20
Sun, Oct
11 Artikel Baru

Ekuiti Bumiputera 16% selepas 50 tahun DEB

Berita
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) sangat terkejut dengan pendedahan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera seperti yang diucapkan oleh YAB Perdana Menteri di pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Setelah 50 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dengan pelbagai program dan tindakan, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya mencapai separuh daripada objektif yang telah disasarkan (30 peratus).


Penurunan tujuh mata peratusan iaitu daripada 23 peratus pada tahun 2011 kepada 16 peratus pada tahun 2015 dalam pemilikan ekuiti korporat Bumiputera amat menyedihkan. Statistik ini juga membuktikan bahawa dasar afirmatif mesti diteruskan dan pelbagai kelompongan hendaklah diatasi. Isu Ali Baba, ‘rent-seeking’, ‘patronage’ dan rasuah hendaklah dibanteras sepenuhnya. Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan mula dilaksanakan mesti meletakkan kepentingan Bumiputera dengan adil.

Sementara itu, ekuiti korporat yang dimiliki oleh warga asing telah meningkat secara mendadak daripada 37 peratus kepada 45 peratus. Kenaikan ini telah melangkaui sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan. Oleh itu, kerajaan perlu menyemak semula keadaan ini dan mengatur strategi yang lebih wajar agar kedudukan pemilikan ekuiti korporat dapat diselaraskan sepertimana yang telah digariskan sebelum ini. Statistik semasa menunjukkan kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera jauh ketinggalan.

PAS mendesak kerajaan untuk melunaskan janji manifesto mereka untuk menerbitkan secara terperinci laporan jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera yang terkini untuk pengetahuan umum. Pakatan Harapan telah berjanji bahawa laporan tersebut akan dimasukkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun. Walau bagaimanapun, pada tahun lepas, janji itu tidak ditunaikan.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

6 Safar 1441 | 5 Oktober 2019 - HARAKAHDAILY 5/10/2019