19
Sat, Oct
19 Artikel Baru

Kristianisasi usaha sekat Islam dari berkembang

Berita
Typography

TAMBUN: Ancaman bahaya Kristinisasi telah tersusun dan dirancang sejak tahun 1815 lagi di mana orang Kristian merasakan kapal yang membawa jemaah haji merupakan satu ancaman kepada mereka.

Hal ini kerana perjalanan tiga bulan menuju ke Makkah itu mengumpulkan umat Islam seantaro dunia bermula dari India, Sri Lanka, Singapore, Tanah Melayu, Tanah Jawa dan lain-lain.

Himpunan tersebut membolehkan umat Islam saling bertukar fikiran dan berbincang masalah ummah sedunia, demikian dibentangkan oleh Murabbi PAS Negeri Perak, Ustaz Suaid Din.

Perkara tersebut dinyatakan beliau dalam program Himpunan Dewan Muslimat PAS Tambun yang dilangsungkan bertempat di Dewan Syiekh Naseh Ulwan, di sini semalam.

Menurutnya, Kristian merasakan pertemuan umat Islam ini menjadi ancaman besar kerana mereka yakin, apabila umat Islam bersatu dan menyusun strategi dakwah, maka ia akan menjadi sebuah gerakan yang utuh.

"Sejarah negara juga termaktub, wujudnya usaha pengeboman kapal yang membawa pulang jemaah haji kerana bagi mereka golongan yang pulang dari mengerjakan haji akan terus menyampaikan Islam ke pelusuk negara.

"Islam yang kita amalkan di Tanah Melayu dan Malaysia ini merupakan Islam yang dibawa oleh bangsa Arab, oleh itu di Malaysia berfahaman Mazhab Syafie serta cara membaca al-Quran juga mengikut lughah Arab.

"Sistem pemerintahan Islam telah digunakan di Tanah Melayu sejak dahulu lagi. Namun pada hari ini, sistem pemerintahan Islam cuba dirosakkan sedikit demi sedikit oleh Barat," kemukanya.

Ustaz Suaid menekankan, cabaran Islam kini adalah gerakan Liberal kerana mereka cuba menguasai minda orang Islam dengan menjauhkan umat dari berpegang pada sl-Quran dan Hadis serta mengajak berfikir menggunakan logik akal.

"Golongan liberal berpendapat al-Quran tidak memberi penyelesaian kepada maslahah dunia kerana al-Quran diturunkan setakat zaman Nabi Muhammad S.A.W, sebaliknya kita hendaklah menggunakan logik akal untuk mentafsir al-Quran.

"Umat Islam khususnya di Malaysia hendaklah memperkasa kefahaman dan mengukuhkan pegangan kepada al-Quran dan al-Hadis bagi menghadapi cabaran modern kini," ujarnya.

Beliau juga memperingatkan bahawa unsur Liberal ini telah masuk ke Malaysia tanpa sedar dan sasaran mereka adalah memutuskan sebarang ikatan yang berkaitan agama Islam. - HARAKAHDAILY 23/9/2019 

IMG 20190923 WA0022