20
Sun, Oct
12 Artikel Baru

Kempen BMF tahap 2 membuahkan hasil

Berita
Typography

UMMAH Pulau Pinang melahirkan rasa terima kasih kepada Timbalan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa yang turun sekali lagi ke Pulau Pinang melancar Kempen Belilah Produk Muslim Tahap 2 di Masjid Jamek Seberang Jaya Jumaat lalu.

Satu Mesyuarat Khas telah diadakan bersama Kru Kempen bagi menyelaraskan aktiviti dengan lebih berkesan.Turut dijalankan mini pameran dan jualan produk Muslim, tazkirah khas serta edaran 1000 keping risalah kempen.

Sejak hampir sebulan diadakan, UMMAH Pulau Pinang telah mendapat respon yang positif daripada para usahawan dan pihak pembeli atau pengguna.

Kesedaran masyarakat begitu tinggi dan jualan produk meningkat secara mendadak. Seorang usahawan yang bernaung di bawah Group BMF UMMAH Pulau Pinang, Telur Masin Al Qamar Tokchu sejak kempen ini telah berjaya meningkatkan jualan dari 6000 biji ke 12000 biji setiap bulan. Peningkatan berganda yang memberansangkan. Atas sebab ini pihak UMMAH Pulau Pinang menasihatkan para usahawan supaya lebih bersedia dengan prasarana yang secukupnya untuk mendepani momentum tersebut.

UMMAH Pulau Pinang sedang merancang untuk turun secara berkala ke masjid-masjid seluruh Pulau Pinang bagi kesinambungan kempen ini. Setakat hari ini kami telah berjaya mengumpulkan pangkalan data lebih 600 orang usahawan dan mereka akan dipanggil dalam satu sesi khas Kempen Tahap 3 bulan Oktober nanti. Satu MOU akan ditandatangani bersama pihak aplikasi perisian ABATA dan perbincangan juga sedang diadakan dengan beberapa agensi serta institusi pendidikan untuk turut serta.

Sebagai negeri pertama pelancaran kempen ini, kami amat berharap ianya terus menjadi pencetus kejayaan kepada negeri-negeri yang lain. Setakat ini 5 negeri telah membuat pelancaran dan akan disusuli lagi oleh Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang yang mana jika tiada halangan Menteri Besar dan Mufti sendiri akan turun membuat perasmian.

Bagi pihak UMMAH Pulau Pinang, diucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Penyelaras Kluster Dr Zaki Ibrahim, Sukarno Ibrahim Ketua Kluster Ekonomi dan Mokhtar Ramli serta Firdaus Muhamad yang mendepani Kru Kempen BMF secara berkesan sehingga kini. Penghargaan juga kepada semua pihak yang bekerjasama.

MOHD AKHIR CHE MAT
Pengerusi UMMAH Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 29/9/2019