20
Sun, Oct
13 Artikel Baru

PAS konsisten bantah mansuh RUU Antiberita Tidak Benar

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS konsisten membantah pemansuhan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar dan menyokong akta itu dikekalkan demi untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed Hashim, tiada sebab untuk memansuhkan akta tersebut yang dilihat mampu untuk menghalang segala fitnah dan berita tidak benar daripada tersebar.

"Saya hairan kenapa kerajaan bersungguh-sungguh membawa kembali RUU Antiberita Tidak Benar ini ke dalam dewan hari ini.

"Apakah kerana Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan berdasarkan permainan sentimen dengan menyebarkan berita tidak benar," katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, dalam tempoh setahun PH memerintah dapat dilihat tiada perubahan positif yang berlaku dalam penulisan berita di portal-portal yang disebarkan di media massa.

Tambahnya, kepesatan media sosial pada hari ini memerlukan kepada akta khusus bagi menghalang segala berita tidak benar dan fitnah terus tersebar dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Namun katanya, walaupun kerajaan mengatakan undang-undang sedia ada cukup untuk mengatasi masalah berita tidak benar ini, malangnya tidak mampu serta tidak menyentuh beberapa perkara penting dalam akta itu.

"Akta ini perlu dikekalkan demi kepentingan rakyat, bukan semata-mata untuk kepentingan poliik tertentu," katanya.– HARAKAHDAILY 8/10/2019