15
Tue, Oct
16 Artikel Baru

HPU914: Sengketa sesama Melayu sudah terungkai

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohamad Hassan mengemukakan banyak perbandingan perumpamaan berhubung penyatuan ummah antara PAS dan Umno.

Analogi bahawa kedua parti ini bagaikan sirih pulang ke gagangnya dikatakan beliau tepat dalam menggambarkan sifat orang Melayu yang tidak boleh terus bersengketa sesama sendiri.

“Dua parti politik Melayu Islam terbesar di tanah air ini telahpun menyedari bahawa tidak boleh kita terus menerus bersengketa. Yang menjadi mangsa ialah anak bangsa, yang menjadi mangsa adalah agama dan bangsa.

"Maka sebab itulah di atas kesedaran, PAS dan Umno bersetuju untuk kita menjadikan hasil perbincangan kedua jawatankuasa ini untuk ditandatangani Presiden-presiden kita pada esok hari (hari ini),” katanya dalam ceramah sempena HPU914 di PWTC, malam tadi

Sehubungan itu katanya, penyatuan itu merupakan satu sejarah kerana kedua-dua parti dapat bersama berada di atas satu pentas untuk merungkai hasrat yang lama telah diimpikan oleh orang Melayu.

“Orang Melayu rindu pada keadaan sebegini, orang Melayu rindu pada persefahaman sebegini, maka benih yang sedang kita semua lalui ini mari kita sama-sama sirami, mari kita sama-sama bajainya. Biarlah benih ini tumbuh dengan sempurna.

"Akan tumbuh sebagai pohon yang rendang untuk dapat kita berlindung bersama-sama, untuk dapat kita berteduh sama-sama, jika berbuah pula nanti kita makan buahnya sama-sama,” ucapnya.

Beliau turut menegaskan bahawa himpunan bersama itu adalah untuk menyatakan bahawasanya telah sampai waktu orang Melayu Islam di tanah air ini bersatu dan menentang kemungkaran.

Sebelum itu, beliau turut mengingatkan penyatuan pada hari ini adalah supaya ianya dapat menghamparkan negara yang aman dan damai buat tanah air pada masa akan datang. - HARAKAHDAILY 14/9/2019