14
Mon, Oct
5 Artikel Baru

Jawapan balas terhadap Steven Sim

Berita
Typography

DAP harus belajar menghormati perjuangan PAS yang membawa Islam, penyatuan ummah tanpa melabelkannya dengan gambaran buruk seperti talibanisme, rasisme, ekstremisme dan klepto-teokrasi. Kenyataan media saya semalam sekali lagi diputar belit oleh DAP dan jentera sibernya untuk menggambarkan PAS menolak kebebasan beragama serta menyebarkan kebencian. Ia adalah dakyah yang sengaja dipotretkan untuk menggambarkan ‘kekerasan’ setelah PAS berjaya bekerjasama dengan Umno untuk menyatupadukan ummah.

Kenyataan saya semalam hanya meminta pihak polis menyiasat ucapan Steven Sim dalam forum Naratif Malaysia Baru pada 14 September 2019 di Kota Damansara selain penganjuran dan kandungan lain forum itu. Saya memetik ucapannya, “The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakeable confidence”. Begitu juga Steven sekali lagi mengatakan, “The Kingdom of God is unstoppable and this is our answer to all ideologies of capitalism, communism, socialism, liberalism, nationalism. God Himself is committed to act and ensure the success of His own kingdom”.

Kenyataan saya semalam langsung tidak mempertikaikan nilai baik yang dikongsikan olehnya, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia, wujud kebimbangan apabila pemimpin DAP mengulangi secara tegas perihal The Kingdom of God dalam Naratif Malaysia Baharu. Secara tidak langsung wujud juga beberapa persoalan adakah DAP akan menjadikan The Kingdom of God sebagai naratif baru dalam politik di Malaysia? Adakah ia dilihat tidak bercanggah dengan asas-asas Rukun Negara dan peruntukan utama dalam Perlembagaan seperti Islam Agama Persekutuan dan kedudukan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara?

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
19 Muharram 1441 | 19 September 2019 - HARAKAHDAILY 19/9/2019