20
Sun, Oct
11 Artikel Baru

PH dan Tun M: Retak menanti belah

Berita
Typography

PENDAHULUAN

Ketika hubungan PAS dan Umno mula menunjukkan tanda-tanda positif di bawah Piagam Penyatuan Ummah, hubungan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) pula menunjukkan sebaliknya. Ia ibarat retak menanti belah.

Saban hari Tun Mahathir, Pengerusi Bersatu semakin diasak agar berundur daripada jawatan Perdana Menteri secara terhormat. Terbaru tarikh yang ‘dicadangkan’ ialah sekitar Mei 2020. Iaitu kira-kira lapan bulan lagi daripada sekarang.

Ketika hampir keseluruhan barisan Kabinet PH dilihat gagal menunjukkan ‘prestasi hebat’ mereka setelah setahun mengambil alih Putrajaya, Tun Mahathir pula adalah hanya satu-satunya tokoh PH yang masih dilihat hebat, tahu dan mampu menguruskan negara.

Ironinya, yang diminta berundur lapan bulan lagi ialah beliau. Bukan anggota Kabinetnya.

Kenapa Tun Mahathir perlu berundur daripada jawatan PM?

Jawapan mengikut skripnya ialah untuk memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim untuk merealisasikan cita-cita sebagai PM ke-8.

Ia adalah satu ‘penamatan yang paling tepat’ kepada sebuah perjuangan hebat yang telah pun selesai. Ia juga bakal menjadi suatu penutup ‘happy ending’ kepada DS Anwar seperti sebuah kisah ‘fairy tales’ yang dibacakan kepada kanak-kanak sebelum tidur.

Ringkas ceritanya, DS Anwar menentang kronisme dan nepotisme yang berlaku pada zaman Tun Mahathir. Beliau dipenjarakan dan dimalukan oleh Tun Mahathir dengan tuduhan liwat dan rasuah. Rakyat bangkit menentang kezaliman itu. Akhirnya Tun Mahathir berundur daripada jawatan PM. Namun pengganti-pengganti beliau tetap tidak mesra DS Anwar dan meneruskan dasar-dasar Tun Mahathir. Sekalipun mereka tidaklah se’kejam’ Tun Mahathir dalam berurusan dengan DS Anwar.

Tiba-tiba, berlaku twist  dalam kisah ini.

Tun Mahathir tiba-tiba beralih arah. Beliau menyokong DS Anwar berdepan penggantinya DS Najib. Bahkan Tun Mahathir diangkat dan diberi kepercayaan oleh DS Anwar untuk menjadi Jeneral yang menguruskan kumpulan pembangkang di medan pilihan raya. DS Anwar kekal sebagai pemimpin bayangan daripada sebalik tabir penjara.

Tun Mahathir berjaya dalam melaksanakan misi DS Anwar. Jentera DS Anwar yang bekerja dengan Tun Mahathir merasa sangat kagum pula dengan kepimpinan Tun Mahathir. Tun Mahathir benar-benar telah memberikan suntikan ajaib kepada gerakan rakyat menjatuhkan Kerajaan BN di Putrajaya. Tun Mahathir dijulang menjadi ‘ikon’ baru dihujung sebuah perjuangan yang panjang itu.

Ia adalah sebuah cerita yang hebat. Yang menjadikannya lebih hebat, ia bukan sekadar cerita. Ia cerita yang benar-benar berlaku.

Yang belum selesai sekarang ini ialah penutupnya.

Penutup di dalam skrip

Skrip yang sepatutnya ialah Tun Mahathir menjadi PM buat sementara waktu dahulu. Tun Mahathir fokus untuk membaiki kerosakan-kerosakan teruk yang dibuat oleh DS Najib kepada negara. Sehinggalah DS Anwar dibebaskan dan dibersihkan daripada pertuduhan-pertuduhan yang diciptakan ke atasnya.

Setelah itu, Tun Mahathir akan serahkan jawatan PM kepada DS Anwar. Itulah kemuncak tanda keikhlasan Tun Mahathir kepada perjuangan PH. DS Anwar akan menjadi PM ke-8. Rakyat pula akan hidup gembira selama-lamanya.

Kenapa Tun Mahathir masih bertahan dan tidak mengikut skrip terakhir?

Jawapan mudahnya, kerana pada pandangan beliau penutup skrip tersebut tidak mengambil kira hakikat sebenar yang sedang berlaku sekarang. Ia bukanlah tentang Anwar dan Mahathir semata-mata.

Secara lebih detailnya, mungkin ini antara pertimbangan-pertimbangan Tun Mahathir.

1. Beliau melihat barisan Kabinetnya yang dipilih daripada pimpinan-pimpinan utama komponen PH gagal memenuhi jangkaan awal beliau. Mereka tidaklah ‘hebat’ seperti yang ditonjolkan kepada pengikut-pengikut mereka.

Hakikat sebenarnya, mereka tiada idea membina negara. Mereka masih bermentaliti pembangkang. Mereka tidak menjadikan kepentingan negara sebagai fokus utama mereka. Masing-masing hanya fokus kepada kepentingan parti dan kelompok sempit masing-masing. Tidak ada dasar baru yang konkrit mampu dibuat oleh mereka. Mereka hanya menjenamakan semula program-program kerajaan lama.

2. Beliau melihat DAP dan sebahagian besar kepimpinan bukan Islam dalam PKR terlalu drastik menunjukkan sifat anti  Islam dan anti Melayu. Walaupun Tun Mahathir sendiri mempunyai kritikan tersendiri terhadap naratif Islam dan Melayu, namun naratif golongan ini adalah bersifat terlalu ‘ ultra’. Tuntutan dan desakan mereka melampau. Tulisan Jawi sebanyak 3 muka surat itu menjadi polemik besar dalam negara. Jika tidak terkawal, perpaduan negara akan terjejas teruk dan sukar untuk dipulihkan.

Masalahnya ialah DAP adalah parti yang paling dominan dalam PH. Kehendak mereka terpaksa diberi keutamaan dan pertimbangan oleh Tun Mahathir. Termasuk melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Menteri Kewangan yang diragui status sijilnya, tidak tahu membaca titik perpuluhan, tidak mesra komuniti pelabur dan Menteri Kewangan yang sering membuat dakwaan tanpa usul periksa.

Tun Mahathir sudah meminta penjelasan Khazanah tentang cadangan menjual pegangannya dalam MAHB. Tun Mahathir sudah mula makin banyak bertanya. DAP semakin kurang selesa.

3. Beliau mahu membaiki kerosakan yang dibuat oleh BN yang melanggar prinsip demokrasi dan keadilan terhadap parti lawannya dalam pilihan raya. Itulah juga yang diperjuangkan oleh PH sebelum berkuasa. Namun setelah berkuasa Tun Mahathir menerima tentangan hebat daripada pimpinan PH sendiri untuk berlaku adil kepada negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang. Mereka seperti BN juga, menggunakan kuasa untuk kekal berkuasa. Bukan menggunakan kuasa untuk berlaku adil.

4. Beliau melihat masa depan partinya sendiri Bersatu. Jika beliau sudah tidak menjadi PM, dengan jumlah kerusi yang sedikit pula dan barisan kepimpinan lain yang kurang berpengaruh, Bersatu akan berkubur dalam lipatan sejarah. Setakat ini, PKR dan DAP masih menghormati Bersatu kerana Tun Mahathir. Tanpa Tun Mahathir, Bersatu hanyalah sekadar sebuah komponen kecil di dalam PH.

Umno memang tidak mahu sertai Bersatu yang terpaksa tunduk kepada DAP. Strategi Tun Mahathir menarik pimpinan Umno menyertai Bersatu hanya mendapat sambutan dingin.

Kenapa segera mahukan DS Anwar?

PKR dan DAP memang mahukan DS Anwar segera mengambil alih seberapa segera. Ini kerana Tun Mahathir telah mula dilihat sebagai mengganggu agenda-agenda penguasaan politik dan ekonomi mereka. DS Anwar pula akan terhutang budi sekali lagi dengan mereka dan akan memberikan jalan mudah supaya tuntutan mereka ditunaikan tanpa banyak soal.

Oleh itu, Tun Mahathir perlu bertahan.

PAN pula paling diharap oleh Tun Mahathir untuk berhadapan PAS. Tetapi PAS dilihat lebih banyak menyokong pendirian Tun Mahathir. PAN pula sering serba salah untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada Tun Mahathirkah atau kepada DS Anwarkah. Mereka hanya tidak serba salah dalam menunjukkan kesetiaan kepada DAP.

Dilema Tun Mahathir pada ketika ini ialah bagaimana mengelakkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal. Beliau tidak rela melihat Malaysia dipandang rendah oleh orang asing, apa lagi dikuasai oleh kuasa asing. Masalahnya adakah beliau mampu bertahan sebagai PM sekurang-kurangnya untuk 3 tahun lagi.

Adakah Tun Mahathir di dalam bahaya?

Rakyat dilihat selesa dengan Tun Mahathir sebagai PM. Tapi ini belum tentu cukup untuk Tun Mahathir.

PKR dan DAP sebelum ini dalam Pakatan Rakyat pernah berganding bahu bagi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan MB Selangor bermula dengan ‘Langkah Kajang’. Banyak langkah-langkah susulan seterusnya diambil dan dijayakan untuk merealisasikan matlamat tersebut.  Namun Tan Sri Khalid tetap tidak berjaya dijatuhkan.

Ini kerana rakyat melihat rekod dan prestasi perkhidmatan Tan Sri Khalid kepada rakyat Selangor adalah amat baik dan memberangsangkan.

Namun langkah akhir bagi menjatuhkan Tan Sri Khalid ialah langkah desperado yang diambil oleh PKR sendiri dengan memecat Tan Sri Khalid sebagai ahli parti, berdasarkan pertuduhan kesalahan tatatertib yang dijalankan secara ekspress, sadis dan tragis. Begitulah dahsyatnya dunia politik PKR.

Tun Mahathir perlu bersedia dengan serangan seperti itu.

Penutup

Rakyat menyambut kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU ke-14 dengan sejuta harapan. Harapan mereka, Malaysia Baru tanpa kronisme, nepotisme, rasuah dan salah guna kuasa. Malaysia Baru dengan barisan Kabinet yang sangat berintegriti, berjiwa besar dan sangat prihatin masyarakat.

Malangnya bukan itu yang mereka dapat.

Bahkan negara sentiasa dalam keadaan bergolak. Lantaran PH juga sedang bergolak. PKR sedang bergaduh teruk sesama sendiri. Bersatu sedang diasak rapat. DAP semakin menunjukkan belang. PAN pula baru belajar cara bermesyuarat agung.

Adakah Tun Mahathir mampu terus bertahan di dalam PH? Mampukan DAP dan PKR terus bersabar dengan karenah Tun Mahathir? Adakah Tun Mahathir akan digugurkan secara paksa? Apakah pula strategi Tun Mahathir seterusnya?

Selamat datang ke fasa terbaru pergolakan di dalam PH. - HARAKAHDAILY 26/9/2019