelantan. Sebelum itu solat hajat diimamkan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS negeri Dato’ Muhammad Awang, manakala doa selepas solat hajat pula disampaikan anggota Exco Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pimpinan PAS peringkat kawasan.

Pada 3 November lepas Menteri Hal Ehwal dilapor berkata, kerajaan tidak membayar royalti minyak kerana disaman kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, pada 24 Oktober kerajaan negeri mengumumkan menarik balik saman terhadap Petronas berikutan keengganan membayar royalti. – HARAKAHDAILY 10/10/2019