20
Sun, Oct
11 Artikel Baru

Belanjawan 2020: Perlu serius jaga kualiti alam sekitar

Berita
Typography

KERAJAAN diharapkan untuk mempertimbangkan cadangan bagi meningkatkan peruntukan penjagaan alam sekitar dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober nanti supaya peruntukan yang diberikan secara maksimum dapat digunakan untuk memelihara dan membangun alam sekitar yang lebih lestari dan mampan.

Walaupun peruntukan bajet pembangunan dan pengurusan alam sekitar bagi tahun 2014 adalah RM2.362 bilion meningkat kepada RM2.527 bilion pada tahun 2018, namun peruntukan ini adalah begitu sedikit berbanding bajet dalam sektor lain.

Saya menegaskan supaya Kerajaan lebih memandang serius dan cakna terhadap kualiti alam sekitar negara dengan lebih komprehensif menjelang tahun 2020 dengan mengamalkan konsep pembangunan lestari serta menyediakan mekanisme yang lebih efektif bagi menangani sesuatu isu alam sekitar yang melanda negara.

Tahun 2019, rakyat dipaparkan dengan pelbagai tragedi dan isu yang melibatkan ancaman nyawa dan alam sekitar sekali gus merencatkan pembangunan ekonomi negara. Misalnya, insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim  pada 7 Mac 2019 dan berlaku kali kedua pencemaran udara akibat gas toksik pada 20 Jun 2019 di Pasir Gudang yang menggemparkan negara.

Selain daripada itu, isu lambakan sisa plastik import dan kilang proses sisa plastik import serta pusat pelupusan sampah yang dilakukan secara haram dan berleluasa juga menunjukkan kelompangan undang-undang selain kerapuhan penguatkuasaan sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat dengan kualiti udara dan sungai yang mengandungi toksik dan bahan tercemar.

Tambahan juga, Malaysia baru sahaja dilanda jerebu yang teruk akibat kerakusan aktiviti pihak yang tidak bertanggungjawab dan ia mencatat kedudukan teratas dalam pencemaran udara tertinggi dunia iaitu IPU 266 pada pertengahan bulan lepas.

Di samping itu, kualiti sungai-sungai negara kita juga berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat 25 sungai negara kita mati akibat kadar pencemaran yang teruk dengan berada Kelas 4 dan 5 selain lebih 80 peratus sungai mati di bandar-bandar utama. Malah, terdapat 26 sungai pada Kelas 4 dan sebatang sungai Kelas 5 iaitu Sungai Tukang Batu, Johor didedahkan pada akhir tahun lalu.

Hal ini juga tidak termasuk dengan isu pembalakan, pemburuan dan perlombongan haram yang turut memusnahkan aset-aset khazanah semula jadi. Perkara ini juga turut memberi ancaman kepada hidupan liar selain menjejaskan penempatan Orang Asli dalam negara kita.

Islam juga menuntut umatnya untuk menjaga alam sekitar dengan sebaiknya dan melarang umatnya melakukan kemusnahan terhadapnya seperti mana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 11 yang bermaksud: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi...” dan Surah as-Syu’ara, ayat 183 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi”.

Hakikatnya kerosakan alam sekitar yang berlaku hingga ke hari ini adalah berpunca daripada ketamakan manusia seperti mana Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ruum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Oleh hal yang demikian, saya menyarankan Kerajaan menyemak kembali undang-undang alam sekitar yang sedia ada agar selain penjenayah alam sekitar dikenakan hukuman berat, ada satu rujukan perundangan yang relevan mengikut peredaran zaman pascamoden kini dan mempunyai jalan penyelesaian lebih efisien apabila berlakunya sesuatu tragedi alam sekitar bagi mengelakkan negara dalam kerugian sama ada wang ringgit, aset negara mahupun khazanah alam semula jadi.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
07 Oktober 2019 | 08 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 7/10/2019