20
Sun, Oct
14 Artikel Baru

Malas: Lihat teguran Tun M dari sudut positif

Berita
Typography

SHAH ALAM: Penting kepada orang Melayu untuk menyedari bahawa kegagalan mereka adalah kerana bangkit tanpa ada kesedaran agama dan tidak menggunakan agama sebagai asas penyatuan ummah.

Justeru itu, PAS menyeru himpunan Kongres Maruah Melayu (KMM) tampil dengan acuan Islam sebenar supaya maruah orang Melayu yang telah diperkotak-katikkan dapat dikembalikan semula.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamd Abduh Nik Abdul Aziz berkata, orang Melayu juga mesti mengambil manfaat daripada himpunan KMM bahawa hanya kesatuan ummah dapat mengembalikan semula maruah orang Melayu.

"Secara umumnya, saya menyokong kongres ini dan saya harap melalui pertemuan ini banyak mendedahkan kita kepada perkara-perkara baru untuk kita bersama menaikkan maruah orang Melayu," katanya yang menghadiri KMM di Stadium Malawati, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok mengambil positif teguran Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengungkapkan “Melayu malas” sebagai dorongan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu.

"Kita melihat dari sudut yang positiflah. Memang orang kurang senang hati kalau Tun terus mempertahankan bahawa orang Melayu ini malas.

"Bagi saya, itulah teguran kalau kita tengok dari sudut yang positif itu memang baguslah. Kita tidak boleh nafikan yang orang Melayu ini rajin, bijak dan sebagainya.

"Tetapi kalau kita terus memuji Melayu, Melayu ini bijak, Melayu ini rajin, tak ada orang nak sebut Melayu ini malas, maka tidak akan ada kesedaran untuk membangkitkan semua orang Melayu," katanya.

Beliau berkata, kehadiran PAS ke KMM untuk tidak memberi peluang kepada musuh politik PAS yang akan menjadikan "peluru" untuk melaga-lagakan usaha penyatuan orang Melayu.

"Kalau kongres ini tidak dihadiri oleh PAS atau tidak dihadiri oleh Muafakat Nasional, maka orang Melayu akan dilihat dua.

"Satu Muafakat Nasional satu lagi Kongres Melayu, jadi tidak hadir itu menjadi 'peluru' kepada musuh.

"Ia juga menjadi kewajiban menyahut seruan agama, kita disuruh untuk hidup bersatu. Apabila berlaku perbalahan, berlaku khilaf, itu bukan kehidupan asal orang Islam. Asal kehidupan ini ialah bersatu," tambahnya.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada penganjur KMM terdiri daripada Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris kerana memberi kepercayaan kepada PAS untuk berucap dalam resolusi kluster agama yang diwakili oleh Ahli Parlimen PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Sebanyak lima kluster resolusi telah dibentangkan dalam KMM iaitu budaya, pendidikan, agama, ekonomi dan politik.

Resolusi tersebut kemudiannya diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyerahan resolusi disaksikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, pimpinan Melayu dari komponen Pakatan Harapan, NGO-nNGO dan tokoh-tokoh Melayu. – HARAKAHDAILY 7/10/2019