20
Sun, Oct
11 Artikel Baru

Muslimat PAS santuni warga Orang Asal Dun Bota

Berita
Typography

PARIT: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Parit telah mengadakan program mengacau bubur Asyura di pekarangan Surau Kampung Suak Padi, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Muslimat PAS Parit, Dr Najihatussalehah Ahmad bagi meraikan program bersama Orang Asal di kawasan ini dalam usaha meneruskan dakwah kepada mereka.

Menurut Dr Najihah, di dalam Dun Bota terdapat beberapa kampung Orang Asal iaitu Kampung Suak Padi, Kampung Tumbuh Hangat dan Kampung Gedong Batu.

"Rata-rata penduduk di situ masih mewarisi agama nenek moyang mereka, namun terdapat lebih 30 keluarga yang telah beragama Islam.

"Sebagai Muslimat PAS, kita berusaha mendekati kaum Orang Asal di kawasan masing-masing terutamanya membantu memberi panduan hukum-hukum Islam kepada mereka yang telah beragama Islam," ujarnya.

Tambah beliau, terdapat juga salah seorang penduduk di sini mempunyai anak yang telah tamat belajar di Mesir dan kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar Tahfiz Mubarak, Kampung Selboh.

Ironinya, program kemasyarakatan ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti 'freemarket' dan pemeriksaan kesihatan mata oleh seorang ahli optometris yang juga merupakan graduan APSA, Aslaniyah Daud.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Muslimat PAS Parit, Nazirah Tajuddin mengambil kesempatan memberikan bantuan pakaian terpakai hasil infak orang ramai kepada penduduk di sini.

Sebanyak 150 bekas bubur Asyura siap dimasak telah diagihkan kepada penduduk setempat dan para hadirin yang turut serta di dalam aktiviti ini. - HARAKAHDAILY 7/10/2019